Followers

Thursday, September 10, 2009

Aset 40 orang paling kaya di Singapura cecah AS$39 bilion

SINGAPURA: Aset 40 orang paling kaya Singapura kini berjumlah AS$39 bilion, meningkat 22 peratus berbanding AS$32 bilion tahun lalu, demikian menurut Senarai Orang Paling Kaya Singapura 2009 Forbes Asia.

Dalam senarai yang dikeluarkan hari ini, Forbes berkata peningkatan kekayaan itu sebahagiannya disumbangkan oleh lonjakan dalam pasaran saham negara berkenaan kepada hampir 90 peratus sejak paras terendahnya pada Mac.

"Tahun ini, 19 jutawan dalam senarai itu menjadi lebih kaya, termasuk enam daripada 10 orang paling kaya dalam senarai itu, manakala nilai bersih 13 yang lain susut," katanya.

Mendahului senarai itu ialah tokoh berpengaruh sektor hartanah berusia 81 tahun, Ng Teng Fong, yang memiliki aset bersih AS$8 bilion, meningkat berbanding AS$7 bilion tahun lalu.

Ng dan keluarganya menguasai syarikat milik persendirian, Far East Organisation dan anak syarikatnya, Sino Group, yang sudah memajukan lebih 700 hotel, gedung beli-belah dan kondominium di sini dan Hong Kong.

Keluarga mendiang Khoo Teck Puat, pemilik bank, yang aset bersihnya susut ASS$600 bilion pada 2008 kepada AS$5.5 bilion, kekal di tempat kedua.

Mendiang mewariskan harta kepada 14 anaknya pada 2004 namun keluarga berkenaan menjual pegangan dalam Standard Chartered Bank pada 2006 bagi kira-kira AS$4 bilion.

Mereka masih menguasai Goodwood Group of Hotels.

Forbes berkata orang yang mendapat keuntungan paling besar tahun ini ialah jutawan minyak sawit berusia 60 tahun, Kuok Khoon Hong, dengan menduduki tangga ketiga dalam senarai itu, meningkat dari tempat kelima tahun lalu apabila aset bersihnya meningkat sebanyak AS$2.2 bilion kepada AS$3.5 bilion, setelah sahamnya dalam firma minyak sawit, meningkat 70 peratus sejak tahun lalu.

Ahli perniagaan baru yang tersenarai ialah pemaju hartanah, Kwee Brothers, menduduki tempat keempat dengan memiliki aset bersih AS$3.2 bilion, (5) Pengerusi United Overseas Bank, Wee Cho Yaw (AS$3.1 bilion), (6) jutawan hartanah Zhong Sheng Jian (AS$2 bilion), (7) pelabur Peter Lim (AS$1.5 bilion), (8) Pengerusi Eksekutif Hong Leong Group, Kwek Leng Beng (AS$1.2 bilion), (9) bekas pengerusi Oversea-Chinese Banking Corp Singapura Lee Seng Wee (AS$800 juta) dan (10), rakyat Malaysia Ong Beng Seng dan isterinya Christina Ong (AS$700 juta).

Syarikat Ong, 65, dan isterinya, kini disenarai di republik ini. Mereka adalah antara pasangan paling berpengaruh di sini.

Ong, ialah pengarah urusan hartanah hotel yang termasuk Four Seasons, hotel Hard Rock di Asia Tenggara, selain memilih hak ke atas Grand Prix Singapura.

Beliau baru sahaja menjadi pengedar rasmi Ferrari tunggal republik itu manakala isterinya mengurus Como Hotels & Resorts, Club 21, memiliki studio yoga dan kedai makanan kesihatan. - Bernama

Proses pemutihan pendatang tanpa izin dilaksanakan fasa ketiga: Hishammuddin

PUCHONG: Kerajaan akan melaksanakan proses pemutihan pendatang tanpa izin fasa ketiga bermula bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata untuk itu pendatang tanpa izin diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk mendaftar diri.

"Langkah pemutihan ini bukan tindakan balas kerajaan terhadap pendatang tanpa izin khasnya dari Indonesia tetapi memberi peluang kepada mereka mendaftar selepas kadar levi dikurangkan 50 peratus pada April lalu," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Isu PKFZ: Polis ambil keterangan CEO Kuala Dimensi

KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman merekod kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing hampir empat jam hari ini, dipercayai ada kaitan dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tiong tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kira-kira jam 9 pagi dan hanya keluar jam 2 petang.

Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

3 juta hidap H1N1 di Thailand


SEBUAH farmasi di Los Angeles, Amerika Syarikat meletakkan papan iklan promosi menawarkan suntikan vaksin selesema kepada orang ramai. - Foto AFP

12 lagi korban terbaru jadikan 142 kematian jangkitan selesema babi

BANGKOK: Thailand yang mencatatkan 12 kematian baru akibat selesema babi menjadikan jumlahnya 142 kes H1N1 di negara itu setakat ini, menganggarkan tiga juta orang mungkin dijangkiti virus berkenaan. Kenyataan semalam termasuk mereka yang sudah sembuh atau tidak menunjukkan lagi simptom.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Paijit Warachit berkata, sembilan daripada 12 kematian terbaru itu adalah wanita. Semua mereka berusia lebih 50 tahun dan sesetengahnya pernah menghidapi masalah penyakit lain.

Paijit berkata, situasi berkenaan semakin stabil tetapi "kami perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga menjelang musim sejuk apabila dijangka akan berlaku peningkatan jumlah kes di seluruh dunia".

Mangsa penyakit berkenaan semakin dikesan di wilayah luar bandar di kalangan pekerja kilang dan petani. Kes sebelum ini tertumpu di Bangkok.

Sementara itu di WASHINGTON, pesakit yang mempunyai tanda seperti selesema dan mempunyai kesukaran bernafas dinasihatkan mendapatkan rawatan segera Tamiflu atau Relenza walaupun sebelum ujian selesema dibuat terhadap mereka.

Doktor juga diminta mewujudkan satu sistem supaya pesakit yang mendapat penyakit selesema H1N1 mempunyai preskripsi sendiri untuk terus mendapatkan sendiri ubat berkenaan sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

"Rawatan tidak sepatutnya menanti pengesahan makmal bagi influenza kerana ujian makmal boleh menangguhkan rawatan," kata CDC dalam satu garis panduan di halaman webnya.

"Mereka terlalu muda dan tua, orang yang mempunyai masalah perubatan kronik dan wanita hamil perlu dirawat dengan antivirus apabila mereka mempunyai penyakit seperti influenza," kata Dr Anne Schuchat dari CDC kepada pemberita.

Tetapi ramai pesakit tidak memerlukan sebarang rawatan langsung bagi H1N1 kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti setakat ini pulih dengan sendiri.

"Mereka boleh pulih dengan hanya sup ayam di rumah, minum banyak air dan rehat," kata Schuchat. � AP