Followers

Tuesday, August 4, 2009

Sabah&Sarawak: Sidang DUN Sabah: Jawatankuasa tangani kes virus Influenza A ditubuh

Beberapa langkah diambil elak wabak menular

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil beberapa langkah bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai penularan virus Influenza A (H1N1) dan kaedah menangani wabak itu, sejajar dengan perkembangan 273 kes dilaporkan di negeri itu setakat kelmarin.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa bagi menangani kes itu yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata jawatankuasa itu akan memantau dan melaporkan perkembangan H1N1 kepada Kabinet negeri dari semasa ke semasa.

"Ketika ini, langkah proaktif yang dilaksanakan ialah mengedar poster dan risalah kepada masyarakat serta melaksanakan pendekatan memberi penerangan berhubung virus H1N1 dengan kerjasama agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Maklumat turut disampaikan menerusi media dan sehingga semalam (kelmarin), sebanyak 273 kes positif H1N1 dilaporkan di Sabah, merangkumi 156 lelaki dan 117 wanita.

"Bilangan kes tertinggi ialah di bandar raya ini iaitu 164 kes, diikuti Tawau dan Lahad Datu dengan masing-masing merekodkan 37 dan 13 kes, Penampang (12) dan Sandakan (11).

Papar mencatat enam kes manakala Kudat dan Keningau masing-masing empat kes, Tenom (dua) dan Tuaran (1),” katanya menjawab soalan Datuk Rubin Balang (BN-Kemabong), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (BN-Membakut) dan Sarapin Magana (BN-Matunggong) berhubung penularan H1N1 di Sabah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Musa berkata, saringan kesihatan masih dijalankan di semua pintu masuk ketibaan pelancong yang berkunjung ke Sabah sebagai langkah berjaga-jaga.

Mengenai kesannya ke atas sektor pelancongan negeri, beliau berkata, H1N1 tidak menjejaskan kedatangan pengunjung ke Sabah kerana penurunan ketibaan pelancong hanya sekitar satu peratus bagi tempoh Januari hingga Mei, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Penularan H1N1 memang memberi cabaran bukan saja terhadap industri pelancongan Sabah, malah industri pelancongan di peringkat global.

"Sehingga kini, belum ada laporan diterima membabitkan pembatalan pelancong secara besar-besaran ke Sabah," katanya.

Peperiksaan ikut jadual: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan mengikut jadual walaupun terdapat ancaman penyakit Influenza A (H1N1) manakala cadangan untuk mempercepatkan cuti sekolah pertengahan tahun, yang sepatutnya bermula Ogos 22 ini, belum ditentukan.

Ini diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik Influenza A (H1N1), yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

"Semua peperiksaan akan berjalan mengikut jadual. Kalau ada kes-kes tertentu maka pelajar itu akan diasingkan. Jika sekolah itu diberi cuti, mereka yang mengambil peperiksaan perlu balik ke sekolah untuk mengambil peperiksaan mereka.

"Bagi pelajar yang dirawat di hospital, mereka boleh mengambil peperiksaan itu di hospital jika dibenarkan oleh doktor," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.

Katanya Kementerian Kesihatan telah diminta meningkatkan simpanan antiviral daripada 10 peratus kepada 20 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

"Kini kita ada 10 peratus antiviral yang bernilai RM20 juta dan kini kita perlu mendapatkan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi untuk meningkatkan antiviral ini kepada 20 peratus. Permohonan peruntukan akan diminta dari Kementerian Kewangan," katanya.

Muhyiddin juga berkata ujian Influenza A (H1N1) kepada semua jangkitan ''influenza-like-illness'' (ILI) tidak akan dijalankan lagi memandangkan buat masa ini 95 peratus jangkitan ILI ini disebabkan oleh H1N1.

"Mereka yang tergolong dalam kategori ILI akan terus diberi rawatan antiviral. Ujian pengesahan jangkitan Influenza A (H1N1) hanya perlu bagi kes-kes yang dirawat di hospital. Ujian ''rapid test'' Influenza A (H1N1) adalah juga tidak digalakkan," kata Timbalan Perdana Menteri.

Katanya semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza A (H1N1) serta mempunyai faktor risiko iaitu mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetik dan imuniti rendah, akan diberi rawatan antiviral serta merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan penyakit itu.

Katanya semua kerajaan negeri telah diminta untuk mengaktifkan aktiviti pencegahan dan kawalan dan ini termasuk mengaktifkan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Mengenai Pandemik H1N1 2009 di peringkat negeri dan daerah untuk membolehkan semua aktiviti kesedaran dilaksanakan dengan lebih berkesan di pelbagai peringkat atau agensi.

Majlis Keselamatan Negara pula akan mengeluarkan garis panduan mengenai penutupan sekolah atau institusi akibat penularan jangkitan penyakit itu.

"Kementerian Pelajaran juga diminta membuat saringan suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas dimulakan. Sekiranya pelajar didapati kurang sihat mereka ini perlu diasing dan dinasihatkan berehat di rumah serta mematuhi arahan kesihatan," katanya.

Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas kempen media yang akan dianggotai oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Jawatankuasa ini adalah untuk merancang dan memastikan kempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit H1N1 dilaksanakan dengan berkesan.

Ketika ditanya mengenai ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa 5,000 hingga 28,000 orang akan mati akibat penyakit itu di Malaysia, Muhyiddin berkata itu adalah sekadar ramalan.

"Kita amb il kira ramalan WHO ini. Kita perlu mengawal keadaan dan kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan tetapi kita mahu kerjasama rakyat bagi mengelak jangkitan," katanya. - Bernama

H1N1: Tiada kematian, 14 kes baru dikesan

PUTRAJAYA: Walaupun tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam sejak 8 pagi semalam akibat penyakit Influenza A (H1N1), sebanyak 14 kes baru dikesan dalam tempoh berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Daripada 14 kes yang dilaporkan itu, 13 adalah kejadian daripada tiga kluster baru dan satu kes sporadik atau terpencil.

"Jumlah kes terkumpul kes Influenza A (H1N1) di Malaysia setakat 8 pagi hari ini ialah 1,460 kes dengan jumlah kematian lapan orang. Daripada 1,460 kes itu, 574 atau 39.4 peratus adalah kes import dan 886 kes jangkitan tempatan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, 1,410 kes telah sembuh dan hanya 27 kes sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dengan 10 daripada kes itu berada di unit rawatan rapi manakala 23 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah.

Beliau juga berkata daripada 10 kes yang berada di unit rawatan rapi, tiga mempunyai faktor risiko yang tinggi iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (1).

Bagi 14 kes yang dikesan dalam masa 24 jam yang lalu, satu kes dirawat di unit rawatan rapi dan 13 orang menerima rawatan pesakit luar, katanya. - Bernama

Monday, August 3, 2009

10,000 dikuarantin di timur laut China

BEIJING: Beribu-ribu penduduk diletakkan dalam kuarantin di sebuah bandar di timur laut China selepas seorang lelaki mati akibat jangkitan paru-paru manakala 11 yang lain disahkan dijangkiti penyakit yang membawa maut itu.

Lelaki terbabit berusia 32 tahun di Ziketan dari wilayah Qinghai, kata biro kesihatan wilayah dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman webnya kelmarin. Ia tidak menyebut bila lelaki terbabit meninggal dunia.

Kebanyakan mereka yang dijangkiti adalah saudara kepada mangsa terbabit dan dilaporkan dalam keadaan stabil di sebuah hospital, kata biro terbabit.

Bandar berkenaan yang mempunyai 10,000 penduduk diletakkan di bawah kuarantin dan sepasukan pakar dihantar ke sana, katanya.

Jangkitan paru-paru merebak melalui air dan boleh dijangkiti dari seorang kepada seseorang lain melalui batuk, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ia disebabkan bakteria sama yang menyebabkan jangkitan bubonik, wabak maut yang membunuh sekurang-kurangnya 25 juta penduduk di Eropah pada 1340-an.

Bubonik masih boleh dirawat dengan antibiotik jika dapat dikesan awal manakala jangkitan paru-paru adalah penyakit yang membawa maut berbahaya. Berdasarkan WHO, manusia boleh maut dalam tempoh 24 jam selepas dijangkiti penyakit berkenaan.

Kenyataan biro kesihatan Qinghai memberi amaran kepada mereka yang pernah melawat Ziketan dan kawasan sekitar sejak 16 Julai serta mempunyai tanda-tanda demam atau batuk supaya mendapatkan rawatan di hospital. � AP