Followers

Tuesday, September 8, 2009

Sabah&Sarawak: Dunia kesusasteraan Sabah kehilangan Amil Jaya, Rabu lalu

DUNIA kesusasteraan dan bahasa di Sabah kehilangan nama besar dengan kembalinya penulis tersohor kelahiran negeri itu, Datuk Mohd Ismail Abbas, ke Rahmatullah akibat komplikasi jantung di kediamannya di Kampung Bunga, Tenghilan, Tuaran, 2 September lalu.

Kehilangan Allahyarham yang banyak menyumbang ke arah keperkasaan kesusasteraan dan bahasa di negeri itu, bukan hanya berbekam di hati rakan seperjuangan, malah turut diratapi setiap anak didiknya dalam arena berkenaan.

Mohd Ismail atau nama penanya, Amil Jaya, 70, memperjuangkan sastera dan bahasa Melayu hingga ke hujung hayatnya kerana tokoh prolifik itu ingin melihat dunia kesusasteraan dan bahasa di Sabah mekar seiring usia.

Anak kelahiran Kampung Pirasan, Kota Belud, Sabah itu sememangnya aktif berkarya secara konsisten. Dalam perkembangan sastera dan bahasa Sabah, Amil Jaya mengukir nama sebagai penulis menerusi bakat, keinginan dan cita-cita yang dipupuk sejak sekolah rendah.

Kesungguhan meluap-luap Allahyarham disuburkan oleh keresahan dan desakan berfikir yang menggelodak dalam dirinya. Semua itu dizahir menerusi pengalaman ketika penjajahan Inggeris, peningkatan kosa kata bahasa Melayu, pengamatan dan penghayatan kepada aspek sosio-politik-ekonomi dan budaya.

Amil Jaya adalah antara tokoh yang menyemarakkan fungsi Badan Bahasa Sabah (Bahasa), bermula sebagai ahli biasa pada 1972, Allahyarham dipilih menganggotai jawatankuasa tertinggi badan itu hingga 1989 sebelum dipilih sebagai Yang Dipertua Bahasa.

Ketika gerakan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah, Amil Jaya turut terbabit bersama-sama Datuk Jamdin Buyong, Datuk Dzulkifli Abdul Hamid dan seluruh ahli Bahasa, mendesak menerusi seminar supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, di Sabah.

Hasrat itu tercapai apabila bahasa Melayu diumumkan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, di Sabah pada 31 Ogos 1973 oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun, sempena perayaan 10 tahun Sabah di dalam Gagasan Malaysia.

Sebagai penulis pula, Amil Jaya menghasilkan tiga novel persoalan berkisar konflik masyarakat pribumi Sabah, bermula daripada permusuhan tradisional berhubung antara etnik Kayan, Melanau, Kelabit, di Sarawak dalam novel Ngayau; konflik etnik Bajau dan Dusun dalam Bagaton dan konflik ras Kadazan dan Bajau dalam novel Cerah.

Tiga novel remajanya - Yanti Anak Laut, Herwan Anak Kembara dan Periuk Kera Raksasa - mengetengahkan unsur kembara, lasak dan keberanian di kalangan remaja.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia kesusasteraan, Amil Jaya tidak banyak menulis cerpen. Difahamkan, hanya 30 cerpen Allahyarham diterbitkan dalam pelbagai akhbar dan majalah.

Allahyarham adalah penerima penghargaan penulis pada 1987 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah diberi kerajaan negeri pada 1990. Berdasarkan kecemerlangan menyemarakkan dunia kesusasteraan Melayu, Amil Jaya dipilih penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Bangkok pada 1992.

Amil Jaya memulakan pendidikan pada 1952 dan menamatkannya di Sekolah Rendah Kerajaan Tenghilan, Sabah pada 1954. Walaupun memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang, Allahyarham tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah Inggeris kerana kemiskinan keluarga.

Pada 1962, Allahyarham bertugas sebagai guru pelatih di Sekolah Sukarela Rakyat di Kampung Wangkod, Tenghilan. Selain menjadi guru pelatih, Amil Jaya diberi kepercayaan selaku guru besar dan turut menjadi satu-satunya guru di sekolah itu yang mengajar murid darjah satu hingga darjah enam.

Sepanjang menjadi menjadi guru di sekolah itu, Amil Jaya berusaha meningkatkan pencapaian akademik, termasuk menghadiri kelas bahasa Inggeris di Tamparuli untuk guru.

Kerana semangat tinggi untuk mendapat pendidikan lebih baik, Allahyarham sanggup meredah hutan lebih tiga jam awal Subuh dari rumahnya menuju jalan raya di Tenghilan hingga lulus cemerlang tahap sijil Teaching English as a Foreign Language (TEFL).

Allahyarham diterima sebagai pelajar luar kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1976 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1982.

Amil Jaya bersara daripada jawatan Pengarah DBP Sabah pada 1994. Karya dan jasanya akan terus subur serta sebati di hati mereka yang ditinggalkan.

Sabah&Sarawak: SPRM tak perlu ragu siasat kes

Pegawai usah gentar jika individu berpangkat besar atau dikenali ramai

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah diminta terus melaksanakan tanggungjawab menyiasat setiap kes dengan amanah tanpa sebarang kebimbangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V K Liew, berkata pegawai SPRM tidak perlu takut mengendalikan siasatan ke atas sesiapa pun termasuk individu yang mempunyai nama dan pangkat besar serta dikenali ramai.

"Memanglah siasatan ke atas individu terkemuka biasanya mendapat perhatian dan liputan meluas termasuk media.

"Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan pegawai SPRM supaya jangan bimbang. Itu perkara biasa dan kita teruskan dengan tugas dan tanggungjawab," katanya selepas melawat pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah SPRM Sabah, Jalil Jaafar.

Dalam perkembangan berkaitan, Liew berkata, SPRM Sabah menerima 789 maklumat sejak Januari hingga 28 Ogos lalu dengan 719 daripadanya diperoleh di negeri itu manakala baki 70 lagi dari Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Katanya, sebahagian besar maklumat membabitkan tuntutan palsu berhubung projek kerajaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 76 kertas siasatan dibuka manakala status tiada tindakan lanjut (NFA) disahkan bagi 219 kes.

"Sebanyak 358 kes dikategorikan untuk siasatan dan risikan manakala 110 lagi dikenakan pelbagai tindakan lain.

"Dari segi tangkapan, 19 individu ditangkap sejak Januari hingga 28 Ogos ini, membabitkan 15 orang awam, kakitangan sokongan (tiga) dan profesional (satu).

"Kota Kinabalu mencatat tangkapan tertinggi iaitu 10 orang, diikuti Sandakan (enam) dan Tawau (tiga).

“Satu kes membabitkan golongan profesional ditahan di Sandakan dan sudah didakwa di mahkamah," katanya.

Liew berkata, 15 daripada 32 kes perbicaraan sudah diselesaikan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

"Daripada 15 kes diselesaikan, 10 kes disabitkan di mahkamah, tiga dilepas dan dibebaskan, satu kes dilepas tanpa dibebaskan dan satu kes lagi ditarik balik atas arahan Peguam Kanan Persekutuan," katanya.

Najib lulus projek RM8.9 juta untuk Manek Urai

KUALA KRAI; Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manek Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai lalu.

Perdana Menteri berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pas pada pilihan raya kecil itu namun kelulusan projek itu sebagai bukti Kerajaan Pusat menepati janji dan ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya telah meluluskan pembinaan jambatan dua hala yang menghubungkan Manik Urai Baru dan Manik Urai lama yang berjumlah RM8 juta.

"Saya juga meluluskan projek pembaikan Masjid Temalir berjumlah RM600,000 dan pembinaan kemudahan sukan di Kampung Manjor bernilai RM300,000," katanya berucap pada majlis beramah mesra dengan rakyat dan berbuka puasa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.

Seramai 4,000 penduduk Kuala Krai dan Manek Urai datang ke majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Najib berkata, kelulusan projek itu sebagai menepati janji yang dibuat kerana baginya pengundi telah mencuba sedaya-upaya untuk memberikan sokongan yang penuh bagi memastikan pilihan raya kecil DUN Manek Urai berpihak kepada BN.

Namun, katanya, walaupun Pas menang tetapi mereka susut dalam mendapatkan sokongan rakyat disebabkan kesungguhan pengundi sehingga Pas hanya mendapat 65 majoriti undi.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, mendapat 5,348 undi manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, memperoleh 5,283 undi.

Najib berkata, sebelum pilihan raya kecil itu, beliau berjanji akan turun ke Manek Urai jika BN menang.

"Kita cuma perlukan 33 undi. Kalau 33 undi beralih kepada Barisan Nasional kita pasti menang. Tapi walaupun tidak menang saya anggap kita sudah menang dalam pilihan raya kecil Manek Urai," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau datang untuk mengulangi pendirian kerajaan pusat bahawa untung nasib rakyat Kelantan dan Malaysia bergantung kepada pengarahan serta halatuju kerajaan.

"Pengarahan dan hala tuju kerajaan adalah berdasarkan ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis," katanya.

Najib berkata berdasarkan teras itu, Umno yang juga parti utama mentadbir negara, telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, berlandaskan pegangan itu, Umno terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang maju. - Bernama

Rizab sehingga 29 Ogos RM329.1 bilion:BNM

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM329.1 bilion (bersamaan AS$93.9 bilion) pada 28 Ogos, 2009.

Kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai import tertangguh selama sembilan bulan dan 3.8 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Rizab kasar antarabangsa itu meliputi rizab mata wang asing (AS$84.5 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$400 juta), Hak Pengeluaran Khas (AS$1.9 bilion), emas (AS$400 juta) dan rizab lain (AS$6.1 bilion).

Aset bank pusat sebanyak RM357.819 bilion.

Selain rizab antarabangsa, aset lain termasuk kertas kerajaan Malaysia (RM2.876 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM7.182 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM12.709 bilion) dan aset-aset lain (RM5.919 bilion).

Liabiliti meliputi modal berbayar (RM100 juta, dana rizab am (RM11.976 bilion), lain-lain rizab (RM31.207 bilion), mata wang dalam edaran (RM50.212 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM166.780 bilion), deposit oleh Kerajaan Persekutuan (RM25.627 bilion), lain-lain deposit (RM1.346 bilion), kertas Bank Negara (RM41.356 bilion), peruntukan SDR (RM6.835 bilion) dan liabiliti lain (RM22.375 bilion). - Bernama