Followers

Friday, August 7, 2009

Sabah & Sarawak: Gotong-royong di kawasan setinggan terap konsep 1Malaysia

KUNAK: Tapak cadangan penempatan kira-kira 400 keluarga setinggan di Kampung Kunak 3, di sini berjaya dibersihkan melalui program gotong-royong berkonsepkan 1Malaysia yang dijayakan kira-kira 1,000 penduduk semalam.

Program itu bertujuan membolehkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri menjalankan kerja mengukur keluasan kawasan berkenaan secara tepat sebelum menandakan lot tertentu untuk diagihkan kepada setinggan di Kampung Kunak 3 dan Kampung Sungai Atas.

Dengan berbekalkan iltizam untuk menikmati tempat tinggal yang lebih baik, keluarga setinggan terbabit mula membersihkan kawasan berkenaan sejak jam 8 pagi hingga kira-kira jam 5 petang.

Berucap sebelum memulakan program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Nilwan Kabang, berkata konsep 1Malaysia diterapkan dalam program berkenaan bertujuan menanam semangat kerjasama antara penduduk, sekali gus memperkukuh perpaduan.

"Program ini adalah perintis bagi mewujudkan kampung lebih tersusun, sejajar hasrat kerajaan untuk menghapuskan setinggan di negeri ini," katanya.

Akhbar ini pada 24 Julai lalu melaporkan kenyataan Nilwan, kawasan berkenaan dicadangkan sebagai penempatan baru untuk kira-kira 400 setinggan, masing-masing 200 dari Kampung Kunak 3 dan Kampung Sungai Atas.

H1N1: Bilangan kematian di Mexico meningkat 149

BANDARAYA MEXICO: Tiga kematian kematian baru akibat Influenza A (H1N1) di Mexico semalam, menjadikan keseluruhan 149 orang, ketika pemimpin Amerika Utara bersiap sedia untuk membincangkan wabak itu di Mexico, hujung minggu ini.

Kes jangkitan di negara itu juga meningkat kepada 17,581, selepas 300 kes baru dicatatkan semalam.

Kementerian Kesihatan Mexico kini mengenal pasti vaksin tertentu untuk menangani virus H1N1, selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mulai semalam menjalankan kempen besar-besaran terhadap keselamatan awam berikutan semakin merebaknya wabak itu.

Mexico kini mempinyai dua juta ubat Tamiflu untuk simpanan dan sudah membuat tempahan 20 juta lagi vaksin H1N1 itu bagi keperluan 100 juta penduduknya. - AFP

H1N1: Kanak-kanak 5 tahun korban ke-15

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun menjadi mangsa ke-15 yang meninggal dunia akibat selesema babi atau Inflenza A (H1N1) yang juga kes kematian kedua di Pahang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Hoh Khai Mun, berkata mangsa, Mohd Roshazly Roslin, anak seorang anggota tentera di Kem Batu 10, Jalan Gambang, di sini, disahkan meninggal dunia jam 5.22 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

H1N1 kini ancaman serius kepada negara: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menganggap penularan Influenza A (H1N1) sebagai ancaman serius kepada negara, sekali gus menasihatkan rakyat mengambil langkah penegahan menyeluruh.

Serentak itu, Perdana Menteri mahu rakyat mengelak daripada menghadiri atau mengadakan perhimpunan di tempat awam sekiranya tidak perlu.

"Tidak perlu adakan perhimpunan. Jika dirasakan tidak perlu, jangan buat perhimpunan sebagai langkah mencegah wabak ini menular," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia, hari ini.