Followers

Friday, August 14, 2009

H1N1: Hampir 150 kes baru sehari di Portugal

LISBON: Portugal terus mencatat peningkatan mendadak kes jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) apabila 149 disahkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Ia menjadikan kes terkumpul jangkitan H1N1 kepada 884 sejak Mei, menurut kenyataan Kementerian kesihatan.

Ia juga adalah jumlah kes tertinggi dalam sehari dilaporkan setakat ini.

Portugal kini mencatat 11 kematian akibat H1N1. - AFP

Kawasan panas H1N1 mungkin diumumkan: TPM

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membincangkan dengan pegawai Kementerian Kesihatan kemungkinan mengumumkan kepada orang ramai kawasan atau lokasi panas di negara ini yang banyak mencatatkan kes Influenza A(H1N1).

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara kini pada peringkat mencari jalan menangani penularan virus wabak itu kerana tahap mengkuarantin telah dilaksanakan kira-kira sebulan lalu.

"Ia boleh dikatakan kita pada peringkat membimbangkan. Bagaimanapun kita telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menangani masalah ini. Kita tidak ada untuk disembunyikan dan maklumat diberikan kepada orang ramai setiap hari melalui media.

"Dari situ kita boleh tahu lokasi seperti jika sebuah sekolah ditutup di sesuatu kawasan. Sungguhpun peratus kes H1N1 di negara masih lagi rendah berbanding dengan jumlah keseluruhan penduduk, kita tidak boleh ambil ringan dengan ancaman ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara tindakan yang diambil kerajaan ialah memastikan semua hospital di negara ini termasuk hospital swasta menyediakan ubat H1N1, Tamiflu.

"Kesedaran orang ramai juga ditingkatkan. Kini semua hospital tahu langkah-langkah yang akan diambil untuk merawat mereka yang dijangkiti virus ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun mungkin ada sesetengah lokasi di negara ini yang belum lagi mencatatkan pesakit Influenza A(H1N1), ini tidak bermakna lokasi itu bebas daripada virus berkenaan.

Katanya, kerajaan tidak mengambil ringan dalam mengendalikan H1N1 kerana ia membabitkan nyawa orang ramai dan tindakan penting diambil bagi membendung penyakit itu

"Mengenai kawasan panas, kita perlu tahu jika ia akan membantu membendung penularan penyakit itu. Jika Kementerian Kesihatan merasakan bahawa ia akan membantu, barulah kita akan teruskan dan memaklumkan lokasi-lokasi berkenaan.

"Ini berbeza dengan jerebu, kita siarkan kawasan panas. Jerebu boleh dilihat dengan mata kasar tetapi bukan H1N1. Jadi kita hendaklah berhati-hati," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk menyimpan bekalan Tamiflu. - Bernama

Thursday, August 13, 2009

H1N1: Tiada garis panduan tetap tutup sekolah

MELAKA: Tiada garis panduan tetap bagi penutupan sekolah untuk membendung penularan wabak Influenza A (HINI), sebaliknya akan ditentukan pengetua selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

H1N1: 7 lagi kematian, keseluruhan 51

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kematian dilaporkan akibat H1N1 hari ini, menjadikan jumlah kes meningkat kepada 51 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tujuh kematian itu membabitkan pesakit berumur antara empat bulan dan 92 tahun.