Followers

Friday, July 10, 2009

Sabah&Sarawak: Sabah masih kekurangan usahawan sektor pertanian


YAHYA (kiri) menyampaikan Anugerah Usahawan Tani kepada Philip Voo dari Tenom sambil diperhatikan Idrus pada majlis pengiktirafan pengusaha cemerlang di Kota Kinabalu.

Ramai tak sedar potensi produk tani maju ekonomi negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kecewa apabila mendapati sebilangan besar rakyat negeri itu tidak menyedari potensi bidang pertanian sebagai sektor ekonomi yang dapat menyediakan pekerjaan bergaji lumayan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata majoriti rakyat Sabah masih berharap untuk bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana beranggapan ia adalah langkah terbaik yang dapat menjamin masa depan mereka.

Katanya, tanggapan itu menyebabkan sektor pertanian kekurangan usahawan membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran produk pertanian bagi memenuhi peningkatan permintaan.

"Rakyat tidak sepatutnya bergantung kepada kerja makan gaji dengan kerajaan kerana pekerjaan yang disediakan terhad manakala pengambilan kakitangan tidak boleh dibuat sesuka hati berikutan faktor kos.

"Justeru, adalah lebih baik rakyat menjadi usahawan tani dengan mengamalkan kaedah pertanian moden yang dapat melipatgandakan pengeluaran dan kualiti produk pertanian bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Pendapatan sebagai usahawan tani adalah lebih lumayan kerana tiada had gaji ditetapkan berbanding pendapatan kakitangan kerajaan yang mempunyai tangga gaji," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Pengusaha Cemerlang dan Seminar Usahawan Tani anjuran Jabatan Pertanian negeri di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 86 petani menerima anugerah petani contoh, pengusaha cemerlang dan usahawan tani, manakala 35 usahawan tani menerima bantuan berjumlah RM400,000 untuk mengusahakan projek pertanian.

Hadir sama pemangku Pengarah Pertanian negeri, Idrus Shafie dan timbalan pengarah, Hanafiah Arsad, Yong Lee Ming serta Abdul Aziz Abdul Latiff.

Yahya berkata, rakyat perlu menyahut saranan kerajaan yang mahu menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan menguntungkan.

"Bidang pertanian terbukti memberi keuntungan lumayan jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Sesiapa pun boleh melakukannya dan berpeluang untuk berjaya.

Sabah&Sarawak: Pengguna Jalan Tun Fuad Stephens tak boleh naik bas

KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengkaji semula laluan bas di sini yang ditetapkan sejak pelaksanaan bas bandar raya awal bulan lalu.

Presidennya, Lokman Sunggim, berkata ia perlu bagi mengatasi masalah ketiadaan perkhidmatan bas di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, bermula dari bulatan Masjid Bandaraya di Likas hingga ke kawasan pelabuhan Kota Kinabalu di Tanjung Lipat.

Katanya, peraturan baru itu melarang pengusaha bas menggunakan laluan terbabit sekali gus menimbulkan kesukaran kepada orang ramai yang tiada kenderaan sendiri, terutama yang bekerja atau mempunyai urusan di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan pelan laluan bas yang ditetapkan sejak 1 Jun lalu, semua bas dari kawasan utara ibu negeri hanya dibenarkan menggunakan Jalan Tuaran untuk memasuki bandar raya dan berhenti di terminal Wawasan Plaza.

"Berikutan peraturan itu, bas dari kawasan Sepanggar dan Likas yang sebelum ini melalui Jalan Tun Fuad Stephens untuk memasuki pusat bandar raya tidak dapat mengambil penumpang di kawasan berkenaan.

"LPKP dan DBKK perlu peka dengan keadaan ini kerana ramai pengguna bas yang bekerja atau ada urusan di pelabuhan, Wisma Perindustrian dan Likas Square merungut sukar mendapat kenderaan untuk ke situ," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Sabah&Sarawak: Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaik taraf

SANDAKAN: Selepas beroperasi sejak lebih dua dekad lalu, Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaik taraf dan akan mempunyai penerbangan terus dari Kalimantan, China serta Filipina.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol, berkata langkah itu adalah antara alternatif menarik orang ramai terutama pelancong asing berkunjung ke daerah berkenaan.

Katanya, penurunan kedatangan penumpang kira-kira tiga peratus tahun lalu yang tiba melalui lapangan terbang itu membuktikan sudah tiba masanya ia dinaik taraf.

"Kegawatan ekonomi global semasa memberi impak kepada industri pelancongan, oleh itu kita mesti mencari jalan proaktif untuk memperbaiki keadaan," katanya ketika merasmikan sambutan di lapangan terbang sempena sambutan Festival Sandakan 2009.

Hadir sama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, James Wong, dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Sandakan, Awang Mali Awang Anak.

Juslie berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu gigih mempromosi budaya menerusi projek inap desa kerana banyak kawasan didapati belum dimajukan.

"PBT perlu menyelaraskan semula kampung terbabit untuk dijadikan inap desa supaya industri pelancongan dapat menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Mansuh PPSMI bukan keputusan terburu-buru: Muhyiddin

KAMPAR: Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 bukan satu pelaksanaan yang terburu-buru dan gopoh, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan pemansuhan PPSMI pada 2012 itu dibuat setelah menimbang faktor yang penting untuk meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris di mana segala persiapan yang sempurna dapat disediakan dalam tempoh dua setengah tahun.

Ini, katanya termasuk kelengkapan yang cukup, bahan yang digunakan, makmal bahasa yang baik serta guru-guru yang mahir.

"Kita telah mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna.

"Tidak boleh tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini. Saya faham pejuang-pejuang bahasa ini kalau boleh esok mahu mulakan. Tetapi kita perlu realistik dan sebab itu kita menganjurkan tempoh itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Festival Minda Malaysia kelima anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia Mental Literacy Movement dan Kolej TAR di sini hari ini.

Muhyiddin berkata dua setengah tahun sebelum PPSMI dimansuhkan adalah jangka masa yang mencukupi untuk melaksanakan segala persiapan dengan sempurna, sambil menambah kerajaan tidak mahu mengulangi masalah yang sama ketika melaksanakan PPSMI sebelum ini. - Bernama