Followers

Wednesday, September 23, 2009

H1N1: Tiada kematian baru

KUALA LUMPUR: Tiada kematian akibat influenza A (H1N1) dilaporkan semalam manakala 96 kes dengan gejala seperti penyakit influenza (ILI) dimasukkan ke hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Menurut beliau, 65 kes sudah didiscaj dan daripada jumlah ILI yang sedang di rawat, hanya 177 pesakit atau satu pertiga merupakan kes H1N1 yang disahkan dan 26 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ia menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 80 hospital termasuk sembilan hospital swasta di seluruh negara berjumlah 618 kes, kata beliau.

"Tiada kematian H1N1 didaftarkan dan jumlah terkumpul adalah kekal pada 77 kematian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Seramai 24 orang atau 92 peratus kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko antaranya sembilan kanak-kanak bawah lima tahun, lima penyakit kronik, enam obesiti, tiga penyakit respiratori kronik dan dua hamil. - Bernama

Ops Sikap: 21 kematian pada hari ke-10

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian bagi Ops Sikap ke-20 meningkat kepada 177 semalam dengan 21 lagi kematian pada hari ke-10 kempen itu.

Penunggang motosikal terus mendahului senarai dengan 14 kematian diikuti kereta (4), basikal (2) dan pejalan kaki (1).

Penguasa Perhubungan Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli dalam satu kenyataan hari ini, berkata jalan persekutuan mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu 384 kes diikuti jalan bandaran (271), jalan negeri (181), lebuh raya (81) dan jalan lain 53 kes.

"Secara keseluruhan 970 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara dan 7,927 saman dikeluarkan semalam," katanya.

Ops Sikap Ke-20 yang bermula 13 September lalu akan tamat Ahad ini bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri. - Bernama

Menteri akan disoal berhubung penyiaran kertas kabinet PKFZ

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata Menteri Kabinet adalah antara individu yang akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes penyiaran dan penyebaran Kertas Kabinet mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di sebuah laman web baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan siapa atau berapa menteri yang akan disoal untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab mendedahkan dokumen sulit itu yang membabitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Polis akan memanggil mereka yang dipercayai terbabit termasuklah menteri," katanya selepas selesai melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, hari ini.

Kertas Kabinet berhubung PKFZ itu disiarkan di laman web didakwa sebagai Memorandum Daripada Menteri Kewangan berhubung PKFZ yang tertakluk kepada OSA.

Musa, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai isu itu kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan.

Sementara itu, Musa berkata, anggota polis berpakaian preman dan rondaan menggunakan kenderaan tanpa logo polis akan diperluaskan untuk mencegah jenayah dengan dengan lebih efektif.

Beliau berkata, strategi itu akan terus diperluaskan dan dipraktikkan secara berperingkat di seluruh negara bagi mengekang pelbagai kejadian jenayah.

"Saya dah bincang untuk wujudkan pegawai serta anggota polis tanpa seragam dan ia sudah dilaksanakan secara berperingkat. Separuh tempat sudah ada anggota yang ditugaskan untuk berkawal," katanya.

Anggota polis terbabit akan ditempatkan di semua kawasan dan tidak tertumpu kepada kawasan panas semata-mata.

"Kawasan hot spot (panas), kita sudah ada anggota kita sendiri dan anggota Rela (Ikatan Relawan Rakyat), bila ada pihak berkuasa... jenayah kurang berlaku di kawasan terbabit sebab mereka (penjenayah) lari ke kawasan lain dan kerana itu rondaan perlu dijalankan di semua tempat," katanya.

"Bila tiba musim perayaan berlaku juga kes-kes seperti samun dan rompak. Ini kerana pada waktu itu orang tidak ramai dan ini memberi kesempatan kepada suspek untuk melakukan jenayah.

"Kita berharap peniaga seperti pengusaha kedai emas supaya lebih berwaspada ketika menjalankan perniagaan pada waktu ini (hari raya)," katanya. - Bernama

Pasukan F1 1Malaysia lonjakkan industri pelancongan: Ng

KUALA LUMPUR: Pasukan F1 1Malaysia, yang akan membuat kemunculan sulung dalam Kejohanan Formula Satu (F1) Dunia tahun depan, akan terus melonjakkan lagi pelancongan sukan di negara ini, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, hari ini.

Beliau berkata, malah masyarakat setempat dan warga Malaysia di seluruh dunia juga ingin datang untuk melihat sendiri pasukan Malaysia beraksi.

"Apa jua perkembangan dalam mana-mana sukan semestinyalah satu kelebihan dan bagi industri pelancongan, ia akan menarik kedatangan pelancong dan masyarakat Malaysia untuk datang serta menonton sendiri acara itu," katanya pada sidang media Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia yang julung kali diadakan di sini.

Dr Ng berkata, acara bertaraf dunia seperti Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia dan perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia adalah produk pelancongan utama negara.

Kerajaan akan membantu mempromosikan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia yang berlangsung dari 26 September hingga 4 Oktober, katanya, sambil menambah, publisiti bagi acara itu, termasuk liputan secara langsung, akan dapat disaksikan oleh 200 juta penonton di seluruh dunia. - Bernama