Followers

Friday, September 18, 2009

Susilo jamin pertahan hubungan

Indonesia tidak akan biar tindakan segelintir rakyat mahu sapu Malaysia

JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memberi jaminan hubungan baik Malaysia-Indonesia akan berterusan dan Kerajaan Indonesia tidak akan membiarkan tindakan segelintir rakyat untuk menyapu Malaysia diteruskan.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, yang bertemu pemimpin Indonesia selepas mesyuarat bersama rakan sejawatnya, Hassan Wirajuda berkata: "Bapa Presiden berkata, selagi kita berjiran sudah pasti ada masalah. Beliau amat jelas dengan pendirian bahawa hubungan Malaysia-Indonesia adalah baik, apa yang berlaku dicetus oleh segelintir rakyatnya saja."

Anifah bertemu Presiden selama sejam dan antara lain berbincang mengenai mengenai ekonomi terutama kerjasama dua negara yang menjadi pengeluar terbesar dunia dalam kelapa sawit.

"Beliau amat prihatin dalam isu tenaga hijau, dan pa-da masa sama kita bersetuju sebagai dua negara pengeluar terbesar sawit dunia kita tidak perlu bersaing, sebaliknya bekerjasama bagi memastikan harga komoditi ini terus stabil," katanya ketika ditemui di Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam.

Menjawab soalan, Anifah berkata dia tidak mahu membuat andaian mengenai campur tangan pihak lain yang mungkin ingin memporak peranda hubungan Malaysia-Indonesia.

"Saya tidak mahu membuat andaian sekiranya ada agenda tersembunyi pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan dua negara ini. Cuma saya tidak faham kita telah memberi penjelasan sejelas-jelasnya mengapa mereka tidak mahu menerima.

"Saya katakan pada Bapa Presiden, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo, adalah generasi pertama keturunan Jawa bagi keluarga terbabit, jadi sudah pasti adat istiadat Jawa masih kuat di dalam keluarga itu. Bagaimana kita hendak meminta rakyat Malaysia yang keturunan Jawa seperti Khir ini berhenti daripada menjadi orang Jawa.

"Begitu juga dengan arkitektur bangunan bagi orang yang berketurunan Jawa atau Minang. Rumah Menteri Penerangan, Datuk Rais Yatim, berciri Minang, adakah kita hendak meminta dia merobohkan rumahnya. Pendirian Malaysia ialah ini semua adalah budaya Melayu, budaya serumpun yang dikongsi bersama Indonesia � tapi kita tidak pernah mengakui bahawa adat dan budaya itu adalah hak Malaysia," tegasnya.

Anifah berkata, Malaysia dan Indonesia sepakat untuk meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara rakyat, serta akan meneruskan perbincangan bagi memastikan ketegangan antara rakyat kedua negara tidak berpanjangan.

"Kita jangan terlalu ambil ringan.... sebagai negara berjiran kita memang akan mempunyai masalah dari semasa ke semasa. Semua perkara yang berlaku akan kita selesaikan secara baik. Rundingan yang berjalan hari ini (semalam) berjalan sangat baik dan kami akan mempertingkatkan lagi beberapa isu yang kita bincang hari ini," kata Anifah.

Sementara itu, Hassan meminta rakyat republik berkenaan untuk melihat semua isu yang berbangkit dengan Malaysia dalam perspektif lebih luas, serta mengambil pendekatan rasional dalam meleraikan pelbagai isu yang wujud antara kedua-dua negara.

"Sebetulnya tahun lalu kita sudah meminta EPG (Kumpulan Tokoh Terkemuka Asean) untuk mengemukakan cadangan menyelesaikan masalah serta langkah yang perlu untuk memajukan hubungan dua negara.

"Tetapi belum sempat untuk kita duduk bersama merancang program pelan tindakan yang perlu kita lakukan, kita dikejar isu yang kini meruncing semula hubungan antara rakyat kedua-dua negara," kata Hassan.

Masyarakat Pantai Timur Sabah sambut baik cadangan bina loji janakuasa arang batu

16th September, 2009

LAHAD DATU: Pemimpin dan masyarakat kawasan pantai timur Sabah menyifatkan cadangan kerajaan membina loji janakuasa arang batu di Felda Sahabat, kira-kira 100 kilomter dari sini, sebagai tepat dan kena pada masa.

Sambil menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cadangan itu semalam, mereka berkata sumber tenaga berterusan tanpa gangguan amat diperlukan bagi menampung pertumbuhan pesat ekonomi di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku, Datuk Suhaili Said, berkata penyelesaian masalah kekurangan bekalan elektrik akan merangsang pertumbuhan industri hiliran berasaskan pertanian marin di kawasan pantai timur Sabah.

“Lahad Datu merupakan kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) yang terbesar di Malaysia. Felda Sahabat juga dipilih kawasan ternakan lembu Fidlot peringkat kebangsaan,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Katanya dengan adanya loji janakuasa arang batu itu, manfaatnya bukan sahaja dapat dinikmati oleh penduduk kawasan Lahad Datu tetapi juga penduduk kawasan pantai timur lain seperti Tawau, Semporna, Kunak dan Sandakan.

Di TAWAU, Adun Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan pula menyifatkan pembinaan loji janakuasa berkuasa 300MW itu dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik untuk tempoh jangka panjang.

“Saya yakin pembinaan loji tersebut akan memenuhi piawaian alam sekitar melalui tapisan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan selamat untuk beroperasi,” katanya, yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah.

Katanya bantahan kumpulan pencinta alam sekitar dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang terhadap pembinaan loji itu tidak mencerminkan kehendak majoriti penduduk Sabah yang dahagakan bekalan tenaga elektrik.

Di SANDAKAN, Pegawai Perhubungan Awam Dewan Perniagaan dan Bumiputera Sabah

cawangan Sandakan Jorjy Juana berkata pembinaan loji itu membuktikan kerajaan menyedari masalah yang dihadapi oleh rakyat negeri itu.

Katanya masyarakat pantai timur Sabah merasai kesan akibat masalah kekurangan bekalan elektrik yang turut menjejaskan sektor industri dan peniaga.

Namun, beliau berharap kerajaan dapat memastikan pembinaan loji janakuasa itu dibina berdasarkan kelulusan laporan EIA yang ketat bagi mengelakkan ia menjejaskan alam sekitar dan penduduk di sekitarnya.

“Jika kawasan itu tidak sesuai, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu mencari sumber bekalan elektrik yang lain,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan (PNK) Tawau, Hasan Timbasal, pula berkata dengan adanya tenaga elektrik yang mencukupi, nelayan pantai timur di kawasan pesisiran pantai akan mendapat bekalan elektrik dan mendorong mereka menceburi industri kecil berasaskan sumber laut.

“Selama ini, antara faktor penghalang nelayan pantai daripada menceburi industri kecil berasaskan hasil-hasil laut ialah masalah elektrik dan air,” katanya.

Jangan calonkan Isa Samad: Dr Mahathir

PUTRAJAYA: "Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu, berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura Isa turut disenarai sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Dr Mahathir berkata walaupun Umno bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri mahukan dirinya bertanding, mereka perlu ingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan melibatkan wakil dari Umno bahagian itu sahaja yang bertanding.

"Ini kerana rakyat akan melihatnya sebagai mewakili Umno dari seluruh negara dan menggambarkan pendirian Umno.

"Macam satu orang boleh menang jadi Presiden Umno tapi tak bermakna dia boleh menang pilihan raya," katanya.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Oktober dan penamaan calon pada 3 Oktober.

Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September akibat jangkitan dalam darah.

Mengenai kemelut MCA, Dr Mahathir berkata ia boleh selesai sekiranya pemimpin parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Mereka, katanya, perlu sedar yang utama parti dan bukannya mereka.

"Seorang pemimpin tidak akan membuat sesuatu untuk merosakkan parti," katanya.

"Kalau you (pemimpin) tahu you dah tak layak kerana apa-apa. You berhenti. Jangan nak pegang (jawatan) saja," katanya.

Beliau berkata pemimpin harus sedar kerana partilah, mereka mendapat kedudukan.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, mesyuarat agung luar biasa MCA boleh menyelesaikan kemelut parti itu jika para pemimpin parti itu mengutamakan kepentingan parti.

Kemelut MCA itu menjadi hangat apabila timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat kerana masalah disiplin berhubung isu skandal seksnya. - Bernama

Anak bekas setiausaha sulit Tun Abdullah didakwa miliki bom tangan

PETALING JAYA: Anak kepada bekas setiausaha sulit bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki sebutir bom tangan.

Muhammad Ezra Rusli, 27, didakwa memiliki bom tangan jenis Grenad (M213) di sebuah rumah beralamat C2-67 D''Shire Villa, Jalan Camar 4, Kota Damansara, pada 1 tengah hari, 8 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8. Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana ia adalah kesalahan yang serius dan tidak boleh dijamin.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan 19 Oktober untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, Muhammad Ezra, seorang peniaga, turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan iaitu menggugut dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapanya, Rusli Abdul Malik, 61.

Muhammad Ezra didakwa menggugut untuk membunuh bapanya dengan menggunakan sepucuk pistol jenis Glock mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapanya itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara 3.30 petang hingga 5 petang, pada tarikh dan di tempat yang sama.

Majistret Aishah Hijriah Arshad tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Oktober untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan sama ada tertuduh perlu dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan kesihatan dan untuk melantik peguam bela. - Bernama