Followers

Saturday, August 1, 2009

Sabah & Sarawak: Bukit Ruhiang tumpuan peminat sukan luncur udara

TAMPARULI: Persekitaran Bukit Ruhiang di sini, bakal menjadi tumpuan peminat sukan luncur udara dunia tidak lama lagi berikutan usaha menjadikan puncak bukit itu sebagai lokasi utama aktiviti berkenaan.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Jahid Jahim, berkata jika usaha membawa produk pelancongan baru itu berjaya dilaksanakan, nama Tamparuli akan menjadi sebutan di seluruh dunia bagi acara sukan luncur udara, sekali gus menarik kunjungan lebih ramai pelawat.

"Kita sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa peluncur udara profesional dari Korea Selatan yang berminat membangunkan sukan mencabar itu di Tamparuli.

"Justeru, saya mencadangkan puncak Bukit Ruhiang sebagai lokasinya kerana ia dilihat sesuai," katanya berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian Tamparuli ke-24, di Dewan Giat Belia Tamparuli, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli turut menyertai peluncur profesional Korea Selatan, Kim Dong Sol, yang melakukan penerjunan percubaan dari puncak Bukit Ruhiang, minggu lalu.

Jahid dan Kim mengelilingi pekan Tamparuli melihat panorama indah daerah itu dari ketinggian 268 meter selama kira-kira 20 minit, sebelum mendarat di kawasan lapang berhampiran tapak Tamu Tamparuli.

Katanya, lebih 300 peluncur udara dari Korea Selatan berminat membangunkan Tamparuli sebagai lokasi kegiatan sukan itu di Sabah.

Beliau berkata, ketiadaan tempat penginapan bagi menampung kehadiran pelancong asing boleh ditangani menerusi pewujudan inap desa.

"Sukan luncur udara itu mampu membawa pendapatan baru kepada penduduk di daerah dengan menyewakan bilik di rumah mereka secara konsep inap desa kepada pelancong.

"Inap desa mampu menjana ekonomi penduduk setempat jika diusahakan secara bersungguh-sungguh, selain memudahkan pengguna yang memerlukan kemudahan itu," katanya.

Utara: 45 sah dijangkiti virus H1N1 di Perak

IPOH: Seramai 45 orang disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1) daripada sejumlah 2,589 yang diperiksa selepas mengalami demam selesema ringan (Influenza Light Illness) di negeri ini, setakat ini.

Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata mereka disahkan positif H1N1 selepas menjalani ujian saringan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Selain itu, katanya, sembilan institusi masing-masing tiga institusi pengajian tinggi, sekolah (tiga), dua Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebuah pusat latihan tentera sudah diarahkan ditutup buat sementara.

"Semua institusi diarah tutup selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan wabak itu daripada merebak ke tempat lain," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, kelmarin.

Institusi yang diarahkan tutup sementara iaitu Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Jiwa Murni Kerian; Kem PLKN Tangkas Kendiri, Sauk; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah, Sungai Siput; SMK Grik, Hulu Perak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar.

Kolej Profesional Mara (KPM), Sri Iskandar; Pusat Latihan KD Sri Pelanduk, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut; SMK Agama Bidor dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Dr Mah berkata, selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Trosor, Sungai Siput dan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh berkemungkinan akan ditutup dalam masa terdekat memandangkan ada di antara pelajarnya sudah menunjukkan simptom ILI.

"Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai yang mengalami simptom berkenaan disarankan untuk berjumpa segera dengan doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut.

"Bagi sesiapa yang sebelum ini mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan pneumonia supaya mengambil perhatian serius untuk mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku berkaitan penyakit itu," katanya.

Berikutan itu, Dr Mah berkata cuti kakitangan JKN akan dibekukan sehingga virus Influenza (H1N1) dapat dikawal.

Selatan: Enam IPT, PLKN ditutup kes H1N1

MERSING: Enam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sebuah Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini ditutup bermula kelmarin, selama seminggu selepas beberapa pelajar, penuntut dan kakitangannya positif serta ada simptom Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata IPT yang ditutup membabitkan Institut Kemahiran Mara (IKM) Larkin (Johor Bahru); Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing (Mersing); ILP Ledang (Muar); ILP Pasir Gudang (Johor Bahru), Kolej Radiography (Johor Bahru) dan Politeknik Johor Bahru di Pasir Gudang.

Beliau berkata, PLKN yang ditutup pula adalah di Kem Sekakap, Mersing.

"Semua IPT dan dan PLKN ditutup selama seminggu sehingga 4 Ogos ini sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan penyakit itu.

"Notis mengenai penutupan sudah ditampal dan diedarkan, dengan ada antara pelatih institut yang dikuarantin berasingan, sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi menjalani kuarantin rumah dan pada masa sama bagi mereka yang dikesan demam, turut diberikan ubat,” katanya.

Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru pula ditutup Jumaat lalu hingga hari ini, selepas lima pelajarnya positif H1N1, manakala Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri) ditutup mulai Sabtu lalu hingga hari ini, apabila lima kakitangan dan pesertanya dijangkiti virus itu.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru di Taman Johor Jaya, di sini, yang tiga pelajarnya disahkan mengidap penyakit itu, turut ditutup bermula kelmarin hingga Isnin ini.

Tamiflu cegah H1N1 ada kesan sampingan

LONDON: Lebih separuh kanak-kanak yang mengambil Tamiflu bagi mencegah selesema babi mengalami kesan sampingan termasuk loya, sukar tidur dan mimpi ngeri, dakwa penyelidik.

Ubat anti-viral yang diedarkan kepada ratusan ribu penduduk dunia itu, turut menyebabkan sakit perut, muntah dan cirit-birit.

Kajian mendapati hampir seorang bagi setiap lima orang muda mengalami kesan sampingan psikiatri saraf seperti kurang tumpuan, keliru dan masalah tidur.

Beribu murid sekolah diberi ubat itu sebagai pencegahan peringkat awal selesema babi di Britain.

Hanya mereka yang disyaki atau disahkan menghidap selesema babi diberi Tamiflu dan kira-kira 150,000 pek diedarkan oleh Perkhidmatan Pandemik Flu Nasional Britain minggu lalu.

Dua kajian pakar di Agensi Perlindungan Kesihatan (HPA) menunjukkan ‘kadar tinggi’ terhadap kanak-kanak di Britain menghadapi masalah selepas mengambil Tamiflu.

Data itu dikumpul daripada murid di tiga sekolah di London dan satu di barat daya England yang diberi Tamiflu awal tahun ini selepas rakan mereka dijangkiti.

Kajian terhadap 248 murid berusia 11 dan 12 tahun di sekolah barat daya England yang ditutup selepas muridnya dijangkiti virus itu, mendapati lebih separuh mengalami kesan sampingan Tamiflu.

Laporan itu berkata, 51 peratus mengalami tanda seperti tidak sihat (31.2 peratus), sakit kepala (24.3 peratus) dan sakit perut (21.1 peratus).

“Walaupun sesetengah kanak-kanak sakit akibat tanda seperti selesema, mereka yang diuji tidak dijangkiti virus Influenza A (H1N1),” kata penyelidik.

Menurut penyelidik, kesan sampingan mungkin perkara biasa, tetapi ia perlu dipertimbangkan apabila memberi Tamiflu kepada kanak-kanak bagi tujuan pencegahan. - Agensi