Followers

Sunday, September 13, 2009

Arak: MB Kedah terkejut cadangan Pemuda Pas

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata beliau tidak mengetahui mengenai cadangan kawalan dan garis panduan penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat seperti dibangkitkan Dewan Pemuda Pas.

"Semalam saya bermesyuarat dengan Dewan Pemuda Pas Pusat tapi tiada yang membangkitkan perkara ini. Saya kena dapatkan maklumat mengenainya terlebih dahulu," katanya ketika ditanya mengenai cadangan dewan berkenaan.

Azizan berkata, beliau tidak melihat cadangan itu sebagai satu keperluan mendesak kerana Kedah sudah ada undang-undang sendiri berhubung kaedah penjualan arak.

"Di sini hanya kedai-kedai tertentu sahaja yang diberikan lesen penjualan arak kerana ada penganut agama lain yang minum arak kerana agama mereka tidak mengharamkannya.

"Saya rasa tiada masalah bagi orang Islam kerana mereka tahu memang haram minum arak," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kulim, Lim Soo Nee sebagai Ahli Exco Negeri yang baru di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Azizan, bagaimanapun, menyatakan rasa terkejut mengenai cadangan supaya kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mengharamkan terus penjualan arak di negeri yang mempunyai majoriti umat Islam.

"Bila pula Dewan Pemuda Pas ada kuasa ke atas kerajaan negeri," katanya.

Timbalan Pengerusi Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Abd Rani, berkata semalam mereka akan menyediakan kertas cadangan mengenai kawalan dan garis panduan penjualan arak itu. - Bernama

H1N1: Tiada kes kematian baru

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian baru berkaitan Influenza A dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi tetapi seramai 231 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza dimasukkan ke hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pada masa sama sejumlah 166 kes ILI telah dibenar keluar hospital.

"Ini menjadikan baki seramai 1048 ILI sedang dirawat di 106 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 255 pesakit (24.3%) telah disahkan positif H1N1," katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 74 kes kematian berkaitan H1N1 sudah disahkan di seluruh negara.

Dr Mohd Ismail berkta, daripada 255 kes yang telah disahkan H1N1, 42 kes sedang dirawat di ICU di mana tujuh kes adalah kemasukan baru, sementara empat lagi kes telah keluar dari ICU. Katanya, daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 34 (81.0%) mempunyai faktor risiko.

Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (14),penyakit respiratori kronik (3), obesiti (8), kanak-kanak bawah 5 tahun (8) dan hamil (1).

Bawa kit H1N1 semasa beraya: KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Orang ramai digalak membawa kit H1N1 yang mengandungi penutup mulut serta hidung, tisu dan sanitizer, ke mana-mana sahaja mereka pergi semasa cuti perayaan kali ini bagi mengelak penularan jangkitan Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mereka yang mempunyai gejala selesema serta golongan berisiko, pula disaran sebaik-baiknya menggunakan pengangkutan sendiri untuk balik kampung.

"Bagaimanpun jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam, pastikan anda sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, selain mengamalkan kebersihan tangan pada setiap masa sepanjang perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penumpang pengangkutan awam juga perlu memastikan bahawa kertas tisu muka yang sudah digunakan dibuang ke dalam tong sampah yang ditutup supaya tidak menjadi satu sumber jangkitan.

"Setibanya di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri dari orang lain, sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat-tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri," katanya. - Bernama

Kawalan 18 barangan perayaan bermula hari ini

TEMERLOH: Kawalan harga 18 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya tahun ini, bermula hari ini sehingga 27 September depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bertujuan melindungi pengguna daripada perbuatan mencatu oleh pihak peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan ini.

"Peniaga perlu mendapatkan lesen bagi barang-barang kawalan itu secara percuma di sebarang cawangan KPDNKP. Sehingga ini sebanyak 15,057 lesen seumpama itu telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pekan sehari Temerloh bagi meninjau harga barang-barang yang dijual peniaga di situ, di sini, hari ini.

Barang-barang yang disenaraikan itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import India, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, dan kubis bulat import dari Indonesia dan China.

Barangan lain ialah cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, ubi kentang import Indonesia dan China, kacang tanah import, bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China dan ikan kembung.

Ismail Sabri berkata, pembekal dan pemborong barang keperluan berkenaan memberi jaminan bekalan untuk musim perayaan tahun ini adalah mencukupi.

"Kebiasaannya orang ramai akan membeli barang-barang keperluan itu secara banyak seminggu sebelum hari raya. Oleh itu, seramai 2,000 pegawai pengkuatkuasa KPDNKP juga telah diarah supaya meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang," katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya melaporkan kepada cawangan penguatkuasa di seluruh negara dengan mengunakan talian tol bebas 1-800-886-800 atau e-aduan@kpdnkk.gov.my jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barang berkenaan. - Bernama