2,400 hektar tanah dimaju dengan projek pertanian bantu golongan miskin
NABAWAN: Kawasan seluas 2,400 hektar di Pegalungan dekat sini, akan dimajukan dengan projek pertanian berasaskan Agropolitan bagi membantu anggota masyarakat miskin dan miskin tegar meningkatkan sosioekonomi, sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Suan, berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada dasarnya bersetuju melaksanakan projek berkenaan berdasarkan keluasan tanah ekonomik, selain keperluan membantu anggota masyarakat Pegalungan menikmati kesan pembangunan negara.
Beliau berkata, untuk tujuan itu, beberapa agensi bawah kementerian berkenaan, terutama Felcra Bhd akan menjalankan kajian mengenai jenis tanaman yang sesuai diusahakan di kawasan itu sama ada getah atau kelapa sawit.
"Kita yakin projek ini akan dilaksanakan kerana kawasan itu sesuai dimajukan sejajar usaha Kementerian Kerja Raya membina jalan berturap dari Sepulot ke Pegalungan.
"Ketika ini, penduduk Pegalungan masih bergantung kepada perahu sebagai alat pengangkutan utama. Apabila jalan dibina tidak lama lagi, Pegalungan akan menerima impak kemajuan, terutama dalam sektor pertanian," katanya di sini, baru-baru ini.
Projek Agropolitan merujuk kepada pembangunan bandar dalam kawasan pertanian. Kementerian berkenaan sudah melaksanakan Projek Agropolitan menerusi Program Lonjakan Mega Luar Bandar (PLMB) di Pulau Banggi, dekat Kudat.
Ia membabitkan pembukaan ladang getah seluas 4,400 hektar sejak awal 2007. Seramai kira-kira 1,000 ketua isi rumah miskin dan miskin tegar diberi peluang memiliki ladang getah seluas empat hektar seorang, selain perkongsian ekuiti dalam ladang berkenaan.
Kementerian itu turut menyediakan rumah kos rendah untuk keluarga terbabit, selain memajukan kawasan lain di pulau berkenaan dengan projek penternakan ikan dalam sangkar.
Pelaksanaan projek Agropolitan itu juga menyebabkan jalan raya dibina dari pekan Karakit ke beberapa kampung berbanding sebelum ini yang menyaksikan anggota masyarakat terpaksa meredah laluan tidak berturap.
Bobbey berkata, projek Agropolitan di Pegalungan tidak 100 peratus sama dengan projek di Pulau Banggi berikutan perbezaan peruntukan kerana PLMB di Pulau Banggi adalah satu daripada projek mega kementerian itu yang turut dilaksanakan di Pahang, Perak dan Sarawak.
Katanya, beliau akan membelanjakan RM50,000 daripada peruntukan wakil rakyatnya untuk membeli benih pokok gaharu untuk diagihkan kepada anggota masyarakat.
Friday, September 11, 2009
Sabah&Sarawak: Projek Agropolitan di Pegalungan
Posted by Irwan at 5:47 PM 0 comments
Labels: berita
Sabah&Sarawak: Komuniti: Saudara Islam gotong-royong bina surau
Penduduk mahu tunai solat Aidilfitri di kampung sendiri tahun ini
KOTA BELUD: Kesepakatan saudara Islam empat kampung berjiran iaitu Kampung Bangkahak Nayasan, Bangkahak Sum-Sum, Bangkahak Baru dan Bangkahak Lama di sini, membina surau di Kampung Bangkahak Nayasan membolehkan mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri di kampung sendiri mulai tahun ini.
Sebelum ini mereka menunaikan solat Jumaat dan hari raya di masjid daerah, 20 kilometer (km) dari kampung itu atau Masjid Jamek Kampung Tambulion, kira-kira lima km dari situ.
Pengerusi surau berkenaan, Dakim @ Jalaluddin Mengkol, berkata perangkaan menunjukkan ada kira-kira 100 penduduk Islam di empat kampung berkenaan yang semuanya saudara Islam.
Beliau yang juga bekas Pegawai Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) daerah berkata, tapak surau berkenaan diwakafkan usahawan saudara Islam iaitu Yang Dipertua Yayasan Awadnir, Awadnir Matanggal.
Katanya, Awadnir yang berasal dari Kampung Tengkurus Abadi, berhampiran empat kampung berkenaan turut menyumbang perkakasan untuk membuat surau berkenaan.
"Pada masa sama, ada penduduk secara sukarela menebang pokok menjadikannya papan bagi membolehkan pembinaan surau itu menjadi kenyataan.
"Kami namakan Surau Yayasan Awadnir Matanggal untuk menghargai sumbangan beliau menegakkan syiar Islam di kalangan saudara Islam terutama di Kampung Bangkahak Nayasan, Bangkahak Sum-Sum, Bangkahak Baru dan Bangkahak Lama.
"Pembinaan surau ini sudah lama dinanti dan Alhamdulillah, niat murni kami terkabul pada Ramadan yang mulia ini," katanya.
Sementara itu, Awadnir meminta penduduk setempat memanfaatkan surau itu untuk menunaikan solat berjemaah selain kegiatan keagamaan seperti kelas fardu ain dan kifayah.
"Saya harap surau yang dibina secara bergotong-royong ini akan mengukuhkan hubungan antara saudara Islam di empat kampung terbabit dan pada masa sama dikunjungi jemaah lain," katanya.
Posted by Irwan at 5:44 PM 0 comments
Labels: berita
Sabah&Sarawak: BCTJ buka Santuari Hidupan Liar di Kinabatangan
Dana dikumpul tiga tahun lalu melalui tabung di 27 zoo di Jepun
PUTATAN: Amanah Pemuliharaan Borneo Jepun (BCTJ), organisasi bukan kerajaan dari Jepun, mengambil inisiatif mengumpul dana menerusi kutipan derma rakyat negara itu bagi membeli tanah untuk dijadikan koridor hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan.
Wakil BCTJ di negeri ini, Dr Tsubouchi Toshinori, berkata inisiatif itu dilaksanakan sejak tiga tahun lalu bagi merealisasikan usaha kerajaan Sabah mewujudkan koridor sebagai laluan hidupan liar di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
Katanya, setakat ini pihaknya membeli enam hektar tanah milik individu dan syarikat perladangan di sepanjang sungai berkenaan tetapi keluasan itu masih kecil berbanding anggaran 20,000 hektar tanah diperlukan untuk mewujudkan koridor berkenaan.
"Kami sudah mewujudkan tabung di 27 zoo di seluruh Jepun bagi mengutip sumbangan daripada pengunjung melihat Orang Utan di sana. Kutipan berkenaan akan dikumpulkan sebagai modal membeli tanah di Kinabatangan.
"Tahun ini, kami menyasarkan lapan hektar tanah lagi dapat dibeli untuk tujuan itu. Walaupun kecil, kami harap usaha ini dapat membantu kerajaan Sabah mewartakan tanah berkenaan sebagai tapak pemuliharaan dan koridor hidupan liar di Kinabatangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan bot berkuasa tinggi kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah oleh sebuah syarikat tekstil dari Jepun, Itochu Corporation di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini, kelmarin.
Majlis disaksikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ellron Angin dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Laurentius Ambu serta Pengurus Besar Itochu Corporation, Takashi Tsuneki.
Kedua-dua kenderaan itu digunakan dalam aktiviti penguat kuasaan dan pemantauan di kawasan Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
Dr Tsubouchi berkata, pihaknya menerusi kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah akan berbincang dengan pemilik tanah di kawasan hilir Sungai Kinabatangan untuk membeli tanah mereka apabila ada dana mencukupi bagi tujuan itu.
Katanya, hanya langkah itu dapat merealisasikan usaha mewujudkan koridor hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan dan memastikan hidupan liar di kawasan itu bebas bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain di sepanjang sungai berkenaan.
"Jika tanah di kawasan itu tidak diwartakan sebagai tapak pemuliharaan dan koridor hidupan liar gajah dan Orang Utan tidak ada laluan untuk bergerak kerana kawasan itu dipenuhi dengan ladang kelapa sawit milik syarikat atau individu," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Suzanah Liaw, berkata pada masa ini banyak badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan minat terhadap usaha kerajaan negeri mewujudkan pusat pemuliharaan dan koridor hidupan liar di hilir Kinabatangan.
Katanya, NGO terbabit yang kebanyakannya dari luar negara datang ke Kinabatangan untuk melihat sendiri keadaan hidupan liar di sana bagi menentukan sumbangan boleh diberikan bagi merealisasikan usaha berkenaan.
"Satu sumbangan NGO ialah mengumpul dana untuk membeli tanah di kawasan itu seperti dilakukan oleh BCTJ. Kerajaan amat berterima kasih kepada mereka kerana mewujudkan koridor hidupan liar di Kinabatangan.
"Secara tidak langsung, usaha pemuliharaan hutan dan hidupan liar di Kinabatangan sudah mempromosikan Sabah kepada rakyat asing. NGO memainkan peranan penting dalam melaksanakannya," katanya.
Usaha mewujudkan koridor hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan dilaksanakan beberapa tahun lalu sebagai langkah melindungi haiwan liar yang kehilangan habitat dan laluan untuk bergerak akibat aktiviti perladangan di kawasan itu.
Posted by Irwan at 5:38 PM 0 comments
Labels: berita
H1N1: Kes kematian meningkat kepada 74 orang
KUALA LUMPUR: Satu lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi, menjadikan angka korban keseluruhan di negara ini seramai 74 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata seramai 198 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 190 kes telah dibenar pulang.
"Ini menjadikan baki seramai 1,104 ILI sedang dirawat di 101 buah hospital termasuk lapan hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 261 pesakit (23.6%) telah disahkan positif H1N1," katanya.
Posted by Irwan at 5:34 PM 0 comments
Labels: berita