Followers

Friday, September 4, 2009

H1N1: Chile musnahkan 90,000 telur ayam belanda

SANTIAGO (Chile): Pihak berkuasa Chile berkata, mereka sudah memusnahkan 90,000 telur ayam belanda sejak selesema babi dikesan pada burung dua minggu lalu.

Pengarah Perkhidmatan Pertanian dan Ternakan negara berkenaan, Victor Venegas, berkata semalam wabak yang menjangkiti ayam belanda sudah dikawal, tetapi kuarantin hanya akan diteruskan bagi tempoh dua minggu lagi.

Selesema babi dikesan minggu lalu di dua ladang ayam belanda persendirian. Ujian menunjukkan ia adalah virus yang sama dikesan pada manusia, berbanding jaringan yang berbahaya.

Kementerian kesihatannya, berkata selesema babi sudah meragut 130 nyawa dan menjangkiti lebih 12,000 pesakit di negara itu. - AP

H1N1: Itali catatkan kematian pertama

ROM: Seorang lelaki Naples berusia 51 tahun dengan masalah kesihatan kronik disahkan mati semalam selepas dikesan dengan selesema babi, menjadikan kematian pertama di Itali akibat daripada jangkitan virus Influenza A(H1N1), menurut hospital Naples, hari ini.

Pengarah Hospital Cotugno dalam kenyataannya, berkata lelaki yang dikenali dengan nama awal D G, mati tengah malam semalam berikutan jangkitan dan pneumonia yang turut mempunyai kaitan dengan masalah jantung serius serta kencing manis seterusnya dirumitkan lagi dengan jangkitan virus H1N1.

Doktor yang merawat lelaki itu yang sudah dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu, berkata pesakit terbabit sudah berada dalam keadaan serius disebabkan penyakit sedia ada yang dihidapinya.

Malah, doktor itu berkata, lelaki berkenaan yang menetap bersama ibunya di sebuah kawasan luar bandar Naples dikenal pasti tidak melancong ke luar negara. - AFP

Thursday, September 3, 2009

68 kes H1N1 baru, angka kematian kekal 73 mangsa

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian baru yang disahkan akibat jangkitan Influenza A(H1N1) dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat penyakit itu kekal 73 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata 68 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini manakala 103 kes sudah dibenarkan pulang.

"Ini menjadikan baki seramai 1,176 pesakit ILI sedang dirawat di 109 hospital di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut hanya 236 pesakit yang sudah disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Ismail juga berkata, sehingga kini vaksin bagi melindungi orang ramai daripada penyakit ini belum ada di pasaran kerana ia masih di peringkat ujian klinikal.

Beliau mengulangi nasihat supaya mana-mana individu yang merasakan diri mereka tidak sihat dan mempunyai gejala selesema ILI supaya berada di rumah dan elakkan diri daripada pergi ke tempat awam. - Bernama.

H1N1: Wanita 25 tahun mangsa korban ke-73

KUALA LUMPUR: Satu kematian baru jangkitan influenza A(H1N1) disahkan sehingga jam 9 pagi ini, membabitkan seorang wanita berumur 25 tahun dari Betong, Sarawak, yang meninggal dunia Selasa lalu.

Beliau adalah mangsa korban H1N1 negara ke-73.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sehingga pada tadi sejumlah 266 pesakit baru dengan gejala "influenza-like illness" (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 293 kes telah dibenar keluar.

"Ini menjadikan baki seramai 1,211 pesakit ILI sedang dirawat di 110 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 230 pesakit (18.9%) yang telah disahkan positif H1N1," katanya.

Beliua berkata, daripada 230 kes yang disahkan H1N1, 41 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana 5 kes adalah kemasukan baru, sementara 3 lagi kes telah keluar dari ICU.

Katanya, daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 31 (75.6%) mempunyai faktor risiko.

"Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (7), obesiti (10), kanak-kanak/bayi (8), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (1) dan asma (3).

Untuk makluman, satu kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini," katanya.