Followers

Sunday, September 20, 2009

H1N1: Tiada kematian baru, hanya 15 kes ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Hanya 15 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan sehingga jam 9 pagi tadi.

Tiada kes kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan dalam tempoh sama dan angka korban kekal pada 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pada masa sama sejumlah 121 kes telah dibenar pulang, menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 91 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara seramai 604 orang. "Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 151 pesakit atau 25 peratus adalah kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 151 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, sejumlah 31 kes atau 21 peratus adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, jumlah itu termasuk satu kes yang telah keluar dari ICU.

"Sebagai makluman, seramai 22 atau 78 peratus kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (7), penyakit kronik (5), obesiti (5), penyakit respiratori kronik (3) dan hamil (2)," katanya.

Duta Indonesia harap hubungan dua hala dipertingkat

KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar, hari ini mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Malaysia dan melahirkan harapan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan lagi

"Saya mengucapkan Selamat Hari Raya (kepada rakyat Malaysia) bagi pihak kerajaan Indonesia dan rakyatnya, semoga hubungan dua negara dapat dipertingkatkan lagi dan membawa kesejahteraan," katanya kepada Bernama selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 1,500 warga Indonesia di kediaman rasminya di Wisma Duta, Jalan U Thant di sini.

Sementara itu, walaupun kebanyakan warga Indonesia berkenaan merindui keluarga masing-masing namun mereka tetap gembira menyambut Hari Raya di sini.

Ali Kasim, 44, dari Sulawesi Selantan, yang pertama kali menyambut lebaran di perantauan, berkata walaupun berasa sedih tetapi beliau masih dapat merasai kemeriahan suasana raya di Malaysia.

Rizki Erianto, 20, yang sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan teknologi maklumat di sini berkata, suasana hari raya amat berbeza tanpa kehadiran ibu bapanya.

"Saya benar-benar rindukan kampung halaman. Saya amat berharap yang keluarga saya ada bersama saya hari ini. Tetapi saya tetap gembira kerana saudara mara dan rakan Malaysia saya ada bersama-sama untuk meraikan hari yang mulia ini," katanya.

Seorang lagi ialah Sita Uni Syarifah, 32, dari Jakarta yang mengikuti suaminya ke Malaysia atas urusan kerja.

"Ini pertama kali kami beraya di perantauan. Kami amat merindui keluarga kami kerana siapa yang tidak mahu pulang untuk bersama-sama orang yang disayangi pada Hari Raya. Tetapi kami tetap gembira dengan ditemani rakan-rakan Malaysia di sini," katanya. - Bernama

1Malaysia terserlah pada rumah terbuka PM, Kabinet

PUTRAJAYA: Daripada menu hinggalah pengunjung pelbagai kaum, semangat 1Malaysia terserlah di kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing pada majlis rumah terbuka anjuran Datuk Seri Najib Razak buat pertama kalinya sebagai Perdana Menteri.

Ribuan orang berpusu-pusu ke Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di sini untuk mengunjungi rumah terbuka itu yang bermula 11 pagi.

Najib yang lengkap berpakaian baju Melayu merah jambu dan isteri beliau, Datin Rosmah Mansor, serta menteri Kabinet beramah-mesra dengan tetamu dan pengunjung.

Duta dan diplomat asing serta tokoh korporat termasuk adik Najib, Datuk Seri Nazir, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

Pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dijamu dengan pelbagai juadah termasuk makanan kegemaran ramai seperti satay selain ketupat, lemang, thosai dengan kari dhal dan kuetiau goreng.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan konsert artis tempatan.

Terdahulu, Perdana Menteri dan Rosmah menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di Istana Negara sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Selepas solat, Najib, Rosmah dan anak perempuan mereka turut menziarahi makam ayahanda beliau di Makam Pahlawan yang terletak dalam kawasan Masjid Negara. - Bernama

Pelajar kita terselamat gempa Bali


PENDUDUK yang cedera akibat gempa menerima rawatan di Hospital Sanglah, Denpasar, semalam. - Foto AFP

7 penduduk cedera akibat gegaran 6.4 skala Richter

JAKARTA: Semua 239 pelajar Malaysia di Bali disahkan selamat dalam kejadian gempa di pulau peranginan itu yang berlaku pada jam 6.06 pagi semalam waktu Indonesia Barat.

Gempa berukuran 6.4 pada skala Richter itu berpusat di 101 kilometer ke tenggara Nusa Dua dengan kedalaman 36 kilometer.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata sebaik menerima panggilan daripada beberapa pemimpin pelajar yang merasakan gegaran gempa bumi itu, MSD menghubungi pelajar Malaysia di pulau itu untuk mengesahkan keadaan mereka.

"Alhamdulillah, semua selamat walaupun banyak yang dapat merasakan gegaran kuat ketika itu," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 80 pelajar di Bali sudah memaklumkan mereka pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri.

Laporan Badan Meteorologi, Cuaca dan Geofisik Indonesia berkata, gempa bumi dapat dirasakan di perairan Maluku Utara pada jam 1.34 pagi waktu Indonesia Barat berpusat di kilometer 117, Barat Laut Ternate-Maluku Utara.

Sementara itu, mengenai sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Dr Junaidi berkata, pelajar di Jakarta akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di kedutaan.

"Mereka akan menyertai ratusan rakyat Malaysia menunaikan solat sunat Aidilfitri di kedutaan dan menikmati hidangan hari raya serta bersilaturahim," katanya.

Di DENPASAR, gempa bumi itu dilapor mencederakan tujuh orang dan menyebabkan pelancong serta penduduk yang panik keluar dari hotel dan rumah.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan kerosakan besar diterima.

Jurucakap Hospital Sanglah, Dr Ken Wirasandi, berkata tujuh dirawat akibat cedera di kepala serta patah tulang di hospital itu.

Katanya, wanita dan kanak-kanak berlari keluar dari rumah sambil menjerit ketika tanah mula bergoncang.

"Saya takut kerana ia amat kuat," kata pelancong Belanda yang tinggal di pantai Kuta, Ernst Raynaldo.

Katanya, beliau segera berlari ketika melihat ramai yang lain bergegas terjun ke dalam kolam renang dan ruang terbuka yang paling dekat.

Gempa di Bali berlaku dua minggu selepas gegaran kuat di Jawa menyebabkan hampir 100 terkorban atau masih hilang serta meranapkan ribuan rumah. � Bernama/AP