Followers

Sunday, August 9, 2009

Elak homoseksual, onani cegah H1N1

KUALA LUMPUR: Kegiatan homoseksual dan onani perlu dielakkan kerana ia adalah langkah pencegahan yang boleh diambil oleh seseorang bagi mengelakkan jangkitan Influenza A(H1N1), kata seorang pengamal terapi pelengkap Dr VM Palaniappan.

Katanya, apabila seseorang itu terbabit dalam kegiatan itu tubuh badan seseorang lelaki atau wanita akan menghasilkan geseran haba yang mengeluarkan asid menyebabkan peningkatan keasidan dalam tubuh dan oleh itu boleh menjadi sasaran yang mudah bagi jangkitan H1N1.

Bagaimanapun, hubungan kelamin yang normal antara pasangan berlainan jenis adalah selamat.

Dr Palaniappan yang juga bekas Profesor Madya Ekologi di Universiti Malaya telah mengarang beberapa buah buku dalam bidang terapi pelengkap yang diteroka beliau yang dipanggil sistem penyembuhan secara ekologi.

Dr Palaniappan memberitahu Bernama sepanjang 33 tahun kajiannya mendapati bahawa kadar keasidan yang tinggi di dalam tubuh menyebabkan daya tahan tubuh akan hilang menyebabkan semakin ramai orang mudah terdedah kepada jangkitan virus seperti Influenza A(H1N1).

Oleh itu, bagi mencegah keasidan itu adalah perlu untuk mengambil makanan dan minuman beralkali bagi meneutralkan lebihan asid di dalam badan.

Beliau mengesyorkan orang ramai mengambil minuman beralkali seperti air kelapa yang boleh digunakan sebagai ubatan herba bagi mencegah H1N1.

Sebagai contoh, beliau berkata mereka yang berasa demam dan mengalami rasa bahang semasa membuang air besar dan kecil kerana keasidan yang melampau boleh dineutralkan dengan meminum air kelapa selama dua kali sehari selama tiga hari.

Beliau juga mengesyorkan buah limau, lemon dan limau bali walaupun ia mengandungi asid sitrik tetapi masih kaya dengan potasium yang boleh menghasilkan urin beralkali yang dengan itu tidak menganggu ketahanan badan.

Dr Palaniappan berkata, kegiatan jasmani yang berlebihan seperti larian maraton perlu dielakkan kerana ia menghasilkan asid disebabkan kegiatan metabolik berlebihan.

Begitu juga dengan berjaga sehingga lewat malam tanpa tidur secukupnya dan bekerja tidak berhenti-henti tanpa rehat secukupnya boleh meningkatkan keasidan badan yang akan menurunkan ketahanan dan menyebabkan tubuh badan mudah terdedah kepada serangan virus.

Dr Palaniappan mempunyai laman blog di alamat http://ecohealingsystem.blogspot.com/ yang membincangkan terapi itu secara lebih mendalam. - Bernama

H1N1: 8 lagi kematian dilaporkan

KOTA KINABALU: Lapan lagi kematian akibat H1N1, termasuk dua di Sabah, dilaporkan di seluruh negara sehingga pagi ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata, bilangan kes kematian terbaru itu termasuk kes yang tidak dikesan sebelum ini.

'Selesai dulu status Yayasan'

'Selesai dulu status Yayasan'

KOTA KINABALU 8 Ogos - Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat perlu menyelesaikan isu berkenaan status Yayasan Amal Thean Hou Kudat dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung pembinaan patung Ma Tzu di Kudat.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, Kah Kiat berhak untuk terus mengemukakan rayuan selepas samannya terhadap beliau ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu lalu berhubung pembinaan patung itu.

''Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ia adalah kes mahkamah. Tetapi beliau punya hak mahu teruskan rayuan ke atas pembinaan patung Ma Tzu.

''Cuma, nasihat saya ialah beliau perlulah mengurus dan menyelesaikan yayasan itu kerana ia bukan persatuan yang sah," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan Kah Kiat yang dilaporkan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan di sini menolak saman berkenaan.

Terdahulu, Musa merasmikan pelancaran Bulan Kemerdekaan Sutera Harbour Resort 2009 di Sutera Harbour Marina Golf & Country Club di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang Eng Yin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim; Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Masrani Paiman dan menteri-menteri Kabinet negeri.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Rabu lalu menolak saman berkenaan yang diputuskan sebulat suara oleh Datuk Md. Raus Sharif, Datuk Abdul Hamid Embong dan Datuk Sulong Matjeraie.

Kah Kiat yang juga Penasihat Parti Liberal Demokratik (LDP) mengesahkan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan di sini yang mengenepikan saman beliau terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Menurutnya, beliau mempunyai alasan kukuh untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan dan yakin ia akan mendapat pembelaan.

Isu pembinaan patung Ma Tzu menjadi pertikaian hangat apabila Kah Kiat memfailkan saman terhadap Musa, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk K.Y Mustafa; bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ujang Sulani dan Majlis Perbandaran Kudat.

Tindakan saman itu diambil berhubung keputusan kerajaan negeri untuk menarik balik kebenaran yang diberikan kepada Yayasan Amal Thean Hou Kudat bagi membina patung tersebut

Solat hajat elak H1N1

IPOH 8 Ogos - Masyarakat Islam di 23 buah masjid di kawasan Parlimen Sungai Siput diminta mengadakan solat sunat hajat memohon supaya dijauhkan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) yang melanda negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan penularan wabak tersebut semakin membimbangkan orang ramai.

''Saya telah meminta imam-imam di semua masjid di sini supaya mengadakan solat sunat hajat mulai hari ini untuk memohon kepada Allah menjauhkan wabak itu.

''Penyakit H1N1 ini begitu serius kerana ia membahayakan nyawa penghidapnya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ahamad berkata, setakat ini beberapa buah masjid telah pun mengadakan solat sunat hajat tersebut manakala yang lain akan turut mengadakannya mengikut kesesuaian.

Sehingga semalam sebanyak 96 kes H1N1 dengan satu kematian dicatatkan di negeri ini sejak penularan wabak itu bermula 15 Mei lalu.