Followers

Friday, September 18, 2009

H1N1: 77 pesakit baru dimasukkan ke hospital

KUALA LUMPUR: Sejumlah 77 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa selesema (ILI) sudah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan, hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) dicatatkan.

Katanya, sejumlah 137 kes telah dibenarkan keluar hospital dan sekaligus menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 90 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 821 orang.

"Daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, 141 pesakit iaitu 17 peratus telah disahkan positif H1N1," katanya.

Beliau berkata, bilangan kes yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) buat masa ini kekal sebanyak 30 kes melibatkan tiga kemasukan baru dan tiga lagi kes telah keluar dari ICU.

"Daripada 30 kes berkenaan, 26 kes iaitu 87 peratus mempunyai faktor risiko iaitu lapan kes penyakit kronik, enam kes masing-masing obesiti dan kanak-kanak bawah lima tahun, manakala tiga kes lagi masing-masing penyakit respiratori kronik dan hamil," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan meminta orang ramai, terutamanya yang mengalami gejala ILI semasa berada di kampung, agar tidak lupa mengamalkan langkah-langkah pencegahan semasa menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.

Langkah-langkah itu adalah:

1. Mereka perlu mengasingkan diri daripada anggota keluarga yang lain.

2. Sekiranya perlu bersama-sama anggota keluarga, mereka hendaklah memakai penutup mulut dan hidung.

3. Elakkan daripada berada terlalu dekat dengan anggota keluarga termasuklah memeluk anggota keluarga yang terdiri daripada golongan berisiko seperti kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun, wanita hamil, pesakit asma, pesakit diabetes, pesakit imuniti rendah.

4. Seboleh-bolehnya mereka dinasihatkan tidak menghadiri tempat yang sesak atau keramaian umpamanya mengunjungi rumah terbuka, majlis kenduri dan juga sembahyang sunat Hari Raya kerana dikhuatiri akan menjangkiti orang lain. Namun jika mereka ingin juga menghadiri sembahyang sunat Hari Raya, maka hendaklah memakai penutup mulut dan hidung serta membawa sejadah atau pelapik sembahyang sendiri dan tidak berkongsi dengan orang lain.

5. Sepanjang berada di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri daripada orang lain, sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri.

6. Sekiranya gejala tidak berkurangan, individu perlulah berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan dengan segera. - Bernama

1Malaysia janjikan harapan kepada rakyat: Aktivis Sosial

17th September, 2009

KOTA KINABALU: Jika konsep 1Malaysia diamalkan dengan jayanya, rakyat Malaysia akan hidup dalam suasana yang penuh harapan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata aktivis sosial Sabah Datuk Patrick Sindu.

Bagi Sabah dan Sarawak, katanya, kerajaan pusat memang mengambil berat mengenai keperluan pembangunan di kedua-dua negeri itu sejak 46 tahun lepas apabila Malaysia dilahirkan.

“Saya amat gembira Datuk Seri Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia. Perdana Menteri dan anggota kabinetnya kini lebih banyak melawat setiap pelosok Sabah bagi meninjau dan mengatasi masalah rakyat,” katanya kepada Bernama.

Sindu berkata bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu ditangani, satu daripadanya ialah perbezaan kos barangan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Beliau menyambut baik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon baru-baru mengenai idea memperkenalkan “Satu Harga” bagi barangan di seluruh negara.

“Walaupun itu sekadar satu idea, ia menunjukkan bahawa seorang yang penting dalam kerajaan pusat mengambil berat. Kini harap ia akan menjadi realiti,” katanya.

Sindu juga berkata kerajaan pusat telah mengotakan pelbagai janjinya untuk meningkatkan mutu pelajaran, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan di Sabah.

Aliran FDI Malaysia kurang terjejas dengan krisis ekonomi

KUALA LUMPUR: Krisis ekonomi global tidak banyak memberi kesan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia pada 2008 meskipun kesan yang ketara terhadap FDI di seluruh dunia.

Menurut Laporan Pelaburan Dunia (WIR) yang dikeluarkan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2009, aliran pelaburan ke Malaysia susut kepada AS$8.053 bilion pada 2008 berbanding aliran masuk sebanyak AS$8.401 bilion yang dicatatkan pada 2007.

Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Datuk Zainal Aznam Yusof, yang mengumumkan laporan berkenaan semalam bagaimanapun berkata, pelaburan Malaysia ke luar negara mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus kepada AS$14.059 bilion pada 2008 daripada AS$11.087 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata aliran keluar FDI meningkat dengan kukuh sejak beberapa tahun lepas, mencerminkan kenaikan sebanyak 370 peratus daripada angka pada 2005 sebanyak AS$2.972 bilion.

"Peningkatan yang besar dalam pelaburan keluar Malaysia pada 2008, sebagaimana tahun lepas, mencerminkan negara kini lebih globalisasi dan mengukuhkan kedudukan dalam ekonomi dunia," katanya.

Mengenai kedudukan serantau, beliau berkata walaupun aliran masuk dan keluar FDI di rantau ini perlahan sejak akhir 2008, Asia Tengara, Selatan dan Timur mencatatkan lonjakan 17 peratus dalam FDI kepada AS$298 bilion pada 2008.

Namun keseluruhan aliran masuk FDI ke rantau ini adalah satu pertiga lebih rendah pada suku pertama 2009, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Bertemakan "Perbadanan Trasnasional, Pengeluaran dan Pembangunan Pertanian", laporan WIR 2009 juga menumpukan kepada kesan krisis terhadap 100 perbadanan transnasional bukan kewangan (TNC).

Zainal Aznam berkata, enam konglomerat Malaysia antara 100 TNC utama bukan kewangan iaitu Petronas yang di kedudukan kelima, YTL Corporation (31), Genting Bhd (38) Sime Darby Bhd (46), Telekom Malaysia Bhd (57) dan Tanjong Public Limited Company (37).

"Kemasukan enam syarikat daripada pelbagai bidang, jelas mencerminkan kapasiti berterusan Malaysia untuk melabur di luar negara melalui syarikat utama, yang berpotensi menjadi komponen penting meningkatkan daya saing antarabangsa dan akses kepada teknologi antarabangsa," katanya.

Mengenai masa depan, laporan itu menyatakan bahawa dasar kerajaan sebagaimana yang dilihat di Malaysia, Korea dan Thailand, bakal memainkan peranan yang besar dalam pemulihan FDI dan pertumbuhan ekonomi.

"Untuk menarik lebih banyak FDI, Malaysia perlu mempercepatkan liberalisasi ekonominya terutamanya dalam sektor sub-perkhidmatan.

"Pelaburan dalam sektor ini dijangka mengambil alih pelaburan dalam sektor pembuatan sehingga 75 peratus menjelang 2020," kata Zainal Aznam.

Aliran masuk FDI dunia dijangka susut di bawah AS$1.2 trilion tahun ini.

Pemulihan FDI dijangka perlahan pada 2010, mencecah tidak lebih daripada AS$1.4 trilion, kata laporan itu dan menambah bahawa ia diunjur untuk pulih kepada kira-kira AS$1.8 trilion pada 2011. - Bernama

Kapal angkasa kargo Jepun tiba di ISS

CAPE CANAVERAL (Florida): Kapal angkasa kargo terbaru Jepun selamat tiba di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada jarak 225 kilometer dari bumi.

Angkasawan Nicole Stott menggunakan 'tangan robot' di ISS untuk menarik bekalan seberat 18 tan dari kapal angkasa kargo itu, petang semalam.

Kapal angkasa itu - yang pertama di dunia - dilancarkan ke orbit minggu lalu dari Jepun.

Ia juga kapal angkasa pertama tanpa manusia di dalamnnya, 'mendarat' di ISS pada jarak 9 meter.

Sebelum ini, kaedah lama pendaratan kapal angkasa kargo ke ISS milik Russia dan Eropah ialah mendarat terus di ISS.

Kapal angkasa kargo Jepun itu membawa makanan, komputer riba, tangan robotik dan bahan kajian atmosfera.

Jepun memperuntukkan sejumlah AS$680 juta untuk mengangkut bahan itu ke ISS. - AP