Followers

Thursday, September 3, 2009

Malaysia sedih dengan kejadian gempa di Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian bencana gempa bumi kuat di Indonesia semalam yang mengorbankan banyak nyawa di samping mengakibatkan kemusnahan harta benda, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menyatakan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan maut dalam kejadian itu, namun Kedutaan Malaysia di Jakarta akan terus memantau keadaan di kawasan yang dilanda gempa bumi pada kekuatan 7.3 di Jawa Barat itu.

Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Jakarta sudah menubuhkan bilik operasi bagi memudahkan orang ramai membuat sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan bencana itu.

Bilik operasi di Wisma Putra boleh dihubungi dengan menelefon 03-88892746 atau 88874570 manakala Kedutaan Malaysia boleh dihubungi menerusi talian 62-21-5224947/62-21-5224971 (sambungan terus). - Bernama

Gempa di Indonesia ragut 35 nyawa, 422 cedera

SUKABUMI (Indonesia): Gempa bumi kuat 7.0 magnitud di sini, petang semalam mengorbankan lebih 35 nyawa dan memusnahkan puluhan rumah di kawasan sesak di pulau Jawa.

Gempa berlaku di 200 kilometer (km) di selatan Jakarta pada kedalaman 49km, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat.

Ribuan orang ramai bergegas meninggalkan kediaman, pusat beli-belah dan bangunan pejabat di sekitar Jawa Barat dan di ibu negara Jakarta apabila bangunan bergoncang lebih lima minit pada jam 3 petang waktu tempatan.

Angka kematian terbaru menunjukkan 35 terkorban manakala 422 lagi cedera, lapor Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam Pakaya.

Beliau berkata, lebih 40 orang terperangkap dan dikhuatiri maut di daerah Cibinong, di selatan Jakarta.

Sebelum itu, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono memberitahu, lebih 5,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing kerana bimbang berlaku gegaran susulan di daerah Cianjur.

Beliau berkata, ada rumah di daerah itu yang tertimbus kerana tanah runtuh menyebabkan ada penghuni yang turut terbunuh.

“Laporan ini didapati dari kawasan yang masih mempunyai jaringan perhubungan yang baik tetapi di kawasan pedalaman, kita masih belum mengetahuinya setakat ini," katanya. - AFP

Gempa di Indonesia: Angka korban meningkat 44 orang

CIKANGKARENG (Indonesia): Angka terbaru mangsa gempa bumi di Indonesia, semalam terus meningkat pagi ini, dengan 44 orang maut manakala lebih 120 lagi cedera dan dirawat di hospital.

Dalam pada itu berpuluh lagi penduduk dilaporkan hilang akibat tanah runtuh sehingga menimbuskan rumah apabila gempa bumi 7.0 mangnitud melanda pulau Jawa, petang semalam.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono, berkata 10 daripada yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Kejadian di barat Jawa itu menyebabkan lebih 700 bangunan mengalami kerosakan.

Kebanyakan mangsa yang maut disebabkan terkena serpihan tembok dan atap bangunan yang melayang.

Sebuah kampung di daerah Cianjur dilaporkan teruk dilanda tanah runtuh sehingga berpuluh rumah tertimbus oleh lumpur dan batu.

Sekurang-kurangnya 10 mayat penduduk ditemui di daerah itu dan usaha mencari 40 yang lain yang dikhuatiri terperangkap masih dijalankan. - AFP

Masyarakat di pulau dinasihat peka isu kebersihan elak H1N1

2nd September, 2009

SANDAKAN: Masyarakat yang mendiami pulau-pulau di sekitar bandar ini dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan isu kebersihan diri dan persekitaran bagi mengelakkan penularan wabak Selesma Babi atau influenza H1N1 di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Zakaria Haji Edris berkata wabak yang kini menular ke serata pelusuk daerah memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya tidak kira di bandar mahupun di kawasan luar bandar.

“Jangan pandang remeh soal kebersihan dan penjagaan kesihatan diri dan pesekitaran kediaman kita.

“Ini kerana wabak H1N1 kini menular di serata tempat tidak terkecuali kawasan terpencil seperti di pulau-pulau ini,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Sumbangan kepada fakir miskin di Pulau Pamaguan di sini pada kelmarin.

Seramai 55 penduduk pulau Pamaguan yang terdiri dari fakir miskin menerima sumbangan berupa bekalan makanan dari UPKR Gum-Gum dan sumbangan dari Yayasan Sabah berupa sebuah jenset bekalan elektrik untuk Masjid kampung di pulau berkenaan dan sejadah sumbangan dari Pergerakan Pemuda Umno Libaran.

Menurut Zakaria dengan kurangnya kemudahan rawatan segera ditambah lagi dengan jarak jauh sistem perhubungan menuntut rakyat di kawasan pulau sentiasa peka menjaga kebersihan dan kesihatan diri serta keluarga dan persekitaran.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua penghuni di pulau-pulau segera mendapatkan rawatan sekiranya ada tanda-tanda dijangkiti wabak H1N1 segera merujuk ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK), untuk rawatan dan pengesahan lanjut.

Zakaria berkata penularan wabak itu boleh ditangani dengan berkesan melalui kerjasama semua pihak penduduk dan jabatan berkaitan.

Hadir sama, Pengurus Yayasan Sabah bahagian Pantai Timur, Hajah Rosinah Haji Mohd Momin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Libaran, Suhaimi Haji Nasir dan PKR Gum-Gum, Madali Selamat.