Followers

Wednesday, September 9, 2009

Peserta demonstrasi kepala lembu didakwa

SHAH ALAM: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lalu.

Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36; Ibrahim Sabri, 43; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain, 35: Ahmad Suhairy Zakaria, 30; dan Mohd Hilmi Ni, 40; mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Semua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim adalah pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, mencadangkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mengetuai pihak pembelaan, membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana menganggap ianya amat tinggi dan satu bebanan kepada semua tertuduh.

Beliau berkata, semua anak guamnya telah dimaklumkan semalam bahawa mereka akan dituduh hari ini dan mereka telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Pertuduhan terhadap semua tertuduh juga menunjukkan seolah-olah ia satu kesalahan menghina agama lain sedangkan mereka tidak berniat untuk berbuat demikian. Bagi orang Melayu lembu melambangkan kebodohan dan bukan membawa penghinaan kepada agama lain," katanya sambil memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM500 setiap seorang.

Mohd Dusuki pula berkata, jumlah jaminan RM500 yang dimohon oleh pihak pembelaan tidak wajar dan tidak sesuai dengan pertuduhan kerana kes itu mendapat liputan meluas media elektronik dan cetak serta banyak laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

"Justeru mohon RM15,000 dikekalkan kerana jumlah itu wajar berdasarkan kepada latar belakang kes yang mendapat liputan meluas media dan melibatkan kepentingan awam," katanya.

Mendengar hujahan pihak pendakwaan, Salehuddin bangun dan berkata liputan meluas media terhadap kes itu tidak seharusnya dijadikan faktor oleh mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan.

"Takkan kita nak hukum tertuduh berdasarkan liputan meluas itu," katanya.

Hasbi kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret di sini pula, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Eyzva Ezhar, Mohd Azmir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi turut menghadapi satu lagi pertuduhan bersama enam yang lain iaitu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Turut didakwa ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Semua tertuduh membayar wang jaminan.

Kedua-dua mahkamah sesak dengan anggota keluarga tertuduh dan penduduk Seksyen 23. - Bernama

Pas hanya ingin bincang isu kepentingan rakyat: Mustapa

KUALA LUMPUR: Pas tidak akan mengadakan sebarang rundingan termasuk kerja sama dengan Umno untuk membentuk kerajaan pada masa depan tetapi sedia berunding sekiranya ia berkaitan isu kepentingan rakyat, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

"Dalam konteks politik dan membentuk kerajaan, Pas sudah ada polisi untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan sudah menguasai beberapa buah negeri, (maka) kerjasama politik dengan Umno tidak perlu diadakan apa-apa perbincangan lagi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Mustafa berkata, Pas sedia mengadakan rundingan dengan Umno sekiranya ia berkaitan dengan isu kepentingan rakyat dan membabitkan kerajaan negeri dan Pusat seperti perbincangan Majlis Tanah Negara berkenaan pembangunan sesebuah negeri di bawah pemerintahan Pas.

"Rundingan itu boleh diadakan juga jika ada kepentingan masyarakat umum dan negara, Pas boleh dengan sesiapa untuk bincang soal negara ini seperti isu Palestin, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tapi dari sudut kerjasama Pas dan Umno dalam politik, tidak," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu bahawa Umno sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan umat Islam negara ini tetapi tidak rela jika Umno dihina oleh sesiapa sekalipun.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mustafa berkata Jawatankuasa Pusat Pas akan bermesyuarat Ahad ini bagi membincangkan persiapan parti itu mengenai calonnya.

"Calon adalah dari Negeri Sembilan bukan dari luar negeri itu, kita ada ramai calon," katanya.

Beliau turut menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan hari pengundian pada hujung minggu bagi menggalakkan lebih ramai pengundi keluar mengundi.

Kerusi Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Nor daripada Barisan Nasional pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Azman, 54, yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lalu, mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail, dengan majoriti 2,333 undi. - Bernama

Sabah & Sarawak: Pengguna dakwa masih sukar dapat bekalan gula di pasaran

KOTA KINABALU: Meskipun bekalan gula di Sabah dilaporkan sudah pulih, tetapi masih ada pengguna mendakwa sukar memperoleh bekalan di pasar raya dan kedai runcit di Papar serta Putatan, dekat sini sejak dua minggu lalu.

Abdul Rahim Omar dari Taman Melinsung, Kinarut dekat sini mendakwa kesukaran mendapatkan bekalan gula bercanggah dengan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah sebelum ini bahawa bekalan gula untuk keperluan Ramadan dan Aidilfitri ini mencukupi.

"Baru-baru ini, Pengarah KPDNKK Sabah, Jaafar Walad mengumumkan bekalan gula di Sabah cukup, sedangkan hakikatnya ialah tiada bekalan di Papar dan Putatan sejak dua minggu lalu.

"Di Kampung Melinsung saja, sudah tiga minggu dua kedai runcit tiada bekalan gula," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Bagaimanapun, dakwaan Abdul Rahim itu disanggah Timbalan Pengarah KPDNKK Sabah, Rosle Abdul Hamid ketika diminta mengulas.

Beliau berkata, sebanyak 400 tan bekalan gula dari Semenanjung tiba di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, dekat sini semalam sebagai tambahan kepada 196 tan yang tiba Rabu lalu.

"Pembekal gula di Semenanjung memberi jaminan akan menambah 1,000 tan lagi menjelang Aidilfitri," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Pengerusi Rakan Pengguna Sabah, Datuk Amisah Yassin melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Asia City, di sini.

Sementara itu, Amisah berkata, peniaga terbabit perlu meningkatkan tahap kebersihan makanan dan premis perniagaan daripada tahap baik kepada sangat baik demi pengguna.

Katanya, ada peniaga menaikkan harga kuih kepada 50 sen sebiji berbanding 30 sen sebelum ini dengan alasan saiznya lebih besar.

Bagaimanapun, setakat ini persatuan itu belum mengambil tindakan terhadap peniaga yang dipercayai sengaja memperdaya pengguna.

Tuesday, September 8, 2009

Gempa 6.1 magnitud landa timur Jawa

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 6.1 magnitud melanda pesisir pantai di timur kepulauan Jawa, tengah malam tadi.

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia dalam kenyataannya berkata, gempa yang berlaku jam 11.12 malam di kedalaman 15 kilometer (km) itu berpusat di 660km dari barat daya Jakarta.

Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan segera mengenai kerosakan dan mangsa yang terbabit.

Laporan menyebut penduduk di Cilacap, di selatan Jawa Tengah bergegas keluar dari rumah mereka kerana bimbang diancam ombak besar.

Bagaimanapun, mereka kembali semula ke kediaman masing-masing selepas tiada tsunami dilaporkan berlaku.

Minggu lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa berukuran 7.0 magnitud yang menggegarkan Jawa, mengorbankan lebih 64 orang setakat ini. - AFP