Followers

Saturday, October 3, 2009

Hampir 3 ribu mangsa gempa Padang mungkin terperangkap: Jakarta

PADANG: Kementerian Kesihatan Indonesia menyatakan hampir 3,000 mangsa mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi kuat di Padang, Sumatera Barat kelmarin.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana kementerian itu, Priyadi Kardono, berkata 715 orang sudah disahkan terbunuh manakala 2,400 lagi dirawat di hospital.

Gempa bumi dasar laut berukuran 7.6 pada skala Richter menyebabkan kemusnahan teruk di sebahagian besar Sumatera Barat.

Kardono berkata, lebih 20,000 bangunan dan rumah rosak teruk atau musnah dan hampir 3,000 orangf masih terperangkap di Padang dan enam lagi wdaerah.

Pasukan penyelamat sedang berusaha mencari mangsa yang terselamat manakala bantuan antarabangsa mula tiba. - AP

Pasukan pakar bedah akan dihantar ke Padang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan satu lagi pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai perubatan dan doktor pakar surgeri di hantar ke Padang, Indonesia dalam Misi Bantuan Kemanusiaan.

Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Azizan Ariffin, berkata perkara itu disuarakan Perdana Menteri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa penghantaran kumpulan pertama misi itu di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat sini.

"Pasukan kedua itu dijangka dihantar hari ini atau esok bagi membantu kerja pembedahan mangsa yang cedera dalam gempa bumi itu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghantaran pasukan pertama oleh Perdana Menteri hari ini.

Seramai 88 anggota, terdiri daripada anggota MKN (dua), Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) (25), Kor Perubatan Teknikal ATM (17), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (lapan), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) (empat) dan selebihnya petugas media tempatan berlepas ke Padang pada 9 pagi tadi menaiki tiga pesawat C-130 TUDM.

Azizan berkata, pasukan pertama itu akan ditempatkan di sana selama 10 hari dan penambahan anggota pasukan itu akan dilakukan jika diperlukan namun ia bergantung kepada keperluan.

Katanya, turut dihantar ke Padang ialah komponen Tentera Darat seperti sebuah kenderaan Land Rover, dua buah ambulans dan tiga tan peralatan perubatan. - Bernama

170 pesakit baru dengan gejala ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Seramai 170 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 198 kes dibenar keluar hari ini.

Angka korban akibat Influenza A (H1N1) kekal pada 77 orang apabila tiada kematian baru dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 715 orang dengan 62 pesakit disahkan positif H1N1.

"Daripada 62 pesakit influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 17 kes atau 27 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gempa: Malaysia salur 3 aspek bantuan - Najib

PEKAN: Malaysia akan menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Sumatera, Indonesia, dalam tiga aspek iaitu pasukan Smart bagi mencari mangsa, perubatan dan bantuan kecemasan secara berterusan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bantuan pertama membabitkan pasukan Smart seramai 39 orang yang berlepas ke Sumatera pagi tadi. Katanya, kumpulan itu juga akan meninjau dan melapor situasi semasa serta cadangan mengenai bantuan tambahan untuk diberi kepada mangsa gempa bumi itu.