Followers

Monday, September 21, 2009

Ibu Menteri Besar Perlis meninggal dunia

KANGAR: Ibu kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Mahasa Jusoh, 86 meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah di sini pagi ini akibat sakit tua.

Allahyarham yang menerima rawatan di hospital itu sejak 21 Julai lalu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8 pagi.

Berada di sisi beliau ialah anak dan cucu.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Kechor dekat sini dan antara yang menziarah ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Md Isa berkata, jenazah ibunya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Hutan Changkat Abi berhampiran rumahnya selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu dua lelaki, termasuk Md Isa, dan dua perempuan serta 18 cucu dan 10 cicit.

Semasa hayatnya, Allahyarham turut bergiat aktif dalam politik dan berjuang dalam Pergerakan Wanita Umno sejak awal penubuhannya.

Md Isa berkata, ibunya adalah pendorong kepada beliau menyertai politik. - Bernama

Sunday, September 20, 2009

Pecah benteng prasangka

PM mahu rakyat Malaysia perkukuh semangat muhibah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam dan rakyat Malaysia memperkukuhkan semangat muhibah dan memecahkan benteng prasangka demi masa depan generasi muda.

"Marilah kita memanfaatkan hari perayaan sebegini untuk memulihkan dan memperbaiki hubungan yang dingin dan retak sesama kita umat Islam dan juga sesama kita rakyat Malaysia," katanya.

Beliau mengajak rakyat memperbaiki jambatan sedia ada dan membina rangkaian jambatan persefahaman yang baru.

"Pecahkan benteng prasangka, kebencian dan ketidakpedulian yang ada demi masa depan lebih baik untuk anak-anak kita," katanya dalam perutusan Aidilfitri pertama sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, umat Islam Malaysia harus menjadi pembawa obor perpaduan serta kemajuan dan selaku kaum majoriti di negara ini, mereka bukan saja mempunyai hak tetapi yang lebih penting, mereka mempunyai tanggungjawab untuk digalas.

Najib juga menggalakkan tradisi rumah terbuka diteruskan, bukan saja untuk membuka pintu rumah tetapi juga 'pintu hati' kepada semua, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

"Konsep rumah terbuka yang diamalkan selama ini menjadi manifestasi tuntas kepada gagasan 1Malaysia. Teruskan tradisi yang mulia ini kerana kita semua sebuah keluarga besar. Keluarga 1Malaysia," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini mempunyai banyak sebab untuk bersyukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang merdeka dan diberkati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dalam suasana majoriti umat Islam di seluruh dunia hidup tertekan baik dalam politik, ekonomi atau peperangan.

"Keadaan ini bukan terjelma secara sendiri tetapi 'hasil pengorbanan darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita', pejuang kemerdekaan dan pasukan keselamatan negara," katanya.

Najib berkata, walaupun sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan kepelbagaian, Malaysia sudah berjaya menguruskannya menjadi pemangkin kepada kesatuan dan kemajuan.

"Sayangnya, ada pedagang dan penjaja kebencian yang cuba menafikan hakikat ini. Mereka cuba menanam ajaran tidak bersyukur dalam benak rakyat dalam usaha mencapai matlamat sempit ini.

"Mereka mendakwa bahawa semua kerajaan di dunia adalah sama baik, bahawa kemakmuran, keselamatan dan kemajuan boleh dicapai tanpa perancangan, usaha gigih dan pemantauan yang rapi," katanya.

Perdana Menteri bertanya jika dakwaan mereka itu benar, mengapa wujud perbezaan di antara negara yang maju dan mundur serta masih ada kebuluran dan berlakunya pembunuhan atas nama etnik.

Aidilfitri disambut meriah, semangat 1Malaysia menyerlah

KUALA LUMPUR: Selepas genap sebulan berpuasa, umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka dengan semangat baru 1Malaysia.

Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan solat Aidilfitri pada pagi Syawal.

Amalan mengadakan rumah terbuka yang juga lumrah pelbagai kaum di Malaysia semasa sambutan hari kebesaran masing-masing, membawa keistimewaan kali ini dengan menyahut dan menyemarakkan semangat 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Di ibu negara, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di Istana Negara.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 10,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kemudiannya mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) MU dari 10 pagi hingga 3 petang.

Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Penglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, menunaikan solat sunat hari raya bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Mengiringi baginda Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong dan kerabat diraja.

Baginda kemudian menziarahi makam diraja di perkarangan masjid itu.

Sementara itu, Ahmad mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Sri Iman, di Batu Burok. - Bernama

H1N1: Tiada kematian baru, hanya 15 kes ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Hanya 15 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan sehingga jam 9 pagi tadi.

Tiada kes kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan dalam tempoh sama dan angka korban kekal pada 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pada masa sama sejumlah 121 kes telah dibenar pulang, menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 91 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara seramai 604 orang. "Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 151 pesakit atau 25 peratus adalah kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 151 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, sejumlah 31 kes atau 21 peratus adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, jumlah itu termasuk satu kes yang telah keluar dari ICU.

"Sebagai makluman, seramai 22 atau 78 peratus kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (7), penyakit kronik (5), obesiti (5), penyakit respiratori kronik (3) dan hamil (2)," katanya.