Followers

Friday, July 10, 2009

Sabah&Sarawak: Pengguna Jalan Tun Fuad Stephens tak boleh naik bas

KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengkaji semula laluan bas di sini yang ditetapkan sejak pelaksanaan bas bandar raya awal bulan lalu.

Presidennya, Lokman Sunggim, berkata ia perlu bagi mengatasi masalah ketiadaan perkhidmatan bas di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, bermula dari bulatan Masjid Bandaraya di Likas hingga ke kawasan pelabuhan Kota Kinabalu di Tanjung Lipat.

Katanya, peraturan baru itu melarang pengusaha bas menggunakan laluan terbabit sekali gus menimbulkan kesukaran kepada orang ramai yang tiada kenderaan sendiri, terutama yang bekerja atau mempunyai urusan di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan pelan laluan bas yang ditetapkan sejak 1 Jun lalu, semua bas dari kawasan utara ibu negeri hanya dibenarkan menggunakan Jalan Tuaran untuk memasuki bandar raya dan berhenti di terminal Wawasan Plaza.

"Berikutan peraturan itu, bas dari kawasan Sepanggar dan Likas yang sebelum ini melalui Jalan Tun Fuad Stephens untuk memasuki pusat bandar raya tidak dapat mengambil penumpang di kawasan berkenaan.

"LPKP dan DBKK perlu peka dengan keadaan ini kerana ramai pengguna bas yang bekerja atau ada urusan di pelabuhan, Wisma Perindustrian dan Likas Square merungut sukar mendapat kenderaan untuk ke situ," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Sabah&Sarawak: Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaik taraf

SANDAKAN: Selepas beroperasi sejak lebih dua dekad lalu, Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaik taraf dan akan mempunyai penerbangan terus dari Kalimantan, China serta Filipina.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol, berkata langkah itu adalah antara alternatif menarik orang ramai terutama pelancong asing berkunjung ke daerah berkenaan.

Katanya, penurunan kedatangan penumpang kira-kira tiga peratus tahun lalu yang tiba melalui lapangan terbang itu membuktikan sudah tiba masanya ia dinaik taraf.

"Kegawatan ekonomi global semasa memberi impak kepada industri pelancongan, oleh itu kita mesti mencari jalan proaktif untuk memperbaiki keadaan," katanya ketika merasmikan sambutan di lapangan terbang sempena sambutan Festival Sandakan 2009.

Hadir sama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, James Wong, dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Sandakan, Awang Mali Awang Anak.

Juslie berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu gigih mempromosi budaya menerusi projek inap desa kerana banyak kawasan didapati belum dimajukan.

"PBT perlu menyelaraskan semula kampung terbabit untuk dijadikan inap desa supaya industri pelancongan dapat menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Mansuh PPSMI bukan keputusan terburu-buru: Muhyiddin

KAMPAR: Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 bukan satu pelaksanaan yang terburu-buru dan gopoh, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan pemansuhan PPSMI pada 2012 itu dibuat setelah menimbang faktor yang penting untuk meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris di mana segala persiapan yang sempurna dapat disediakan dalam tempoh dua setengah tahun.

Ini, katanya termasuk kelengkapan yang cukup, bahan yang digunakan, makmal bahasa yang baik serta guru-guru yang mahir.

"Kita telah mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna.

"Tidak boleh tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini. Saya faham pejuang-pejuang bahasa ini kalau boleh esok mahu mulakan. Tetapi kita perlu realistik dan sebab itu kita menganjurkan tempoh itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Festival Minda Malaysia kelima anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia Mental Literacy Movement dan Kolej TAR di sini hari ini.

Muhyiddin berkata dua setengah tahun sebelum PPSMI dimansuhkan adalah jangka masa yang mencukupi untuk melaksanakan segala persiapan dengan sempurna, sambil menambah kerajaan tidak mahu mengulangi masalah yang sama ketika melaksanakan PPSMI sebelum ini. - Bernama

Thursday, July 9, 2009

Sabah&Sarawak: Masalah debu, lumpur di Keningau diatasi September

KENINGAU: Masalah debu dan lumpur di laluan empat kilometer (km) yang dihadapi penduduk Kampung Pasir Puteh, Kampung Keningau dan tiga taman perumahan berhampiran, dijangka berakhir apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai menaik taraf jalan berkenaan, September ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Sairin Karno, berkata permasalahan yang berlarutan sejak 40 tahun lalu itu kerap menjadi rungutan penduduk.

"Apabila siap kelak, ia akan menyelesaikan permasalahan penduduk yang sudah lama diselaputi debu dan lumpur. Kita harap penduduk dapat bersabar dan memberi kerjasama kepada pemaju untuk membolehkan kerja menurap berjalan lancar," katanya meninjau kerja awal menurap laluan berkenaan dan

mendengar taklimat daripada jurutera JKR Keningau, Edward Lingkapo, di sini, kelmarin.

Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan berkata, projek sama akan turut dilaksanakan di beberapa jalan kampung daerah itu yang sudah dikenal pasti.

"Selain memperbaiki keadaan, ia juga bertujuan mengurangkan kesesakan laluan utama ke pekan Keningau," katanya.