Followers

Monday, August 31, 2009

Hampir 200 ditahan dalam operasi ambang merdeka

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.

Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu membabitkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Pengerusi Perkid Selangor, Masridzi Sat, berkata semua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.

"Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup," katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.

Masridzi berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.

Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial. - Bernama

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 penuh semangat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Biarpun ringkas dan sederhana, impak sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara peringkat nasional hari ini tidak kurang dan tetap bersemarak dengan semangat 1Malaysia apabila pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan keturunan bersama-sama meraikannya.

Bertemakan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan", perayaan Hari Kemerdekaan kali ini mencipta sejarahnya tersendiri apabila buat julung kali di dalam sejarah sambutannya diadakan di Dataran Parlimen yang menjadi simbol demokrasi negara.

Dataran Parlimen yang sering menjadi lokasi acara menyambut pembesar luar, hari ini diwarnai dengan persembahan peserta berpakaian warna warni serta anggota pasukan keselamatan yang segak dengan seragam masing-masing.

Perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, tepat jam 8 pagi.

Kira-kira 10 minit sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman, tiba di perkarangan Parlimen.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 10,000 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan kira-kira 1.38 kilometer, bermula dari Bulatan Bank Negara Malaysia (BNM) hingga ke perkarangan Dataran Parlimen.

Kontinjen pelambai itu terdiri daripada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)seramai 210 orang, kementerian dan agensi awam (300), 28 kontinjen badan-badan berkanun (300), kontinjen swasta (992), kontinjen pelatih institut perguruan seluruh Malaysia (3,500) dan kontinjen khalayak kelolaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (5,000).

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Mejar Zailani Mohd Okhtat.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Radzi Othman.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan oleh tujuh warga pendidik diketuai Norazmi Baba yang mewakili kaum utama di Malaysia.

Bacaan ikrar turut diiringi 52 peserta yang juga warga pendidik, berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik kemerdekaan negara yang ke-52.

Turut sama melafazkan ikrar ialah 500 anggota kontinjen keselamatan dari pasukan Tentera Darat, TUDM, TLDM, PDRM dan APMM yang diketuai Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat.

Laungan "merdeka" sebanyak tujuh kali, diikuti laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" kemudian bergema di seluruh kawasan dan disambut orang ramai yang tidak melepaskan peluang mengikuti upacara gilang-gemilang itu di kawasan luar Parlimen.

Sambutan kali ini turut diserikan dengan nyanyian koir daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang mendendangkan lagu patriotik "Malaysia Tanah Airku".

Sebagai persembahan penutup, nyanyian koir Suara Warisan (Koswa), TLDM, Lumut menyemarakkan lagi Jalur Gemilang dan 1Malaysia bagi mengiringi persembahan 200 peserta persembahan rakyat yang menampilkan pelbagai gerak tari budaya.

Sambutan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besar-besaran dan pembabitan kontinjen kanak-kanak sekolah seperti tahun-tahun sebelum ini, berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A(H1N1) dan bagi menghormati Ramadan. - Bernama

H1N1: Tiada kematian tetapi 99 kes baru ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kemataian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi dan angka korban kekal kepada 72 mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 99 pesakit baru dengan gejala sakit seakan selesema (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 240 kes telah dibenar keluar.

"Ini menjadikan baki seramai 1,374 pesakit ILI sedang dirawat di 98 hospital termasuk empat hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 286 pesakit (21%) yang disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 286 kes yang disahkan H1N1, 46 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana lapan kes adalah kemasukan baru, sementara empat lagi kes telah keluar dari ICU. Katanya, daripada 46 kes yang sedang dirawat di ICU, 32 (70%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (9), obesiti (9), kanak-kanak/bayi (6), post-natal/hamil (3), penyakit jantung (2), asthma (1) dan immuniti rendah (2).

Kekejaman Bintang Tiga




Bau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan

DITANGKAP dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan. Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha.

Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun. Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan.

“Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya.

Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.



Shafie berkata, keadaan huru-hara di Malaya ketika itu menyebabkan hubungan antara kaum tegang biarpun keanggotaan PKM bukan di kalangan kaum Cina saja.

“Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut.

“Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis,” katanya. Disebabkan tidak mahu ditimpa kesusahan, masyarakat ketika itu rela bergelap dan berkurung di rumah biarpun Maghrib belum menjelang.

Shafie berkata, ancaman PKM tidak dihadapi orang Melayu saja, bahkan ada kaum Cina terutama suku Tionghua selalu menerima ugutan, diganggu malah harta mereka dirampas menyebabkan mereka memilih mendiami kawasan pinggir hutan.


Perang Vietnam memburukkan keadaan kerana memberi ilham untuk menghasilkan jerangkap samar atau bobby trap kepada pengganas komunis. Pemberontakan komunis ketika ini di seluruh dunia melalui fasa kedua dengan melakukan serangan lebih agresif dan membunuh.

“Permatang (laluan) tentera dan polis dipasang jerangkap samar menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban, kudung kaki dan tangan. Pemilik ladang dan lombong dikelar, tanaman getah ditetak, manakala kereta api yang membawa hasil komoditi itu diserang, diterbalikkan dan dibakar. Hakikatnya, ini cara komunis melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Namun, kata Shafie, kekejaman komunis meragut kesabaran rakyat, terutama orang Melayu apabila balai polis diserang, dibakar dan menagih korban bukan saja di kalangan anggota bertugas, bahkan anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan.

Balai Polis Bukit Kepong, Kuala Krai, Simpang Pertang dan Pekeliling musnah dihujani peluru dan bom tangan membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya ketika mengenang semula keganasan dicetuskan anak buah Chin Peng itu.

Sehubungan itu, katanya, Chin Peng tidak patut diberi peluang kembali ke negara ini biarpun perancang utama dan tulang belakang PKM itu sudah lanjut usianya.

“Bagaimana kita boleh memaaf dan melupakan kekejaman Chin Peng ketika itu. Dia bukan saja pencetus huru-hara bahkan menyebabkan ramai pejuang negara kehilangan anggota. Betapa menyedihkan keadaan tanah air ketika itu hingga tanah berbau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan dan mereput sendiri. Jelas kelihatan hutang darah dibayar darah, jika masih ada usaha membawa pulang pengkhianat itu, kami anggota keselamatan tidak akan berdiam diri,” katanya penuh semangat.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zaini Mohd Saidi walaupun ketika darurat masih kecil dan berusia dua tahun, namun beliau mengerti kesengsaraan dan ketakutan yang ditanggung orang sekelilingnya.

“Saya membesar dalam kekalutan, hilang kebebasan bahkan lebih teruk, melabelkan suku kaum tertentu sebagai komunis. Keadaan ketika itu sangat menekan perasaan sehinggakan untuk pulang ke kampung saya di Lenggeng, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur harus melalui tidak kurang 10 sekatan jalan raya, perintah berkurung dikenakan selepas jam 6 petang, manakala permit diperlukan bagi beras dan gula mempunyai berat lebih sekati,” katanya.

Namun, paling dikesali beliau ialah kesan pemberontakan komunis yang mencipta sentimen benci di antara kaum, khususnya Melayu dan cina.

“Angka korban darurat dianggarkan mencecah 2,542 orang membabitkan semua kaum terutama Melayu dan Cina. Pantang silap sikit ketika itu, akan tercetus perkelahian kaum yang berakhir dengan kematian,” katanya.

PKM di bawah pimpinan Chin Peng membiak ke angka 10,000 anggota pada akhir 60an berbanding 400 anggota asal. Matlamat awal untuk memerangi kuasa Jepun sebaliknya melahirkan gerombolan gerila yang berniat jahat menimbulkan huru-hara.

“Generasi kini patut mengenang semula pahit getir perjuangan dan kesediaan anggota keselamatan berkorban nyawa demi negara. Azab dua tiga bulan berkampung di hutan tidak terungkap dengan kata-kata, namun itu sudah menjadi tugas kami untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya.

Fahami sejarah kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata.

Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.

Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan.

Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.

Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.

Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.

Info

Kes keganasan komunis


  • Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947

    Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah.

    Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

  • Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948

    Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak.

    Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.

  • Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948

    Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

  • Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948

    Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.

  • Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950

    Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.

  • Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950

    Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.

  • Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950

    Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

  • Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950

    150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

  • Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950

    Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

  • Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951

    Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

  • Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951

    Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.

    Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

  • Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)

    Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.
  •