Followers

Thursday, July 9, 2009

H1N1: Angka kematian meningkat 121 di Mexico

BANDARAYA MEXICO: Angka korban akibat Influenza A (H1N1) di Mexico kini meningkat 119 kepada 121, namun Menteri Kesihatan, Jose Angel Cordova menegaskan penularan virus itu di tahap terkawal.

Kes terbaru (H1N1) ialah di Wilayah Yucatan dan Chiapas tetapi Cardova tetap menafikan wabak itu di tahap serius.

Mexico adalah negara pertama dikenal pasti diserang virus itu pada April sebelum merebak ke Amerika Syarikat, jirannya yang terdekat. - AFP

PPSMI dimansuh?


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama murid Tahun Enam 2009 pada majlis pelancaran Projek Gerak Bakti UPSR anjuran Amanah Raya Berhad di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di Muar, semalam. Turut kelihatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim (dua kanan), Pengerusi Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan Khairy Jamaluddin, Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Dusuki Ahmad (empat kanan) dan Pengarah Urusan Amanah Raya Berhad, Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh (kanan). Muhyiddin berkata, kabinet akan memutuskan kedudukan PPSMI, hari ini. - Foto Bernama

Tingkat pengajaran bahasa Melayu, tanpa ketepi bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan beberapa pihak, terutama pejuang bahasa dijangka berakhir berikutan keputusan kerajaan memansuhkan dasar itu.

Sebagai ganti, kerajaan akan mengumumkan strategi yang lebih menyeluruh untuk meningkatkan pengajaran bahasa Melayu dan pada masa sama tidak mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah.

Menurut sumber, dasar baru itu dijangka bermula pada 2012 dan akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini untuk kelulusan.

Antara langkah yang dijangka diumumkan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah menambah bilangan guru dan waktu pelajaran bahasa itu di sekolah, memperkenalkan subjek baru serta merapatkan jurang perbezaan pencapaian murid luar bandar dan dalam bandar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika diminta mengulas perkara itu, berkata beliau akan mengumumkan keputusan muktamad kerajaan selepas membentangkannya kepada Kabinet tetapi enggan menyatakan butirannya.

Beliau yang juga juga Menteri Pelajaran, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian teliti termasuk perbincangan dengan pelbagai badan atau pertubuhan berkaitan pendidikan.

"Tunggulah esok (hari ini). Saya sudah mengemukakan memorandum kepada Kabinet mengenai kedudukan PPSMI dan apa yang telah dilaksanakan dan bagaimana kedudukan penguasaan bahasa Inggeris serta subjek Sains dan Matematik sejak kita melaksanakan dasar itu," katanya selepas melancarkan Projek Gerak Bakti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, dekat Muar, semalam.

Beliau berkata, kementerian sudah membuat banyak kajian dan menemui pelbagai hasil termasuk prospek masa depan PPSMI sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

"Antara yang diteliti dan menjadi perkara pokok ialah bagaimana kita meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, di samping memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Beliau juga berkata, keputusan mengenai kedudukan PPSMI tidak dibuat secara terburu-buru dan bukan kerana desakan serta tekanan mana-mana pihak, sebaliknya ia berdasarkan kepentingan pelajar dan keutamaan untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara.

Ditanya sama ada keputusan itu adalah yang terakhir dan tiada lagi kajian selepas ini, Muhyiddin berkata pihaknya sudah menerima pandangan mengenai PPSMI sejak bertahun-tahun lalu dan sepatutnya sudah ada keputusan muktamad dicapai.

Beliau turut mengakui mengadakan perbincangan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjelaskan kedudukan PBSMI dan membentangkannya kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mendapatkan input daripada pimpinan parti.

Katanya, wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) juga akan menyuarakan pendapat pada mesyuarat Kabinet.

Tuesday, July 7, 2009

75 kes baru jangkitan Influenza A


PELAJAR Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur membersihkan kelas, semalam selepas diarah tutup seminggu oleh Kementerian Kesihatan berikutan kes selesema babi.

Negara berada pada fasa kedua penularan tempatan

PUTRAJAYA: Sebanyak 75 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 8 pagi semalam dengan 41 adalah kes import dan 34 jangkitan tempatan, menjadikan jumlah terkumpul 434 di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata 75 kes baru itu membabitkan 64 rakyat tempatan dan 11 warga asing termasuk empat warga Indonesia, Filipina (tiga), manakala masing-masing seorang Libya, Oman, Singapura dan Australia.

Beliau berkata, semua 41 pesakit kes import mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan H1N1 antaranya Indonesia, Australia, Filipina, Thailand, Singapura, United Kingdom, Brunei, Russia dan Oman, manakala 34 kes jangkitan tempatan pula membabitkan 33 warga tempatan dan seorang warga Filipina.

“Sembilan daripada 34 kes jangkitan tempatan itu ialah sebahagian 165 peserta yang menyertai Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) di Pulau Pinang dari 27 hingga 30 Jun lalu. Ia menjadikan jumlah keseluruhan peserta APPC warga Malaysia disahkan positif H1N1 sehingga ini (semalam) adalah 15 orang.

“Empat lagi pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur yang dikuarantin di rumah disahkan positif H1N1 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan tempatan sehingga kini 101 kes,” katanya kepada media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr Ramlee Rahmat dan Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Liow berkata, 79 peratus atau 343 daripada 434 pesakit H1N1, sudah pulih dan dibenarkan pulang, manakala baki 91 pesakit stabil dan menjalani rawatan di hospital.

Liow berkata, kementerian terus meningkatkan pengawasan dan pemantauan di semua pintu masuk negara sebagai langkah berjaga-jaga kerana Malaysia kini berada pada fasa kedua penularan tempatan.

“Saya ingatkan mereka yang dikuarantin di rumah supaya tidak ke tempat awam atau tumpuan ramai termasuk kelas tuisyen atau kelas agama bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Mengenai situasi global, Liow berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan jumlah terkumpul kes H1N1 seluruh dunia meningkat kepada 91,457 kes termasuk 387 kematian di 126 negara.

Sementara itu di MELAKA, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol, berkata dua lagi individu disahkan positif H1N1 di negeri ini sehingga pagi semalam.

Mangsa terbaru ialah jurutera lelaki berusia 26 tahun yang pulang bercuti di di Bali, Indonesia pada Sabtu lalu dan seorang pengurus lelaki berusia 52 tahun, tiba dari Manila, Filipina sehari sebelum itu.

Sabah&Sarawak: KPD buat kajian potensi tanaman Stevia di Sabah

Herba pengganti gula makin popular dalam industri makanan

SANDAKAN: Koperasi Pembangunan Desa (KPD) giat menjalankan penyelidikan saintifik terhadap kesesuaian penanaman herba 'Stevia' di Sabah berikutan potensi pasarannya yang luas, selain penggunaannya dalam industri makanan dan minuman yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Herba itu digunakan sebagai bahan pemanis yang sesuai untuk kesihatan terutama penghidap penyakit kencing manis kerana tidak mengandungi kalori dan karbohidrat.

Pengurus Besar KPD, Datu Basrun Datu Mansor, berkata walaupun herba `Stevia' sesuai di kawasan beriklim tropika, penyelidikan saintifik tetap perlu dilakukan dan jika didapati sesuai, KPD akan membuka ladang yang memanfaatkan penduduk luar bandar dan pedalaman sebagai kumpulan sasar peningkatan ekonomi.

"KPD juga akan mempelawa pelabur mengusahakan herba ini. Kita yakin dengan potensi dan keselamatannya berdasarkan rekod Jepun yang mengharamkan penggunaan bahan pemanis tiruan sejak 1970-an, sekali gus menjadi pengimport terbesar herba ini dari China dan India.

"Hakikat itu dengan sendirinya membuktikan `Stevia' adalah bahan pemanis asli," katanya dalam taklimat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalannya, Datuk Yahya Hussin yang melawat gerai pameran KPD sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Sabah di Padang Bandaran di sini, kelmarin.

Hadir sama dua Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan dan Datuk Musbah Jamli; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Ujang Sulani dan Pengerusi KPD, Ahmad Bujang.

Herba yang dikenali sebagai `Stevia Rebaudiana' itu adalah sejenis tanaman berasal dari Paraguay. Ia terkenal dengan daunnya yang manis dan penduduk asli Paraguay sudah menggunakannya sebagai bahan pemanis dalam minuman, masakan dan teh herba sejak dua abad lalu.

Tanaman itu semakin popular sebagai pengganti gula serta daun kering herba itu adalah 40 kali lebih manis daripada gula manakala ekstraknya dikatakan 300 kali lebih manis berbanding gula.

Negara pengeluar utama `Stevia' adalah China dan diikuti India, manakala pengimport dan pengguna terbesar adalah Jepun dengan 41 peratus daripada bahan pemanis yang digunakan berasaskan herba itu.

Datu Basrun berkata, kemanisan daun `Stevia' disebabkan dengan dua komponen dikenali `Stevioside' dan `Rebaudioside', selain mengandungi vitamin dan antikulat serta antibakteria.

"KPD menjangkakan lebih banyak negara meliputi negara maju seperti Amerika Syarikat meningkatkan penggunaan `Stevia' yang membuktikan potensi pasarannya terbuka luas," katanya.