Followers

Friday, September 11, 2009

Rakyat Malaysia jangan ikut emosi, hargai kebebasan

KAJANG: Rakyat Malaysia diingatkan jangan mengikut emosi sehingga hilang pertimbangan dengan melakukan kesalahan yang boleh membawanya ke penjara, sebaliknya mereka perlu berfikiran rasional serta menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rakyat Malaysia kini berhadapan dengan kegagalan untuk mengawal emosi sehingga membangkitkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh menggugat kesejahteraan negara.

"Apabila melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan yang diambil dan hanya mengikut emosi semata-mata, akhirnya akan membawa kepada hukuman penjara yang menarik segala kebebasan yang dimiliki sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Rakaman Takbir Raya Bersama Penghuni dan Kakitangan Penjara Kajang di sini, hari ini.

Beliau yang turut berkongsi kesedihan dengan nasib yang dilalui penghuni penjara yang tidak dapat bersama keluarga menyambut hari raya yang bakal tiba, berharap apa yang dilalui oleh banduan dijadikan pengajaran oleh semua lapisan masyarakat.

"Bukan semua orang berpeluang bertemu dengan banduan ini, jadi perlu diingatkan pada masyarakat yang sering lupa tentang kelebihan, keistimewaan dan kekuatan negara bangsa kita hanya kerana pertimbangan-pertimbangan lain.

"Saya bersyukur kerana masih lagi bebas tidak berada dalam keadaan mereka yang tidak bernasib baik, mungkin ada di kalangan mereka telah bertaubat, tetapi itulah hukuman yang terpaksa dilalui apabila kita tidak berfikir panjang dan terlalu emosi," katanya.

Selain rakaman takbir yang disertai 200 banduan, Hishammuddin juga turut menyerahkan zakat fitrah berjumlah RM1,099 yang diterima daripada 74 penghuni penjara untuk disampaikan kepada wakil Pusat Zakat Selangor.

Beliau berkata wang zakat itu adalah titik peluh banduan itu sendiri hasil kerja-kerja kemahiran yang dilakukan di dalam penjara.

Seramai 85 banduan juga turut terlibat dalam program tadarus al-Quran yang dijalankan di sepanjang bulan Ramadan.

"Saya sangat terharu kerana walaupun dalam penjara mereka tidak lupa menjalankan tanggungjawab mereka dan diharapkan elemen agama menjadi aspek penting yang mesti diberi penekanan bagi memulihkan banduan," katanya yang turut meletakkan aspek pemulihan dan kemahiran banduan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Penjara. - Bernama

Bekas KSU Kementerian Pelajaran meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Sheikh Hussin Sheikh Mohamed meninggal dunia akibat kompikasi buah pinggang, awal pagi tadi.

Allayarham menghembus nafas terakhir di Pusat Perubatan Gleaneagles, Jalan Ampang di sini, kira-kira jam 3 pagi.

Beliau dimasukkan ke Hospital Ampang selepas keadaannya menjadi tenat pada 26 ogos sebelum dipindahkan ke Hospital Gleaneagles, Sabtu lalu.

Allahyarham meninggalkan tiga anak, lima cucu dan dua cicit.

Jenazah Allahyarham akan disembahyang di Masjid Baitul Rahman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas solat Jumaat.

Defisit bajet kerana usaha cergas ekonomi: Nor Mohamed

PUTRAJAYA: Defisit bajet negara berlaku akibat kerajaan mengambil peranan utama daripada sektor swasta dalam usaha untuk merangsang dan memulihkan keyakinan rakyat dalam ekonomi semasa waktu sukar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, dalam keadaan kemelesetan, sektor swasta tidak berani untuk melabur dan kerajaan perlu melabur lebih sedikit untuk mengangkat keyakinan khasnya pelabur mengenai ekonomi.

"Falsafah negara kita berhubung defisit bajet ialah dalam keadaan susah kita harus berbelanja lebih sedikit untuk membawa keyakinan terhadap sistem ekonomi kita," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Unit Kerjasama Awam Swasta (3PU), Jabatan Perdana Menteri malam tadi.

Kerajaan mengunjurkan defisit bajet akan mencecah 7.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, paras tertinggi sejak 1987 berikutan pakej rangsangan fiskal bernilai RM67 bilion pada November tahun lepas dan Mac tahun ini.

Nor Mohamed berkata, dalam keadaan susah negara harus berbelanja lebih sedikit dan apabila ini dilakukan, berlakulah defisit.

"Kita punya falsafah itu okey. Kemudian dalam keadaan ekonomi senang atau mewah kita kurangkan defisit dan kalau boleh kita bajet berimbang," katanya ketika diminta mengulas mengenai kaji selidik Laporan Melaksanakan Perniagaan 2010 oleh Forum Ekonomi Dunia minggu ini.

Dalam laporan tersebut, kedudukan Malaysia jatuh tiga anak tangga ke tempat ke-23 yang antara lain disebabkan oleh defisit bajet.

Misalnya, akibat daripada kesan ekonomi 1997/98, kerajaan terpaksa berbelanja lebih dan pada 2000 defisit bajet telah naik sedikit sehingga 5.5 peratus.

Tapi selepas ekonomi pulih kerajaan mengambil tindakan untuk menurunkan defisit tahun demi tahun daripada tahun 2000 sehingga 2007 dengan defisit bajet turun sehingga 3.2 peratus.

"Ini menunjukkan yang kita memang berhemat," katanya.

Nor Mohamed berkata dalam keadaan kemelesetan pada 2008 dan 2009 ini, kerajaan juga terpaksa berbelanja lebih sedikit dan apabila ekonomi kembali pulih defisit bajet akan diturunkan semula.

"Kita punya cara menguruskan ekonomi. Tak menjadi isu," katanya.

Oleh itu, pihak yang membuat laporan ini mengenai kedudukan Malaysia di Laporan Daya Saing Dunia perlu melihat rekod prestasi negara, kata beliau.

"Walaupun, kita berbelanja lebih sedikit dalam keadaan kemelesetan bila ekonomi pulih kita akan turunkan defisit.

"Kita akan mengambil pendekatan yang sama pada kali ini dan pada tahun-tahun yang akan datang jika ekonomi mengalami kemeleseten," katanya. - Bernama

MSD pantau pergerakan pelajar negara di Indonesia

PUTRAJAYA: Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) di Jakarta sedang memantau pergerakan pelajar negara di Indonesia berikutan kejadian pelajar dimaki hamun sekumpulan ektremis tempatan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung, berkata ibu bapa pelajar boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai anak mereka dengan menghubungi MSD di sana.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Djibouti ke sini, Ahmed Araita Ali di Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ni.