Followers

Thursday, August 6, 2009

H1N1: 3 lagi kematian dilaporkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga hari ini, menjadikan keseluruhan 11 kematian dengan 1,476 kes dilaporkan di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ketiga-tiga kes kematian itu berlaku di Hospital Melaka.

Katanya, kes kematian kesembilan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka Jumaat lalu dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada jam 6.19 petang Ahad dan meninggal dunia pada jam 4.30 petang kelmarin dengan diagnosa jangkitan virus H1N1 dengan radang paru-paru teruk," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, kes kematian ke-10 pula membabitkan remaja lelaki berumur 12 tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan dialisis.

Katanya, pesakit dimasukkan ke Hospital Melaka kelmarin dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas sejak semenjak 1 Ogos 2009 dan disahkan positif H1N1 semalam.

"Pesakit meninggal dunia pada jam 2 petang kelmarin disebabkan jangkitan radang paru-paru teruk," katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-11 pula membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun dengan kronik asma yang dimasukkan ke Hospital Melaka pada Ahad lalu dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas sejak Jumaat lalu.

"Beliau terus dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan mengalami radang paru-paru teruk. Pesakit meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 2.30 pagi dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 4 Ogos 2009 jam 5.50 petang," katanya.

Kes H1N1 dijangka meningkat akibat jerebu

BANDAR SERI BEGAWAN: Kes Influenza A(H1N1) dijangka meningkat berikutan berlakunya lagi jerebu di Malaysia kecuali langkah pencegahan proaktif diambil bagi mengekang jangkitan tempatan, kata Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, jerebu membabitkan mereka yang mengalami penyakit berkaitan pernafasan seperti lelah, akan merumitkan lagi perkara itu kerana virus H1N1 menyerang terus sel paru-paru dan mengakibatkan radang paru serius serta kematian.

"Saya setuju bahawa jerebu berlaku lagi yang akan merumitkan lagi kes H1N1 yang mana ubat antiviral, Tamiflu, hanya berkesan dalam masa 48 jam pertama bermula," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan rundingan tahunan ke-13 antara Malaysia dan Brunei di sini.

Semasa mesyuarat itu yang bersetuju mengenai perlunya bekerjasama dalam menangani pandemik H1N1 global, Liow juga menemui rakan sejawatnya dari Brunei, Pehin Datuk Suyoi Osman, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai cara-cara mengekang merebaknya penyakit itu dalam komuniti.

Bilangan kes kematian akibat Influenza A(H1N1) di Malaysia meningkat kepada 12 orang hari ini, dengan empat kematian termasuk tiga kanak-kanak. - Bernama

H1N1: Kanak-kanak 6 tahun mati di Batu Pahat

BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia di Hospital Batu Pahat pagi tadi dan disahkan sebagai mangsa H1N1 kedua di Johor.

Ia adalah kes kematian ke-12 yang disahkan setakat ini di negara ini.

Pagi tadi, Kementerian Kesihatan mengumumkan tiga lagi kematian berkaitan H1N1, semuanya di Melaka.

Angka korban selesema babi terus meningkat

KUALA LUMPUR: Empat lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, menjadikan jumlah korban keseluruhan virus itu meningkat kepada 13 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kematian ke-10 membabitkan budak lelaki berumur 12 tahun di Hospital Melaka pada Isnin lalu dan yang ke-11, seorang lelaki berumur 20 tahun di hospital sama pada Ahad lalu.

Dalam kenyataannya semalam, beliau berkata, kes ke-12 pula membabitkan seorang budak lelaki berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Batu Pahat pada jam 2.30 pagi semalam.

Mangsa ke-13 yang juga korban pertama H1N1 di Pahang adalah kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada jam 12.40 tengah hari semalam.