Followers

Sunday, August 9, 2009

Dua lagi kanak-kanak maut

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kematian dua kanak-kanak dan seorang pesakit lelah akibat dijangkiti selesema babi atau Influenza A (H1N1) semalam menjadikan jumlah mangsa wabak itu meningkat kepada 18 orang sehingga hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Kem Batu 10, Kuantan yang dikesan positif H1N1 meninggal dunia pukul 5.32 pagi semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Menurutnya, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti H1N1 dan encephalitis.

Sementara itu, tambahnya, seorang lagi kanak-kanak berusia empat tahun yang demam, selesema dan batuk selama seminggu meninggal dunia semalam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Kanak-kanak itu dimasukkan ke Hospital HSA pada 2 Ogos, disahkan positif H1N1 dua hari selepas itu dan seterusnya dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) 6 Ogos.

"Mangsa bagaimanapun meninggal dunia semalam akibat serangan pneumonia dan comorbid-hypothyrorism," katanya di sini selepas melancarkan Klinik HSC Jepun dan Karnival Kesihatan Jepun di sini hari ini.

Kata Tiong Lai, seorang pesakit lelah berusia 63 tahun meninggal dunia di Hospital Selayang 6 Ogos lalu setelah dikesan positif H1N1 dan menghidap batuk kering pada 4 Ogos.

"Mangsa tersebut yang dimasukkan ke ICU 2 Ogos lalu meninggal dunia akibat diserang pneumonia serius, batuk kering dan H1N1," jelasnya.

Tiong Lai turut memberitahu, 205,914 kes H1N1 dikesan di 174 negara di seluruh dunia dan daripada jumlah itu 1,568 mangsa meninggal dunia.

Beliau berkata, setakat hari ini 64 pesakit dirawat di hospital dan daripada jumlah itu 14 orang dimasukkan ke ICU manakala lima daripadanya dalam kumpulan berisiko tinggi; dua obes, dua bayi dan seorang wanita yang telah melahirkan anak.

Menurutnya, mulai hari ini kementerian hanya melaporkan bilangan pesakit di hospital, ICU dan yang dikuarantin setiap hari ekoran dijangkiti H1N1.

Jelasnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak memerlukan kementerian melaporkan jumlah kes setiap hari kerana ia tidak menggambarkan keadaan dan jumlah sebenar yang dijangkiti H1N1.

Penuntut UiTM mangsa kelima di Johor

MUAR 8 Ogos - Johor mencatatkan satu lagi kematian akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) apabila seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, meninggal dunia di Hospital Segamat, malam tadi.

Penuntut tahun akhir Ijazah Perakaunan itu, Siti Aisyah Koestiadi, 23, meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak 2 Ogos lalu.

Siti Aisyah merupakan korban kelima H1N1 di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Bintang di sini mengalami demam panas ketika dimasukkan ke hospital itu.

"Penuntut itu telah dimasukkan ke ICU pada hari yang sama ketika dia mendapatkan rawatan di hospital pada 2 Ogos lalu.

"Selain daripada jangkitan H1N1, mangsa disahkan meninggal dunia kerana mempunyai masalah obesiti dan pneumonia," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Allahyarham Siti Aisyah dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Bintang, Segamat.

Dalam pada itu, Dr. Robia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan H1N1 untuk mengawal wabak tersebut.

3j murid rugi jika teruskan PPSMI


MUHYIDDIN Yassin berbual dengan pelajar pada majlis dialog bersama NGO, masyarakat dan pelajar Malaysia di Pusat Pameran dan Konvensyen Perth, Australia, semalam. - BERNAMA


PERTH 8 Ogos - Dianggarkan tiga juta murid akan keciciran dalam penguasaan bahasa Inggeris jika dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dimansuhkan.

Ketika menjelaskan sebab kerajaan tidak meneruskan dasar itu kepada 1,000 pelajar Malaysia di sini malam tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemansuhan itu mengambil kira ketidakupayaan majoriti murid menguasai bahasa Inggeris semasa mengikuti dua subjek berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai kunjungannya ke sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan sebelum ini dengan melihat sendiri praktis pembelajaran PPSMI di sebuah kelas di situ.

''Apabila guru menyoal dalam bahasa Inggeris, pelajarnya tidak faham dan setelah ditanya apakah bahasa yang dia ingin ditanya, jawab pelajar itu adalah lebih mudah dalam bahasa Malaysia.

''Jadi, kalau pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda mereka untuk PPSMI, mengapa pula sekolah kebangsaan perlu menjawab dalam bahasa Inggeris," katanya.

Beliau yang dalam lawatan kerja lima hari ke Australia mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Pusat Pameran Konvensyen Perth (PCEC).

Menurut Muhyiddin, beliau menyedari keputusan memansuhkan PPSMI itu bukan tindakan popular.

''Namun, kita kena fikirkan masa depan 500,000 pelajar. Kalau dalam setahun, sebahagian tidak faham langsung, maka dalam tempoh enam tahun sahaja, jumlahnya mencapai tiga juta murid.

''Kalau hendak diteruskan juga, anda boleh bayangkan akan hasilnya dan ia tentu beri kesan buruk kepada Malaysia.

''Saya tahu ada pihak menyatakan keputusan ini (mansuhkan PPSMI) tidak popular sebab sebilangan kata mampu ikut tetapi (realitinya) sebahagian besar pelajar tidak mampu," katanya. - MINGGUAN

Patuh arahan cegah H1N1: Najib


GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota, Melaka membuat pemeriksaan suhu badan kepada pelajar sebelum memasuki kelas bagi memantau penularan H1N1, semalam.

PM nasihat rakyat tidak hadir perhimpunan terbuka elak risiko dijangkiti

KUALA LUMPUR: Wabak Influenza A (H1N1) kini menjadi ancaman serius kepada negara dan orang ramai dinasihat tidak menganjurkan atau menghadiri perhimpunan awam serta mengambil langkah pencegahan lebih menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kegiatan yang membabitkan perhimpunan awam wajar ditangguhkan sementara jika tidak penting kecuali jika keperluan yang mendesak.

"Jika ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kerana penyakit ini akan merebak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia (Kismas) di sini, semalam.

Najib mengulas peningkatan kematian akibat penularan penyakit itu yang kini mengorbankan 16 orang, manakala bilangan kes mencecah 1,525.

Perdana Menteri juga menasihatkan orang ramai melaksanakan langkah pencegahan lain seperti sentiasa membasuh tangan dan memakai topeng ketika berada atau hadir majlis terbuka.

"Dari segi kebersihan, kita hendaklah sentiasa mencuci tangan. Itu sebabnya sebelum saya masuk tadi (untuk persidangan akhbar), saya cuci tangan sebab saya bersalaman dengan ramai orang.

"Jika perlu memakai topeng di tempat terbuka, pakailah kerana tidak ada rugi memakainya," katanya.

Beliau juga menegaskan, Jawatankuasa Influenza Antara Kementerian yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memantau dan membuat keputusan sewajarnya bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu menghormati peringatan yang dititah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Beliau berkata, institusi Raja berpaksi kepada sokongan rakyat dan hubungan antara Raja dan rakyat amat penting seperti yang termaktub dalam sejarah Melayu.

"Ia pandangan Raja, maka kita perlu hormati pandangan itu. Yang penting masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan tertentu dalam sesebuah negara," katanya.

Kelmarin, Raja Dr Nazrin Shah mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat itu disampaikan ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.