Followers

Tuesday, September 22, 2009

H1N1: Tiada kematian terbaru, 587 kes ILI

KUALA LUMPUR: Tiada kematian terbaru dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi, akibat daripada virus Influenza A (H1N1), dengan 587 kes influenza-like illness (ILI) yang sedang dirawat sebagai pesakit dalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya, berkata daripada jumlah itu hanya 169 pesakit (29 peratus) adalah kes H1N1 yang disahkan menerusi ujian makmal.

Beliau berkata, daripada jumlah pesakit H1N1 yang masih dirawat di hospital, 28 kes (17 peratus adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 26 (93 peratus) kes H1N1 yang di rawat mempunyai faktor risiko.

Ia merangkumi kanak-kanak bawah 5 tahun (9 kes), penyakit kronik (5), obesiti (6), penyakit respiratori kronik (4) dan hamil (2), katanya lagi.

Laporan yang diterima itu adalah daripada 74 hospital termasuk 10 hospital swasta yang merawat kes ILI.

Jumlah terkumpul kematian akibat daripada H1N1 kekal pada 77 mangsa.

Perkenal, laksana program Komuniti Selamat dalam konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan supaya memperkenalkan Komuniti Selamat selaras dengan konsep 1Malaysia.

Naib pengerusi yayasan itu, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata MCPF melihat 1Malaysia hendaklah juga digabungkan dengan isu berkaitan keselamatan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata, 1Malaysia mestilah juga bermakna selamat Malaysia, sebuah negara yang bebas bukan hanya daripada jenayah tetapi juga kemalangan yang tidak diingini dan malapetaka yang berpunca daripada manusia.

Di samping memperbaiki kehidupan individu, komuniti selamat mewujudkan banyak manfaat yang sama seperti memperbaiki tahap keselamatan untuk orang ramai, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan Komuniti Selamat menyediakan teras penting untuk pemimpin masyarakat, majikan dan pekerja serta anggota beruniform untuk membina satu masyarakat yang lebih baik di tempat mereka bekerja dan tinggal.

Lee berkata, Program Komuniti Selamat merujuk kepada pembangunan masyarakat dan pendekatan yang disampaikan.

"Ia satu pembangunan integrasi budaya keselamatan dalam masyarakat yang menekankan keselamatan di tempat kerja, sekolah, rekreasi, pencegahan jenayah dan lain-lain", katanya .

Sehubungan itu, beliau berkata, program berkesan boleh direalisasikan melalui sinergi keselamatan dan inisiatif kesihatan daripada pelbagai kumpulan komuniti, perbadanan tempatan, peniaga, pertubuhan, persatuan, sekolah, penyedia penjagaan kesihatan, agensi kerajaan dan kumpulan khidmat lain.

Beliau juga menyeru pembuat dasar, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan semua peringkat masyarakat untuk menjadikan bandar raya, bandar dan kampung selamat untuk semua. - Bernama

Penipuan kad kredit, tiga rakyat Malaysia ditahan

BANGKOK: Tiga rakyat Malaysia ditahan di sebuah pusat beli belah di pinggir bandar raya Bangkok kerana cuba membeli kamera dengan menggunakan kad kredit palsu.

Ketiga-tiga mereka, iaitu dua daripadanya berumur 28 tahun dan seorang lagi berusia 43 tahun, ditahan polis Thailand sementara menunggu kad kredit mereka diproses di sebuah kedai menjual kamera di wilayah Nonthaburi.

"Namun tanpa pengetahuan mereka, pemilik kedai yang mensyaki terdapat suatu yang mencurigakan pada kad mereka, menghubungi bank untuk mengesahkan kad," kata Ketua Metropolitan Wilayah Satu, Mejar Jeneral Pol Chalong Sonchai kepada media hari ini.

Beliau berkata, polis menuju ke pusat beli belah itu selepas dimaklumkan dua bank komersil dan menemui rakyat Malaysia berkenaan menunggu di kedai menjual kamera.

Ketika pemeriksaan, polis menemui 10 kad kredit palsu didakwa dikeluarkan bank di Eropah dan Amerika Syarikat serta dua pasport palsu.

Puluhan rakyat Malaysia ditahan di Thailand sejak akhir-akhir ini kerana penipuan kad kredit.

Di Penjara Klong Prem dekat sini, lebih dua pertiga daripada 92 banduan Malaysia sedang menjalani hukuman penjara kerana penipuan kad kredit.

Pada Januari lalu, seorang rakyat Malaysia 40 tahun yang dikehendaki Amerika Syarikat kerana mengimbas dan mencuri data pemegang kad kredit, ditahan polis Thailand di Nonthaburi. - Bernama

Kajian pindaan ISA dibentang di Parlimen bulan depan

ALOR GAJAH: Hasil kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijangka dibentang pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata, pada masa ini kajian masih diteruskan termasuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

"Ikut perancangan, kita akan cuba bentang di Parlimen dalam sesi Bajet 2010 Oktober ini untuk pembentangan pertama," katanya ketika mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Awal Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kerajaan sedang mendapatkan maklum balas mengenai ISA dan membuat kajian semula berhubung akta itu.

Mengenai pihak pembangkang yang mendakwa pembebasan lima tahanan ISA yang kesemuanya anggota Jemaah Islamiah Malaysia pada 15 September lalu sebagai "permainan politik" Barisan Nasional untuk meraih sokongan pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan 11 Oktober ini, Abu Seman berkata "apabila kita buat sesuatu yang baik, pembangkang akan kata tidak baik kerana itu memang kerja pembangkang".

Abu Seman yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, berkata kerajaan membebaskan kelima-lima tahanan ISA itu selepas mendapati mereka telah pulih dan tidak lagi mengancam keselamatan negara.

"Kita bebaskan mereka ikut undang-undang tetapi pada pihak pembangkang semua yang kerajaan lakukan semuanya tidak betul," katanya.

Beliau berkata, pembangkang akan mempolitikkan apa saja yang dilakukan kerajaan semata-mata untuk kepentingan politik mereka. - Bernama