Followers

Sunday, August 23, 2009

Usaha PPPM tingkatkan kesedaran bahaya H1N1


MOHD. Firdaus Abdullah (tengah) mengedarkan penutup hidung dan mulut percuma kepada orang ramai dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di Terminal Makmur, Kuantan, Pahang, semalam. - Mingguan / RUSHDI SALLLEH


KUANTAN 22 Ogos - Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) hari ini melancarkan kempen mengedarkan penutup hidung dan mulut percuma di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1).

Presidennya, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pelancaran kempen tersebut dibuat secara serentak di semua bandar utama di seluruh negara bermula pukul 11 pagi ini.

"Ini merupakan inisiatif PPPM untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penularan wabak H1N1 yang menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) akan berlaku ledakan.

"Kita nampak masih ada individu yang tidak peka dan mengambil mudah wabak tersebut dengan tidak memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga.

"Justeru adalah menjadi harapan kita melalui kempen ini, kita dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai terhadap wabak H1N1," katanya kepada pemberita semasa menyertai kempen tersebut di Terminal Makmur di sini hari ini.

Mohd. Firdaus memberitahu, di Kuantan misalnya, PPPM mengedarkan kira-kira 1,000 keping penutup manakala di Kuching dan Kota Kinabalu pula masing-masing 2,000 dan 3,000 keping.

Menurutnya, masih ramai di kalangan masyarakat menganggap 'tidak ada apa-apa yang berlaku' menyebabkan mereka mengambil sikap sambil lewa terhadap bahaya wabak H1N1.

Katanya, PPPM akan memperluaskan kempen tersebut ke peringkat daerah bagi membantu kerajaan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap wabak tersebut.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian Kesihatan memastikan bekalan penutup hidung dan mulut sentiasa cukup di pasaran berikutan pertambahan permintaan terhadap alat tersebut masa kini.

"Pihak kementerian diharap dapat memberi arahan kepada pengeluar supaya menyediakan bekalan penutup ini secukupnya dan jangan menunggu sehingga stok habis," katanya.

Sementara itu, beberapa individu yang ditemui menyambut baik usaha PPPM tersebut dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya H1N1.

Raja Nasarudin Raja Sahab, 65, berkata, dalam keadaan sekarang masyarakat perlu menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan termasuk memakai penutup mulut dan hidung untuk mengurangkan jangkitan.

"Sudah menjadi sikap segelintir masyarakat kita, selagi penyakit itu tidak kena pada batang tubuhnya, dia akan ambil tidak peduli sahaja," katanya.

Bagi seorang penuntut, C. Jeveta, 23, pula, orang ramai perlu mengutamakan keselamatan dengan menyahut seruan kerajaan supaya memakai topeng sebagai pencegahan awal.

"Kena pakai untuk keselamatan," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

WHO seru derma vaksin H1N1

BEIJING 22 Ogos - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru pengeluar ubat-ubatan agar mendermakan vaksin selesema babi (H1N1) kepada negara-negara miskin di dunia yang terdedah kepada risiko jangkitan.

Penolong Ketua Pengarah WHO, Dr. Keiji Fukuda berkata, pihaknya sedang berusaha melobi negara maju dan pengeluar vaksin selesema agar menghulurkan sumbangan.

"Adalah jelas negara-negara termiskin lebih berisiko terhadap beberapa penyakit dan ini adalah satu kebimbangan besar.

"Kami berharap lebih banyak syarikat akan tampil menyatakan persetujuan untuk mendermakan lebih banyak vaksin," kata Fukuda pada acara sampingan dalam simposium pegawai dan pakar kesihatan di Beijing hari ini.

WHO menjelaskan, virus selesema babi telah membunuh hampir 1,800 nyawa di seluruh dunia setakat 13 Ogos lalu.

Buat sementara ini, selesema babi adalah sederhana dan kebanyakan orang pulih tanpa memerlukan rawatan tetapi impak lebih besar dihadapi negara yang rakyatnya berdepan dengan AIDS, malaria, tibi dan penyakit-penyakit lain.

Negara-negara kaya seperti Britain, Kanada dan Perancis telah menempah vaksin selesema untuk kesemua rakyat mereka namun kebanyakan negara membangun tidak mempunyai rancangan atau kemampuan sedemikian.

Pegawai kesihatan dan pengeluar ubat-ubatan sedang mencari jalan bagi mempercepatkan pengeluaran vaksin sebelum kawasan hemisfera utara dilanda musim selesema beberapa bulan lagi. Vaksin mungkin boleh didapati bermula bulan ini hingga Disember ini.

Fukuda berkata, Pengerusi WHO, Margaret Chan telah bertemu dengan syarikat pengeluar ubatan untuk merayu secara langsung.

Namun setakat ini hanya dua syarikat menyatakan kesanggupan menyumbang 150 juta dos untuk negara membangun, GlaxoSmithKline PLC dari Britain and Sanofi-Aventis dari Perancis.

Novartis AG dari Switzerland pula menyatakan kesediaan menjual vaksin kepada negara membangun pada harga diskaun.

Tambah Fukuda, WHO juga sedang berusaha mencari pilihan lain seperti merundingkan harga vaksin lebih rendah kepada negara miskin dan membantu mereka mewujudkan fasiliti pengeluaran mereka sendiri.

Pengarah Pasifik Barat WHO, Shin Young-soo semalam berharap China di mana 10 pengeluar ubatan sedang menjalankan ujian klinikal vaksin selesema, dapat memainkan peranan dalam membantu negara miskin.

Sebaik saja cuaca sejuk melanda hemisfera utara, negara-negara di kawasan itu akan menyaksikan kes selesema babi meningkat sekali ganda setiap tiga hingga empat hari selama beberapa bulan sehinggalah jangkitan mencapai kemuncak. - AP

'Kena pakai topeng'


DR MAHATHIR memakai topeng mulut dan hidung ketika melawat Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru, semalam.

Dr Mahathir risau rakyat tak peduli wabak H1N1

KUALA LUMPUR: "Pakai topeng mulut dan hidung," nasihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakyat bagi mengelakkan mereka dijangkiti virus selesema babi (H1N1).

Walaupun tiada kematian akibat wabak H1N1 dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam, beliau bimbang melihat sikap orang ramai yang seolah-olah tidak takut terhadap wabak penyakit itu.

Sehingga semalam, angka korban kekal 68 orang sejak kematian pertama dilaporkan pada 21 Julai lalu.

Bagaimanapun, seramai 230 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke wad, manakala 310 pesakit sudah dibenarkan keluar.

Jumlah pesakit menurun kepada 1,476 daripada 1,556 kelmarin yang dirawat di 102 hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 316 pesakit disahkan positif H1N1.

Daripada jumlah itu, 40 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes adalah kemasukan baru, manakala lapan kes dikeluarkan daripada unit itu.

Daripada 40 kes yang dirawat di ICU, 25 kes mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak dan bayi (7), diabetes (5), penyakit kronik (5), asma (3), obesiti (3), mengandung dan bersalin (1) dan kanak-kanak istimewa (1).

Tun Dr Mahathir berharap orang ramai memakai topeng itu di tempat awam, termasuk ketika membeli-belah di bazar Ramadan.

"Walaupun ada wabak H1N1, nampaknya orang ramai juga (membeli juadah berbuka puasa). Saya susah hati sikit, ramai tak pakai topeng penutup hidung dan mulut.

Katanya, kemelesetan ekonomi juga seolah-olah seperti tidak berlaku berdasarkan sambutan orang ramai keluar membeli belah pada hari pertama Ramadan.

"Walaupun ada krisis kewangan, nampak orang tak berasa apa pun," katanya yang mengunjungi Bazar Ramadan di Kampung Baru untuk mencari cucur udang.

"Kalau tak pakai topeng itu, kita tak tahu bila kita nak kena (jangkitan H1N1). Peniaga juga kena pakai topeng ... kena jaga kesihatan," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, di sini, semalam.

Beliau yang memakai topeng itu berkata, orang ramai serta peniaga perlu berhati-hati dan mementingkan kebersihan makanan.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang mengunjungi gerai makanan di bazar Ramadan terserempak dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang turut meninjau di bazar Ramadan berkenaan.

Najib melawat dan membeli kuih di gerai-gerai sepanjang bazar itu kira-kira setengah jam.

Friday, August 21, 2009

WHO ramal 'letusan' penularan H1N1

BEIJING: Penularan selesema babi di seluruh dunia akan mengancam lebih banyak nyawa apabila ia bertambah pantas dalam beberapa bulan akan datang dan kerajaan perlu meningkatkan persediaan untuk tindak balas segera, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah WHO Pasifik Barat, Shin Young-soo, berkata akan tiba waktu di mana banyak negara akan menyaksikan kes selesema babi meningkat sekali ganda setiap tiga atau empat hari untuk beberapa bulan sehingga kemuncak penularan dicapai.

"Pada satu ketika akan kelihatan seolah-olah berlaku letusan bilangan kes. Apa yang pasti akan ada banyak kes dan banyak kematian," katanya pada simposium pegawai dan pakar di Beijing.

WHO sudah mengisytihar selesema babi sebagai pandemik dan ia sudah meragut 1,800 nyawa di seluruh dunia minggu lalu,

Tumpuan masyarakat antarabangsa ialah bagaimana pandemik itu meningkat di negara hemisfera selatan seperti Australia yang menghadapi musim sejuk dan selesema. - AP