Followers

Sunday, September 13, 2009

Gerakan mahu sistem seragam harga barangan

KOTA KINABALU: Gerakan berharap kerajaan akan mewujudkan satu sistem yang dapat menyeragamkan harga barangan di semua tempat di dalam negara, kata Presidennya, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap integrasi nasional antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, beliau berkata isu harga barangan yang tidak sama rata sering dibangkitkan oleh rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak.

"Kalau dikaji negara-negara besar seperti Amerika Syarikat di mana harga barangan yang dijual di pasaraya seperti Walmart, misalnya, tidak ada beza dari New York ke Los Angeles, dari Chicago ke New Orleans, walaupun jaraknya jauh dan membabitkan masalah pengangkutan serta kos.

"Keadaan di Malaysia agak sama juga. Kalau sistem pengedaran menjadi lebih matang dan satu sistem yang lebih baik dapat diwujudkan, maka bukan mustahil untuk mencapai sasaran satu harga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Sabah ke-13 di sini.

Katanya, walaupun sasaran satu harga tidak mudah dicapai dengan serta merta, tetapi beliau yakin langkah itu mampu dilaksanakan di masa akan datang. - Bernama

Jangan spekulasi siapa calon BN: Muhyiddin

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mahu ada spekulasi siapa calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Sebaliknya, beliau mahu Badan Perhubungan BN Negeri Sembilan mengemukakan lebih ramai nama calon untuk pertimbangan.

"Jangan buat spekulasi siapa calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang sehingga diputuskan pucuk pimpinan parti," katanya selepas melawat Pasar Tani Mega di sini sebentar tadi.

Sabah & Sarawak: Jaminan makanan laut cukup

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan makanan laut terutama ikan, udang dan ketam mencukupi untuk menampung permintaan seluruh negara menjelang sambutan Aidilfitri ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata jaminan itu berdasarkan jumlah tangkapan nelayan sepanjang minggu ini yang menyaksikan tiada negeri menghadapi masalah kekurangan bekalan hasil laut berkenaan.

“Bekalan mencukupi untuk sambutan hari raya... tiada masalah," katanya pada sidang media selepas majlis Berbuka Puasa LKIM bersama media Sabah, di sini malam kelmarin.

Mengenai fenomena air merah beracun di pesisir pantai barat Sabah, Abdul Rahim berkata, keadaan itu mengurangkan tangkapan dalam skala kecil di kawasan terbabit selain menjejaskan sektor perikanan pesisir pantai terutama kerang, kupang dan penternakan ikan dalam sangkar.

Jordan mulakan projek nuklear

13/09/2009 2:33am
AMMAN 13 Sept. - Jordan bakal membangunkan projek tenaga nuklear pertamanya apabila menandatangani perjanjian usaha sama dengan sebuah syarikat dari Belgium bernilai AS$12 juta (RM42 juta).

Majlis tanda tangan perjanjian usaha sama antara Ketua Suruhanjaya Tenaga Atom Jordan, Khaled Toukan dan Ketua Tractebel Engineering, Georges Cornet itu berlangsung di Amman.

Khaled berkata, syarikat itu akan membuat kajian kesan terhadap alam sekitar di kawasan padang pasir berhampiran sempadan Arab Saudi, kira-kira 25 kilometer di selatan pelabuhan Aqaba di Laut Merah iaitu lokasi tapak projek selama dua tahun. - AP