Followers

Thursday, October 1, 2009

Gempa 7.9 magnitud di Sumatera turut dirasai di Semenanjung

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud yang melanda selatan Sumatera pada jam 6.20 petang tadi turut dirasai hampir seluruh pantai barat Semenanjung.

Menurut laporan Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa yang berlaku jam 5.16 petang (waktu Jakarta) di selatan Sumatera membabitkan Kuala Lumpur dengan jarak 480 kilometer dari pusat gempa; Padang, Pekanbaru dan Sibolga.

Tsunami Samoa: Angka kematian cecah 76

APIA: Angka kematian gempa bumi selatan pasifik dan tsunami disahkan meningkat kepada 76 lewat semalam dan dijangka meningkat lagi, menurut pegawai negara itu.

Sekurang-kurangnya 47 maut di Samoa, 22 di negara jiran Amerika Samoa, berhampiran pusat gempa yang menggegarkan pada skala magnitud 8.0, dan tujuh yang lain terbunuh berhampiran Tonga.

Berdozen mangsa yang lain masih hilang dan dikhuatiri terbunuh, tetapi pegawai di ketiga-tiga negara kepulauan pasifik selatan itu berkata, sistem perhubungan tergendala di kebanyakan kawasan kampung. - AFP

H1N1: Tiada kematian baru sejak 19 September lalu

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) didaftarkan sejak 19 September lepas dengan angka kematian kekal 77 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, bagaimanapun 147 pesakit baru gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini menjadikan jumlah semasa kes ILI yang dirawat di seluruh negara kini menjangkau 890 orang, iaitu di 82 hospital termasuk sembilan hospital swasta.

"Walaupun terdapat pengurangan kes sejak kebelakangan ini, namun penularan penyakit Influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyebaran virus Influenza A (H1N1) dikhuatiri berlaku ketika musim perayaan Aidilfitri terutama sekali ketika penganjuran majlis rumah terbuka dan jamuan yang kebiasaannya dipenuhi dengan orang ramai.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mengunjungi majlis rumah terbuka dan jamuan Hari Raya supaya mengambil langkah-langkah bagi mencegah jangkitan influenza A (H1N1).

Sementara itu, Dr Mohd Ismail, berkata kesemua kes yang disahkan positif Influenza A (H1N1) mempunyai faktor risiko, iaitu tujuh pesakit terdiri daripada kanak-kanak bawah lima tahun, obesiti (empat), penyakit kronik (enam) dan penyakit respiratori kronik (satu). - Bernama

Amaran tsunami kepada Indonesia, Malaysia, India, Thailand

JAKARTA: Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami kepada Indonesia, Malaysia, India dan Thailand berikutan gempa bumi berukuran 7.6 mangnitud melanda barat Sumatera, jam 6.20 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Indonesia melaporkan gempa berkenaan berukuran 7.6 magnitud yang berpusat di pantai Sumatera.

Gegaran dapat dirasai di bangunan tinggi di Jakarta sehingga ke Singapura dan Malaysia.

Setakat ini tiada laporan segera mengenai ketinggian ombak dan mereka yang cedera. - AP