Followers

Sunday, October 4, 2009

Gegaran tak sekuat dijangka


PENDUDUK mandi dan mencuci pakaian di sungai di Padang selepas dilanda gempa bumi Rabu lalu.

Tekanan terkumpul boleh cetus gempa 30 kali lebih kuat

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.6 Richter yang melanda Padang Rabu lalu, walaupun menyebabkan ramai terkorban dan memusnahkan banyak bangunan, tidaklah sekuat yang dijangka boleh berlaku oleh pakar.

Menurut pakar geologi, Danny Hilman Natawidjaja dan Institut Sains Indonesia, tekanan memang terkumpul sejak beberapa siri gegaran dalam beberapa tahun lalu, di garisan kepingan bumi di bawah bandar yang mempunyai 900,000 penduduk itu.

"Mengikut kajian kami tekanan seperti yang terkumpul boleh menyebabkan gempa bumi lebih besar iaitu sehingga lebih 8 Richter dan boleh mencetuskan tsunami," katanya yang sudah mengkaji kawasan itu sejak 12 tahun lalu.

Natawidjaja dan rakan penyelidiknya Profesor Kerry Sieh dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura, percaya tekanan yang terkumpul boleh mencetuskan gempa bumi sekuat 8.8 Richter iaitu 30 kali lebih kuat daripada gempa bumi Rabu lalu.

"Dari perspektif sains, ia boleh berlaku esok, bulan depan atau tahun depan. Tetapi saya akan terperanjat jika ia tidak berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

"Secara peribadi saya amat bimbang," katanya.

Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.15 Richter dengan pusat gegaran 600 km di utara Padang, mencetuskan tsunami yang menyebabkan 232,000 orang terkorban di beberapa negara dengan jumlah tertinggi di wilayah Aceh.

Natawidjaja berkata, gempa bumi berukuran 8.8 boleh mencetuskan tsunami setinggi 4-10 meter.

Pakar geologi itu berkata, walaupun Padang terletak di kawasan gempa paling aktif, pihak berkuasa bandar itu masih gagal membuat persediaan untuk menghadapi bencana itu.

"Pada pandangan saya, Padang tidak bersedia langsung. Struktur sedia ada

tidak direka bentuk untuk berdepan dengan gegaran

besar dan berikutan itu kerosakan yang disaksikan amat teruk," katanya. � Reuters

Harapan temui mangsa hidup tipis

PADANG: Lebih banyak mayat tiba di hospital di sini semalam selepas empat hari gempa bumi magnitud 7.6 melanda Sumatera Barat dengan harapan menjumpai mangsa mereka terselamat dalam timbunan runtuhan semakin tipis.

Hospital Dr M Djamil di sini terpaksa memindahkan rumah mayat sementaranya ke kawasan lain bagi menambah ruang bagi jumlah mayat yang meningkat.

"Ia tidak mencukupi lagi, kini kami menerima terlalu banyak mayat setiap hari," kata Priyo, seorang pegawai Briged Bergerak (Brimob) yang bertanggungjawab menguruskan ketibaan mayat di hospital itu.

Beliau berkata, pada hari biasa, kawasan rumah mayat di hadapan hospital digunakan untuk menguruskan sebarang kematian. Namun sejak gempa Rabu lalu di mana hospital terbabit turut mengalami kerosakan, bahagian itu tidak lagi boleh digunakan berikutan terlalu banyak dinding rosak dan runtuhan.

Katanya, sebelum jam 10 pagi semalam, 103 mayat dihantar ke hospital terbabit.

Priyo berkata, sesetengah mayat masih belum dituntut keluarga. Pasukannya, sudah membuat pengumuman pada papan kenyataan bersama gambar bagi membantu proses mengenal pasti mayat.

"Kami berharap keluarga akan mengenal pasti mayat dan menuntutnya segera," katanya.

Sementara itu, Rustam Pakaya, ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan berkata, pasukannya sudah mula memeriksa kawasan terpencil di luar Padang, kelmarin.

Katanya, satu daripada kawasan paling teruk terjejas ialah Pondok Cina di mana semua rumah musnah akibat dan dianggarkan 21,600 penduduk terjejas.

"Agak teruk keadaan di sana. Semalam (Jumaat) satu pasukan membersihkan sebuah rumah dan menemui 35 mayat. Bayangkan 35 mayat dalam sebuah rumah," kata Rustam.

Rustam berkata, Pusat Krisis itu masih mengalu-alukan bantuan dari badan antarabangsa. Bantuan sudah tiba dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Singapura, katanya.

Tiga hospital di bandar ini tidak lagi berdepan kekurangan bekalan ubatan dan kakitangan berikutan suntikan bantuan, katanya. � Agensi

Guru dihempap mayat 48 jam


SUCI bersama suaminya ketika dirawat di hospital di Padang, semalam.

13 pelajar merangkak cari perlindungan selepas ditimbusi runtuhan bangunan, besi

PADANG: Seorang guru bahasa Inggeris, Suci Refikawulan Sari menceritakan bagaimana beliau merangkak untuk mencari tempat perlindungan bersama 13 pelajarnya apabila tangga dan bumbung runtuh menyebabkan mereka ditimbusi dengan runtuhan, debu dan besi.

"Saya melihat pelajar yang lain dihempap tiang yang jatuh menyebabkan semua orang menjerit," katanya.

Guru berusia 25 tahun itu menenangkan dirinya dengan mengingati bayinya walaupun kakinya tersangkut pada tiang yang runtuh dan dihempap mayat selama 48 jam.

"Saya memujuk diri sendiri bahawa saya perlu terus hidup, saya perlu melihat bayi lelaki saya berusia 14 bulan membesar. Saya mahu melihat dia menjadi dewasa dan menjadi orang yang baik," katanya.

Suci yang terbaring di sebuah katil hospital dalam keadaan lemah adalah seorang daripada dua mangsa yang dibawa keluar dari runtuhan di sekolah Prayoga di Padang selepas kejadian gempa bumi terbesar Sumatera itu.

Seorang daripada pelajarnya, Ratna Kurnia Sari, 20, turut terbaring dan ditemui masih hidup.

"Ratna dan saya selamat kerana ada udara di kawasan yang sempit tempat kami terperangkap. Kami menjerit meminta tolong beberapa kali tetapi tiada yang datang," kata Suci sambil menambah beliau mengetahui masa melalui telefon bimbitnya.

Hari pertama dilalui dengan keadaan yang sunyi. Hari kedua mereka dapat menarik perhatian pekerja penyelamat yang memberikan mereka air, susu dan roti melalui celah runtuhan konkrit berkenaan.

Dalam keadaan berbaring di hospital sama, Ratna dengan tenang menyifatkan keadaan ngeri berlaku terhadap rakannya yang lain, Veronica Claudia Tansil yang remuk di bawah runtuhan.

"Saya menjerit dan menangis, 'Mama, mama." Saya bersama guru saya, saya memegang tangannya dan rakan saya Claudia di belakang saya," kata Sari.

"Saya mahu memegang tangannya tetapi lantai dan siling jatuh ke atasnya. Tangan Claudia terlepas apabila lantai dan siling mengenai beliau. Saya terjatuh dan dia terjatuh atas kaki saya," katanya.

Ratna adalah mangsa pertama dibawa keluar dari runtuhan. Suci dibawa beberapa jam selepas itu. � AFP

Kaji vaksin barah pangkal rahim


Serviks yang diserang barah.

Pakar perubatan anggap penyelidikan tempatan, ujian lumuran pap perlu diutama

NATALIE Morton, 14, dan Ashleigh Cave, 12, mungkin hanya memikirkan kesihatan diri, khususnya mengelak barah pangkal rahim apabila mengambil pelalian mencegah virus human papilloma (HPV) - penyebab penyakit maut berkenaan.

Malangnya, keadaan berlaku sebaliknya apabila Morton meninggal dunia manakala Cave pula lumpuh separuh badan selepas mengambil pelalian berkenaan.

Memang secara umumnya tiada ubat yang benar-benar selamat secara 100 peratus. Ini kerana setiap ubat memiliki kesan yang berbeza kepada individu yang turut memiliki tahap daya tahan yang berbeza. Perlu diingat juga, setiap ubat memiliki kesan sampingannya namun lazimnya, kesan sampingan yang kecil ini tenggelam jika manfaat ubat itu terbukti lebih besar.

Bagaimanapun dalam kes pelalian mencegah HPV, ia masih baru dilaksanakan termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada 2006 dan tahun lalu di Britain.

Program pelalian ini sudah dinyatakan pada satu majlis anjuran MCA April lalu dan hanya secara rasmi diumumkan pada Jumaat lalu. Justeru apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelaksanaan program pelalian mencegah HPV bermula tahun depan kepada 300,000 remaja perempuan 13 tahun, ia sebenarnya mencetuskan banyak persoalan, termasuk apakah keputusan itu dibuat secara terburu-buru.

Pangkal rahim terjejas dengan HPV.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Maamor Othman, berkata kebanyakan data berkaitan keberkesanan vaksin mencegah HPV itu hanyalah berasaskan kajian dari barat.

"Mungkin sebelum kita memulakannya di Malaysia, kita memerlukan kajian tempatan. Namun apa yang lebih utama, kerajaan perlu meningkatkan langkah pencegahan dan kesedaran mengenai HPV itu terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin mencegah HPV di bawah jenama Gardasil dan Cervarix.

"Mungkin kita masih perlu menunggu untuk beberapa tahun lagi sebelum membuat keputusan. Melakukan perbandingan dengan vaksin jenama lain juga perlu dalam melihat yang mana lebih efektif dan berbaloi dari segi kos," katanya.

Dr Maamor berkata, jika kesedaran masyarakat mengenai HPV dan barah pangkal rahim sememangnya tinggi, langkah pencegahan awal tidak perlu menelan belanja besar.

"Kita perlu ingat faktor risiko barah pangkal rahim adalah mereka yang beranak ramai dan ramai pasangan seksual (lelaki atau perempuan) dan kebersihan alat kelamin itu sendiri.

"Sehubungan itu, setiap wanita mesti melakukan pemeriksaan pelvis berjadual bagi mengesan sebarang perubahan sel di sekitar pangkal rahim. Wanita perlu peka kepada kepentingan ujian lumuran pap (pap smear)," katanya.

Kenyataan Dr Maamor ada benarnya, kerana dalam kes vaksin barah pangkal rahim, hanya ada dua pemain utama dalam usaha pengeluarannya. Ini secara langsung, menyebabkan harganya masih mahal walaupun sudah ditolak kos subsidi oleh kerajaan.

Walaupun Cervarix sudah didaftarkan dan disenaraikan sebagai selamat di pasaran 95 negara, namun ia masih tidak mendapat kelulusan Pihak Pentabdiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA). Satu daripada alasan yang tipikal adalah ia membabitkan dua syarikat berbeza - satu dari Amerika dan satu lagi dari Britain.

Namun sejak 1930, Amerika, menerusi melalui FDA mengharamkan penggunaan teknik khas dalam penyediaan vaksin (adjuvant in vaccine) yang bertindak meningkatkan sistem imun sekali gus membolehkan seseorang itu tidak perlu mendapat suntikan susulan dalam tempoh yang singkat.

Cervarix hanya mencegah dua strain atau jenis HPV - jenis 16 dan 18 (sedangkan ada 100 jenis HPV dengan 13 dikaitkan sebagai punca barah).

Gardasil pula mencegah jenis 16 dan 18 dan dua lagi jenis yang menyebabkan ketuat kelamin.

Selain itu, walaupun vaksin mencegah HPV disuntik, kelengkapan makmal untuk ujian lumuran pap juga harus disediakan. Ini kerana walaupun mendapat suntikan pelalian namun setiap wanita masih perlu melakukan ujian lumuran pap setiap tahun.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan subsidi pemeriksaan pelvik bagi mereka yang kurang berkemampuan. Namun, masalah sebenarnya bukan subsidi tetapi lokasi yang menyediakan ujian itu.

Di luar Kuala Lumpur misalnya, cuma ada 15 klinik yang berdaftar dengan kementerian untuk melakukan ujian lumuran pap dan bukan semua klinik desa menyediakan perkhidmatan itu.

Kemudahan ujian lumuran pap hanya tertumpu di bandar besar dan jika di hospital kerajaan, dikatakan membabitkan karenah birokrasi apabila individu itu perlu menunggu berbulan-bulan lamanya bagi melakukan ujian selepas membuat temujanji.

Jadi, adakah kesukaran melakukan pap smear itu menjadikan vaksin sebagai pilihan yang terbaik?

Jawapannya tidak. Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pemberian vaksin mencegah HPV bukan bermaksud ia melindungi seseorang itu 100 peratus.

"Walaupun ada vaksin tetapi setiap orang perlu menjalani pap smear mengikut jadual dan mengekalkan cara hidup sihat. Walaupun ada vaksin tetapi masih mengamal-amalkan gaya hidup bertukar pasangan ia masih boleh menyebabkan barah pangkal rahim," katanya.

Kemujaraban vaksin melindung 70 peratus kemungkinan diserang barah pangkal rahim tetapi masih ada ruang 30 peratus untuk barah terjadi.

"Memang di Britain misalnya ada laporan kematian dan kecacatan kecil yang dikaitkan dengan pelalian HPV, tetapi setakat ini semua laporan perubatan menafikan kaitannya dengan suntikan," katanya.

"Dunia perubatan ini mudah dan telus. Ia berdasarkan fakta dan bukti. Kalau benar ia menyebabkan banyak komplikasi dan laporan itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, dengan sendirinya produk itu akan dikeluarkan dari pasaran," katanya.

Jelasnya, walaupun setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin itu, tidak lama lagi selepas luputnya paten harta intelek akan banyak ubat-ubat generik muncul dan memberi pilihan kepada pengguna dengan harga yang jauh lebih murah.

"Keberkesanan sebenar ubat-ubatan akan mengambil masa berpuluh tahun untuk mengetahui kemujarabannya. Adakah kita perlu menunggu selama itu? Tentulah tidak. Perkiraan yang dibuat adalah berdasarkan beban ekonomi yang perlu ditanggung dengan statistik pesakit barah pangkal rahim di Malaysia," katanya.

Prof Abdul Rashid, pemberian vaksin mencegah HPV adalah pilihan terbaik kerana bukan semua wanita mahu melakukan ujian lumuran pap atas dasar malu dan akses yang terhad terutama di luar bandar.

Namun, fakta yang lebih tepat walaupun sudah mendapat suntikan vaksin, ujian lumuran pap masih perlu dilakukan. Jadi bukankah meningkatkan prasarana ujian lumuran pap di seluruh negara dan meningkatkan kesedaran tentang HPV dan barah pangkal rahim adalah jalan pertama yang perlu dibuat kerajaan sebelum memilih program pelalian mencegah HPV?

FAKTA: Barah pangkal rahim

  • Malaysia membelanjakan RM250 juta setahun untuk menguruskan barah pangkal rahim.
  • Daripada jumlah itu hanya sembilan peratus digunakan untuk ujian pengesanan awal barah pangkal rahim - ujian lumuran pap.
  • Daripada keseluruhan kes barah di Malaysia, barah pangkal rahim menduduki tempat kedua selepas barah payu dara.
  • Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 500,000 wanita diserang barah pangkal rahim setiap tahun.


Mengenali barah pangkal rahim
  • Disebabkan oleh jangkitan kuman human papillomavirus (HPV).
  • Pangkal rahim secara saintifiknya bertindak sebagai laluan. Darah mengalir dari uterus melaluinya untuk ke faraj ketika haid.
  • Pangkal rahim juga menghasilkan mukus yang membantu sperma bergerak ke dalam rahim. Ketika hamil, pangkal rahim tertutup rapat bagi melindung janin. Ketika proses kehamilan, pangkal rahim terbuka untuk membenarkan bayi lahir.
  • Barah pangkal rahim bermula seperti kebanyakan barah di mana-mana bahagian tubuh, ia bermula di dalam sel.
  • Selain HPV, faktor lain seperti merokok, sistem imun tubuh wanita, komplikasi pengambilan pil cegah hamil hanya sebahagian faktor lain yang dikaitkan dengan barah pangkal rahim.
  • HPV adalah virus yang sangat biasa ditemui pada lelaki dan wanita dan ada lebih 100 jenis HPV.
  • Lebih 50 peratus orang akan mengalami satu daripada jenis HPV itu sekali dalam hidupnya. Manakala jenis HPV yang lebih berisiko tinggi (misalnya jenis 16 dan 18) pula akan menjadi punca barah pangkal rahim.
  • HPV amat mudah berjangkit. Malah, kebanyakan orang dijangkiti HPV pada tahun-tahun pertama mereka aktif dalam hubungan seksual. Justeru, ujian lumuran pap sangat disarankan.


Faktor dijangkiti HPV.
  • Tidak melakukan rutin ujian lumuran pap
  • Sistem tubuh yang lemah
  • Usia (barah pangkal rahim lebih banyak terjadi pada wanita berusia 40 tahun ke atas).
  • Ramai pasangan seks atau perempuan yang melakukan hubungan intim dengan lelaki yang banyak pasangan seks.
  • Merokok
  • Komplikasi penggunaan pil perancang dalam masa yang panjang