Followers

Wednesday, September 9, 2009

H1N1: Tiada kematian baru dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi ini dan angka korban kekal pada 73 kes untuk enam hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, berkata sejumlah 173 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Katanya, pada masa yang sama sejumlah 174 kes telah dibenar keluar. Ini menjadikan baki seramai 1,175 ILI sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 275 pesakit (23%) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 275 kes yang telah disahkan H1N1, 41 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes adalah kemasukan baru, sementara dua lagi kes telah keluar dari ICU.

Katanya, daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 33 (80%) mempunyai faktor risiko.

Malaysia kekal tempat teratas di kalangan destinasi perniagaan

BANGKOK: Malaysia jatuh tiga anak tangga ke tempat-23 daripada sejumlah 183 ekonomi yang dikaji selidik dalam Laporan Melaksanakan Perniagaan 2010 Bank Dunia yang dikeluarkan hari ini.

Berada di tempat keempat secara keseluruhan di Asia, Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turut, muncul tempat yang paling mudah untuk mendapatkan kredit di dunia, dengan kos yang paling murah di Asia untuk mengeksport setiap kontena pada harga AS$450, dan kedua paling rendah untuk mengimport pada AS$450.

Malaysia, berada di tempat ke-24 secara keseluruhan dua tahun lalu, diletakkan pada tempat keempat dalam kategori melindungi pelabur, membayar cukai (24), urus niaga sempadan bersilang 35), memuktamadkan perniagaan (57), menguat kuasakan kontrak (59), pengambilan pekerja (61), pendaftaran hartanah (86), memulakan perniagaan (88) dan berurusan dengan permit pembinaan (109).

Bank Dunia berkata, Malaysia telah meringan beban pemula perniagaan dengan memperkenalkan pusat sehenti baru bagi menyelaraskan pendaftaran, sambil menambah yang perkhidmatan itu masih baru dan kerajaan merancangkan mengadakan kempen kesedaran orang ramai mengenai sistem baru ini.

Selain daripada itu, Institut Setiausaha dan Pentadbiran Berkanun Malaysia (Maicsa) telah mengurangkan caj diperbadankan dan yuran korporat.

"Menguatkuasa kontrak menerusi mahkamah juga telah dibuat lebih mudah dengan menambah kakitangan serta tarikh akhir yang lebih tegas serta pemendekkan tempoh menfailkan kes dari 45 hari kepada 30 hari.

"Dalam pada itu, mahkamah komersial telah disusun semula untuk melupuskan perkara-perkara "interlocutory" dengan lebih licin," kata bank itu.

Singapura pula ialah ekonomi yang berada di tempat teratas untuk kategori meringankan pelaksanaan perniagaan untuk tahun keempat berturut-turut dengan New Zealand di tempat kedua dan Hong Kong tempat ketiga.

Thailand berada di tempat ketiga di Asia dan ke-12 di dunia, satu anak tangga lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Di kalangan negara Asia Tenggara yang lain, Vietnam di tempat ke-93, Filipina di tempat ke-144, Laos ke-167, Indonesia ke-122, Kemboja ke-145 dan Brunei ke-96.

Bank Dunia berkata Singapura memperkenalkan perkhidmatan berdasarkan dalam talian dan komputer untuk meringankan syarikat pemula perniagaan, permit pembinaan dan pemindahan hartanah.

Menurut laporan "Melaksanakan Perniagaan 2010: Pembaharuan dalam Tempoh Sukar", antara Jun 2008 dan Mei tahun ini, sejumlah 131 daripada 183 ekonomi seluruh dunia telah membuat perubahan kepada peraturan perniagaan.

Indonesia, pembuat pembaharuan paling aktif di rantau ini, bergerak ke tangga 122 daripada tangga 129 untuk penarafan mengurangkan beban global melaksanakan perniaggan.

"Peraturan perniagaan boleh memberi kesan kepada bagaimana baiknya syarikat kecil dan bersaiz sederhana berhadapan dengan krisis dan merebut peluang apabila pemulihan bermula," kata Penelope Brook, Pemangku Naib Presiden untuk Pembangunan Sektor Kewangan dan Swasta Kumpulan Bank Dunia.

Beliau juga berkata kualiti peraturan perniagaan membantu menentukan betapa mudahnya syarikat bermasalah dapat bertahan dalam tempoh sukar. - Bernama

Rosmah harap bantuan Ramadan diperluas ikut konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berharap bantuan yang dihulurkan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan miskin pada bulan Ramadan diperluaskan kepada bukan Islam mengikut konsep 1Malaysia.

"Ramadan menyerlahkan keberkatannya bukan hanya kepada umat Islam tetapi juga kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa," kata beliau ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan hari Raya anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Umno Bahagian Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata, tradisi itu diharap dapat membimbing generasi muda tentang pentingnya nilai-nilai perpaduan yang merentasi budaya, agama dan bangsa.

"Kebersamaan semua lapisan masyarakat Malaysia meraikan Ramadan tidak akan wujud tanpa keikhlasan, toleransi serta sifat saling hormat-menghormati terhadap perbezaan budaya dan agama yang dianuti masing-masing," katanya.

Rosmah berkata, nilai-nilai persamaan harus ditonjolkan berbanding perbezaan yang hanya akan memusnahkan masa depan masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau juga menyeru kepada badan korporat dan badan-badan bukan kerajaan menuruti tradisi pemberian sumbangan duit raya mengikut konsep 1Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh YPC dan Umno Bahagian Cheras.

Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan sumbangan duit raya RM300 dan barangan keperluan lain kepada 300 ibu tunggal, OKU dan fakir miskin yang tinggal di sekitar Cheras.

Turut menerima sumbangan ialah 42 orang daripada kaum India dan 50 orang daripada kaum Cina.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata sejak majlis penyampaian sumbangan dimulakan pada 1994, ini merupakan kali pertama ia diberikan kepada penganut agama lain dan nilai duit raya yang dihulurkan juga meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Pemberian duit raya ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban penduduk yang bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, malah ia memeriahkan suasana raya dengan berkongsi kegembiraan bersama penganut agama lain yang tidak berkemampuan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu. - Bernama

Peserta demonstrasi kepala lembu didakwa

SHAH ALAM: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lalu.

Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36; Ibrahim Sabri, 43; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain, 35: Ahmad Suhairy Zakaria, 30; dan Mohd Hilmi Ni, 40; mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Semua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim adalah pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, mencadangkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mengetuai pihak pembelaan, membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana menganggap ianya amat tinggi dan satu bebanan kepada semua tertuduh.

Beliau berkata, semua anak guamnya telah dimaklumkan semalam bahawa mereka akan dituduh hari ini dan mereka telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Pertuduhan terhadap semua tertuduh juga menunjukkan seolah-olah ia satu kesalahan menghina agama lain sedangkan mereka tidak berniat untuk berbuat demikian. Bagi orang Melayu lembu melambangkan kebodohan dan bukan membawa penghinaan kepada agama lain," katanya sambil memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM500 setiap seorang.

Mohd Dusuki pula berkata, jumlah jaminan RM500 yang dimohon oleh pihak pembelaan tidak wajar dan tidak sesuai dengan pertuduhan kerana kes itu mendapat liputan meluas media elektronik dan cetak serta banyak laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

"Justeru mohon RM15,000 dikekalkan kerana jumlah itu wajar berdasarkan kepada latar belakang kes yang mendapat liputan meluas media dan melibatkan kepentingan awam," katanya.

Mendengar hujahan pihak pendakwaan, Salehuddin bangun dan berkata liputan meluas media terhadap kes itu tidak seharusnya dijadikan faktor oleh mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan.

"Takkan kita nak hukum tertuduh berdasarkan liputan meluas itu," katanya.

Hasbi kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret di sini pula, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Eyzva Ezhar, Mohd Azmir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi turut menghadapi satu lagi pertuduhan bersama enam yang lain iaitu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Turut didakwa ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Semua tertuduh membayar wang jaminan.

Kedua-dua mahkamah sesak dengan anggota keluarga tertuduh dan penduduk Seksyen 23. - Bernama