Followers

Friday, September 4, 2009

Kedatangan pelancong ke Malaysia terus meningkat

KUALA LUMPUR: Walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang lembab dan pandemik Influenza A (H1N1), jumlah kedatangan pelancong ke negara ini meningkat sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Jumlah kedatangan pelancong yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu ialah 12.89 juta orang.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dalam ucapan pada perasmian pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini hari ini, berkata daripada Januari hingga Julai tahun ini, ketibaan pelancong yang dicatat ialah 13.35 juta orang.

"Jumlah ketibaan itu adalah bukti bahawa walaupun dunia menghadapi pandemik H1N1, orang ramai masih boleh menikmati percutian dan pada masa yang sama mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti," katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Ng berkata walaupun situasi semasa tidak menggalakkan orang ramai berada di kawasan sesak, masih ada tempat yang mereka boleh pergi untuk berehat dan menghilangkan tekanan daripada kesibukan harian.

"Influenza tidak sepatutnya menjadi sebab untuk menghalang mereka yang ingin melancong terutama mereka yang sihat dan tidak termasuk dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Sementara itu, Ng berharap pameran Matta akan terus memainkan peranan penting dalam merangsang pelancongan tempatan dan mempromosikan pakej pelancongan Cuti-Cuti Malaysia.

"Ini sangat penting kerana ia selaras dengan objektif kerajaan untuk mempromosi pelancongan dalam negeri.

"Daripada pengalaman lepas, kita dapati pelancong dalam negeri yang membantu mengekalkan idustri pelancongan kita terutama pada masa krisis," katanya.

Beliau turut menggesa pengusaha pelancongan untuk melihat kemungkinan mempromosi program inapan desa di semua negeri, dan kerajaan sangat komited dalam membangunkan inapan desa dengan tabung khas telah diperuntukan untuk menaiktaraf kemudahan rumah-rumah terlibat.

Sebanyak 170 peserta pameran terdiri daripada syarikat penerbangan, hotel, resort, pengusaha pelancongan, agensi pelancongan dan syarikat berkaitan pelancongan mengambil bahagian pada pameran Matta yang berlangsung selama lima hari mulai hari ini.

Sebanyak 830 gerai pameran disediakan pada pameran yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini. - Bernama

Gempa bumi Indonesia ragut 59 nyawa, usaha mencari diteruskan

PANGALENGAN (Indonesia): Pekerja penyelamat di kepulauan Jawa, Indonesia, meneruskan usaha mencari berdozen mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, hari ini, dalam gempa bumi berskala 7.0 magintud yang meragut sekurang-kurangnya 59 nyawa, kata pegawai rasmi negara itu.

“Sekurang-kurangnya 59 terbunuh...37 lagi masih terperangkap,” kata jurucakap agensi pengurusan bencana, Priyadi Kardono.

“Kami sudah menggunakan mesin berat bagi membantu usaha menyelamat di Cikangkareng, perkampungan kira-kira 100 kilometer selatan Jakarta di mana gempa bumi menyebabkan tanah runtuh,” katanya lagi.

Priyadi berkata, bencana itu memusnahkan kira-kira 31,000 rumah di kawasan itu.

Gegaran disebabkan gempa bumi itu turut dirasai kepulauan bersebelahannya seperti Bali dan Sumatera. - AFP

H1N1: Chile musnahkan 90,000 telur ayam belanda

SANTIAGO (Chile): Pihak berkuasa Chile berkata, mereka sudah memusnahkan 90,000 telur ayam belanda sejak selesema babi dikesan pada burung dua minggu lalu.

Pengarah Perkhidmatan Pertanian dan Ternakan negara berkenaan, Victor Venegas, berkata semalam wabak yang menjangkiti ayam belanda sudah dikawal, tetapi kuarantin hanya akan diteruskan bagi tempoh dua minggu lagi.

Selesema babi dikesan minggu lalu di dua ladang ayam belanda persendirian. Ujian menunjukkan ia adalah virus yang sama dikesan pada manusia, berbanding jaringan yang berbahaya.

Kementerian kesihatannya, berkata selesema babi sudah meragut 130 nyawa dan menjangkiti lebih 12,000 pesakit di negara itu. - AP

H1N1: Itali catatkan kematian pertama

ROM: Seorang lelaki Naples berusia 51 tahun dengan masalah kesihatan kronik disahkan mati semalam selepas dikesan dengan selesema babi, menjadikan kematian pertama di Itali akibat daripada jangkitan virus Influenza A(H1N1), menurut hospital Naples, hari ini.

Pengarah Hospital Cotugno dalam kenyataannya, berkata lelaki yang dikenali dengan nama awal D G, mati tengah malam semalam berikutan jangkitan dan pneumonia yang turut mempunyai kaitan dengan masalah jantung serius serta kencing manis seterusnya dirumitkan lagi dengan jangkitan virus H1N1.

Doktor yang merawat lelaki itu yang sudah dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu, berkata pesakit terbabit sudah berada dalam keadaan serius disebabkan penyakit sedia ada yang dihidapinya.

Malah, doktor itu berkata, lelaki berkenaan yang menetap bersama ibunya di sebuah kawasan luar bandar Naples dikenal pasti tidak melancong ke luar negara. - AFP