Followers

Friday, July 17, 2009

Sabah&Sarawak: SESB gesa PBT bendung kegiatan sambung elektrik haram

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) segera mengatasi masalah setinggan di kawasan masing-masing bagi membendung kegiatan penyambungan elektrik haram yang dilakukan penduduk.


Pengurus Kanan Komunikasi Korporat SESB, Chenderamata Sinteh, berkata SESB sukar membasmi gejala itu bersendirian kerana penduduk kawasan setinggan membuat penyambungan semula selepas pihaknya menjalankan operasi pemotongan.

Katanya, mereka tidak pernah serik melakukan kegiatan itu bagi mendapatkan bekalan tenaga percuma walaupun berdepan risiko terkena renjatan elektrik kerana membuat penyambungan tidak mematuhi piawaian SESB.

"Kami tidak dapat mengatasi masalah ini tanpa kerjasama PBT. Jika setinggan dihapuskan, kami yakin tiada lagi kegiatan penyambungan elektrik secara haram.

"Bagaimanapun, SESB tidak akan berputus asa, malah kami akan meningkatkan operasi pemotongan di semua kawasan setinggan yang dikenal pasti di seluruh negeri," katanya kepada media, di sini semalam.

SESB melaksanakan operasi berkenaan di sekitar bandar raya ini sejak Isnin lalu.

Katanya, SESB mendapati kegiatan penyambungan elektrik secara haram berjaya diatasi di beberapa kawasan setinggan yang sudah dirobohkan PBT seperti di Likas, dekat sini.

"Jika SESB dibenarkan membekalkan elektrik kepada penduduk setinggan, kegiatan penyambungan haram tidak berlaku tetapi kami tidak dapat berbuat demikian kerana undang-undang PBT.

"PBT perlu melaksanakan tanggungjawab menghapuskan kawasan setinggan supaya kegiatan penyambungan elektrik secara haram dapat diatasi," katanya.

H1N1: WHO akui penularan pandemik terlalu pantas

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengakui penularan selesema babi H1N1 terlalu pantas berbanding pandemik lain dan terlalu sukar untuk mengira setiap kes.

Badan dunia itu yang mengisytiharkan Influenza A H1N1 sebagai pandemik pada 11 Jun lalu, semalam mengkaji semula garis panduan bagi membolehkan pengiraan atau laporan dilakukan hanya terhadap kes kematian atau kes klinikal yang berlainan.

"Pandemik H1N1 ini sudah merebak ke peringkat antarabangsa dengan kepantasan yang tidak dijangka.

"Berbanding pandemik selesema sebelum ini, ia mengambil masa enam bulan untuk menular tetapi H1N1 merebak kurang daripada enam minggu," kata WHO dalam satu kenyataan.

Ketika ini agak mustahil kepada pihak berkuasa kesihatan untuk mengira dan menguji kaji setiap kes baru dijangkiti apabila ia meningkat ketara dan pantas.

Pakar selesema memberitahu, sekurang-kurangnya sejuta penduduk di Amerika Syarikat dijangkiti selesema babi dan WHO menjangkakan pandemik itu sukar dihentikan.

"Ia agak dipersetujui pada awalnya untuk mendaftar dan merekod setiap kes dijangkiti tetapi dalam keadaan sumber yang serba kekurangan dengan tahap penularannya semakin pantas," kata jurucakap WHO, Gregory Hartl.

Di Britain, 29 maut setakat ini selepas dijangkiti virus selesema babi.

Menteri Kesihatan, Andy Burnham berkata kerajaan menganggarkan lebih 100,000 kes baru dijangkiti setiap hari menjelang penghujung Ogos ini.

WHO tidak lagi mengeluarkan graf jumlah kes dijangkiti di seluruh dunia yang kini mencecah 94,512 kes dengan 429 kematian sejak 6 Julai lalu. - Reuters

Lapan pelajar di Limbang positif H1N1, dua sekolah ditutup

KUCHING: Lapan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Kerajaan (SMAK) Limbang, dilaporkan positif Influenza A (H1N1) sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes di negeri ini meningkat kepada 45 setakat ini, iaitu 23 kes import dan 22 jangkitan tempatan.

Bilik Gerakan Negeri dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan 10 lagi pelajar dari SMK Sains Kuching di Jalan Matang di sini juga kini masih menunggu keputusan ujian kesihatan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur yang dijangka diketahui esok.

Kenyataan tersebut menjelaskan berikutan kes terbaru itu dua sekolah terbabit kini diarah tutup bermula hari ini sehingga 23 Julai dan dijangka akan dibuka semula pada 24 Julai.

Statistik Jabatan Perubatan Sarawak menunjukkan bahawa 17 daripada jumlah kes yang dilaporkan setakat ini ialah dari Miri (termasuk tujuh kes import dan 10 jangkitan tempatan), 16 kes dilaporkan di Kuching (12 import dan empat jangkitan tempatan), sembilan kes dari Limbang (satu import dan lapan jangkitan tempatan), dua kes import di Bintulu dan satu kes import di Sibu.

Setakat ini, sebanyak 835 kes dilaporkan seluruh negara membabitkan 562 kes import dan 273 jangkitan tempatan. - Bernama

H1N1: 6,000 rakyat Australia berdepan maut


SEORANG budak lelaki menunjukkan isyarat di samping anggota keluarganya yang memakai penutup mulut dan hidung di Bogota kelmarin, selepas pihak berkuasa Colombia mengumumkan 10 kes baru selesema babi, menjadikannya 185 setakat ini.

Negara paling teruk dilanda selesema babi di Asia-Pasifik

SYDNEY: Pihak berkuasa kesihatan menganggarkan sehingga 6,000 rakyat Australia boleh mati sekiranya selesema babi mencapai tahap 'paling teruk' dalam musim sejuk di Hemisfera Selatan, kata menteri kesihatannya, Nicola Roxon semalam.

Serentak dengan itu, Hong Kong melaporkan kematian pertama dan New Zealand kematian ke-10 semalam.

Menurut Roxon, angka kematian berkenaan boleh meningkat tinggi jika tiada tindakan diambil bagi membendung penularan virus itu, seperti menggunakan antiviral dan vaksin, yang diharap dapat digunakan menjelang Oktober.

Secara purata terdapat kira-kira 2,000 hingga 3,000 kematian di Australia yang berpunca daripada beberapa jenis selesema pada setiap musim penyakit itu, kata jabatan kesihatan.

Australia adalah negara paling teruk dilanda selesema babi di Asia-Pasifik, dengan 24 kes kematian berkaitan selesema babi dan 11,194 kes virus berkenaan yang disahkan.

Hong Kong melaporkan kematian pertama yang disyaki selesema babi semalam di samping 85 jangkitan tambahan.

Mangsa yang meninggal dunia itu adalah seorang anak kapal keturunan Filipina dan berusia 42 tahun yang diuji positif virus H1N1 selepas kematiannya.

New Zealand mengesahkan kematian ke-10 daripada 2,107 kes.

Sementara itu, di Geneva, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata selesema babi yang dihadapi lebih 140 negara dijangka menjadi wabak pandemik terbesar dalam sejarah, kata Ketua Pengarahnya Margaret Chan semalam.

"Dari segi bilangan negara yang mencatat jangkitan dan bilangan orang yang dijangkiti, virus ini adalah yang paling besar," kata Chan dalam wawancara dengan akhbar The Guardian.

Ditanya sama ada kesan H1N1 lebih buruk daripada pandemik 1918, beliau berkata: "Jika anda membincangkan soal kematian kerananya, saya tidak mahu membuat ramalan. - AP/Agensi