Followers

Monday, August 10, 2009

Timur: H1N1: MB saran semua sekolah ditutup seminggu

Langkah bagi elak penularan selesema babi lebih serius

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mencadangkan supaya semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini ditutup seminggu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang semakin serius.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad bergantung kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan kerana pihak terbabit lebih mengetahui tahap penularan jangkitan berkenaan di negeri ini.

"Saya berpendapat semua sekolah ini perlu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana sudah 15 sekolah ditutup setakat ini kerana wabak itu.

"Saya bukan hendak menimbulkan suasana panik kalangan rakyat tetapi wabak ini semakin serius kerana sudah dua kematian dilaporkan berlaku di negeri ini," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai wabak itu di negeri ini selepas merasmikan Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Wilayah Timur di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Fama negeri, Manon Jalil.

Sebanyak 183 gerai pelbagai produk pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) menyertai ekspo tiga hari yang berakhir esok.

Adnan berkata, dua kematian itu membabitkan dua kanak-kanak iaitu Mohd Roshazly Roslin, 5, dari Kem Tentera Batu 10 di sini yang meninggal dunia pada jam 5.22 pagi kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Mohd Hyafiq Aiman Mohd Saiful Affendi, 6, Rabu lalu, yang meninggal dunia selepas seminggu menerima rawatan di hospital yang sama..

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan lebih mengetahui situasi yang berlaku ketika ini dan terpulang kepada mereka untuk mengambil sebarang tindakan dan rakyat perlu akur dengan sebarang keputusan yang dibuat.

H1N1: IPT dinasihat kurangkan aktiviti luar

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diminta mengurangkan penganjuran aktiviti luar sebagai langkah pencegahan jangkitan Influenza A (H1N1).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengurusan IPT perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap soal kesihatan pelajar.

"Kalau tidak mustahak tidak perlu adakan sebarang program sebagai langkah pencegahan H1N1," katanya pada sidang media selepas merasmikan forum pendidikan antarabangsa di sini, pagi tadi.

9 lagi korban H1N1


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap semasa menghadiri Majlis 1Malaysia Karnival Batu Caves anjuran bersama Kuil Sri Maha Mariamman dan Majlis Hindu Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama

Kerajaan mahu rumus langkah terbaik kawal penularan virus: PM

KUALA LUMPUR: Sembilan lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan di seluruh negara semalam, menjadikan angka korban wabak itu meningkat kepada 27 orang - satu keadaan yang disifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai semakin meruncing.

Berikutan itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Influenza Antara Kementerian yang dipengerusikan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini bagi merumuskan langkah terbaik untuk mengawal penularan virus itu.

"Kita boleh bertindak drastik seperti membatalkan semua perhimpunan awam, tetapi banyak keperluan yang kita harus ambil kira sebelum buat keputusan seumpamanya.

"Majlis seperti mesyuarat Umno bahagian atau perhimpunan utama membabitkan parti atau agensi kerajaan tidak boleh dihentikan sewenang-wenangnya.

"Justeru, saya nak dengar pandangan semua pihak sebelum buat keputusan, termasuk berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Muhyiddin sekembalinya dari Australia," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang di sini, semalam.

Di PERTH, Muhyiddin berkata, kerajaan bersedia melaksanakan pelan di luar jangkaan untuk menangani wabak H1N1, antaranya menunda tarikh peperiksaan utama - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Itu jika kita tidak dapat menangani keadaan yang kini semakin serius. Saya harap kita tidak sampai ke tahap itu," katanya dalam sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air, semalam.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke Perth, berkata buat masa ini sukar untuk membuat jangkaan apa yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sama ada penularan wabak H1N1 itu akan terus berleluasa atau situasi menjadi reda.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata ada juga pilihan lain iaitu pelajar yang dijangkiti atau menjadi suspek H1N1, boleh menduduki peperiksaan di hospital.

"Kita ada pelan kontigensi tetapi kita harap ia tidak perlu dilaksanakan kalau wabak ini boleh dikawal dan kes yang berlaku tidak menyeluruh ke semua sekolah seluruh negara kerana yang terbabit mungkin beberapa sekolah daripada 10,000 sekolah.

"Kita dah beritahu dulu, kalau di sekolah, yang utama sekali jadual peperiksaan itu masih kekal, tak tunda. Tetapi kalau perlu, kita akan cuba laksanakan pelan kontigensi untuk memastikan supaya peperiksaan itu masih boleh diteruskan, (dengan) apa cara sekali pun," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau akan berbincang lanjut dengan Ketua Pengarah Pelajaran mengenai langkah yang perlu diambil termasuk menunda tarikh peperiksaan jika perlu, tetapi berharap langkah drastik itu tidak berlaku.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak boleh mengenakan undang-undang untuk menyekat mereka yang tidak sihat daripada keluar berdasarkan keperluan kuarantin di rumah kerana ia akan dianggap mengongkong kebebasan.

Katanya, apa yang perlu ialah kesedaran mendalam dan semua orang perlu patuh kepada arahan serta nasihat seperti terkandung dalam 22 langkah yang diumumkan sebelum ini supaya wabak itu tidak terus menular.

Ditanya sama ada kerajaan sudah mengambil langkah secukupnya untuk mengawal wabak H1N1 daripada terus meragut nyawa, Muhyiddin berkata, semua pihak dan agensi perlu membantu Kementerian Kesihatan.

H1N1: 6 lagi kematian dilaporkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak enam lagi kes kematian akibat H1N1 dilaporkan sehingga jam 8 pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan 32 kematian di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kes kematian itu adalah antara 203 kes baru yang dilaporkan dan semuanya membabitkan jangkitan tempatan dan rakyat negara ini.

Katanya, daripada enam kematian itu, hanya satu berlaku semalam manakala manakala tiga kelmarin dan dua lagi Rabu lalu dengan empat daripada kes kematian itu membabitkan kumpulan berisiko.

"Bilangan keseluruhan jangkitan H1N1 di seluruh negara kini ialah 1,983 kes," katanya dalam kenyata media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, pada masa ini terdapat seramai 67 pesakit sedang dirawat di hospital dan seramai 15 lagi dirawat di ICU.

Katanya, daripada 15 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 6 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (3), obesiti (1), selepas bersalin (1) dan bayi (1).

Merujuk kepada situasi global, beliau berkata sehingga hari ini sejumlah 208,155 kes dengan 1,688 kematian dilaporkan di 174 negara.

"Ia adalah peningkatan sebanyak 1,066 kes dengan 100 kematian berbanding hari sebelumnya," katanya.