Followers

Wednesday, September 30, 2009

Tiga warga Korea antara yang maut akibat gempa di Samoa

SEOUL: Tiga warga Korea Selatan dilaporkan maut manakala seorang lagi hilang di Samoa Amerika selepas negara Kepulauan Pasifik itu dilanda gempa bumi kuat sehingga membawa tsunami, awal pagi ini.

Pegawai Kementerian Luar di Seoul mengesahkan mengenai kehilangan nyawa rakyatnya itu.

Agensi berita Yonhap pula melaporkan, angka kematian membabitkan warga Korea Selatan mungkin meningkat.

“Menurut Kedutaan Korea Selatan di New Zealand, setakat ini tiga warga kami terbunuh dan seorang lagi dilaporkan masih hilang, dikhuatiri dihanyutkan tsunami," katanya. - AFP

Australia, New Zealand sedia hantar misi bantuan ke Samoa

WELLINGTON: New Zealand dan Australia bersetuju menghantar bantuan kemanusiaan segera ke Samoa selepas negara di Kepulauan Pasifik Selatan itu dilanda gempa bumi dan tsunami, awal pagi ini.

New Zealand akan menghantar pesawat Air Force Orion ke Samoa untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa, kata Menteri Luar, Murray McCully.

Beliau berkata, New Zealand masih menunggu laporan sejauh mana kesan buruk bencana itu sebelum menghantar pesawat tentera berkenaan ke Samoa.

"Pegawai diplomatik New Zealand di seluruh Pasifik Selatan kini sedang bersedia bersama pihak berkuasa tempatan untuk mengumpulkan maklumat sebelum misi bantuan itu dilancarkan," katanya.

Australia juga sedang menyiapkan misi untuk membantu Samoa yang disifatkan 'amat memerlukan bantuan' selepas dilanda bencana buruk itu.

Setiausaha Parlimen Australia Bagi Kerjasama Pembangunan, Bob McMullan berkata, setakat ini tiada permintaan bantuan daripada kerajaan Samoa susulan kejadian gempa itu.

"Namun kita bersiap sedia untuk memberikan bantuan yang diminta mereka.

"Mereka adalah negara sahabat dan jiran kami yang akan dibantu dengan apa cara sekalipun," katanya. - AFP

28 maut gempa bumi, tsunami landa Samoa

APIA: Seramai 28 orang dilaporkan terbunuh selepas gempa bumi kuat yang membawa tsunami melanda Pasifik Selatan, khususnya di Samoa dan Samoa Amerika.

Menurut Palang Merah dan laporan media setakat pagi ini, masing-masing 14 maut di Samoa dan Samoa Amerika dalam kejadian jam 6.48 pagi waktu tempatan (1748 GMT).

Menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat, gempa berukuran 8.0 mangnitud itu cukup kuat untuk menyebabkan tsunami di dua negara kepulauan Pasifik Selatan itu. - AFP

Tuesday, September 29, 2009

H1N1: Tunda hasrat tunaikan fardu haji

RIYADH 28 Sept. - Arab Saudi menggesa umat Islam yang tidak sihat seperti warga emas, yang sakit, wanita mengandung dan kanak-kanak supaya menunda hasrat mereka untuk melakukan ibadah haji ke Mekah sebagai usaha mengelakkan penularan berskala besar selesema babi (influenza A/ H1N1).

Sehingga kini, kira-kira 3,500 kes H1N1 telah disahkan di Arab Saudi yang kebanyakannya berjaya dirawat manakala 26 daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut media tempatan.

Arab Saudi mengambil langkah-langkah khusus untuk mencegah wabak besar itu pada musim haji November ini di mana tiga juta jemaah haji daripada 160 buah negara dijangka berkumpul di Mekah selain turut mengerjakan umrah.

Antara langkah tersebut ialah, pemasangan 20 buah alat pengesan terma bagi memeriksa para jemaah di terminal lapangan terbang haji di bandar pelabuhan Laut Merah di Jeddah iaitu hentian pertama untuk para jemaah tiba di Arab Saudi.

Kakitangan perubatan di lapangan terbang itu akan dipertingkatkan kepada 20 peratus berbanding pada musim haji tahun lepas, iaitu menjadi 550 pakar perubatan termasuk para doktor, jururawat, juruteknik makmal dan ahli farmasi.

Pihak berkuasa akan menyediakan pusat kesihatan berdekatan lapangan terbang di Jeddah dan Madinah, kota suci kedua, yang boleh menampung sehingga 500 orang pesakit dalam satu-satu masa yang akan dihantar untuk menerima rawatan semasa tempoh kuarantin.

Kerajaan tersebut juga telah membuat tempahan kira-kira 10 juta dos vaksin H1N1 yang dijangka akan tiba pada bulan Oktober dan ia akan diwajibkan kepada semua jemaah haji yang tiba di Arab Saudi.

Arab Saudi turut meningkatkan stok Tamiflunya sehingga 20 peratus, dua kali melebihi daripada yang disyorkan oleh WHO untuk negara-negara lain, menurut pihak berkuasa Julai lalu.

Pihak berkuasa telah menangguhkan permulaan persekolahan tahu baru sehingga dua minggu untuk melatih kira-kira 66,000 orang guru mengenai kaedah mencegah penularan virus itu di sekolah. Kementerian turut akan mendapatkan lima juta dos vaksin H1N1 untuk golongan pelajar. - Reuters