Followers

Saturday, July 4, 2009

1Malaysia medium terbaik satukan rakyat: Hanif Omar

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia seharusnya menjadikan konsep 1Malaysia sebagai satu realiti kerana ia adalah platform terbaik untuk menjadi warga negara Malaysia yang kuat jati diri, kata bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Beliau berkata, konsep itu adalah cara terbaik untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dalam negara.

"Hanya itu caranya untuk menjadi kukuh selaras dengan perlembagaan," katanya pada sesi “Sembang-Sembang Sejarah” anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah di sini, hari ini.

Hanif yang menyokong penuh konsep itu, berkata rakyat harus menghayati konsep yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya ia dapat mencerminkan situasi negara pada hari ini.

"Saya berpendapat semangat di sebalik konsep ini memang baik, selagi mana ia menampilkan kepentingan bagi orang Melayu untuk tidak ketinggalan di belakang. Tapi sekiranya semua sudah saksama, nak apa lagi," katanya.

Hanif turut menjelaskan mengapa bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, tidak diterima untuk pulang ke tanah air, kerana menurutnya Chin Peng sememangnya tidak pernah menjadi warganegara.

"Chin Peng bukannya warganegara Malaya. Ketika dia dilahirkan di Perak, ketika itu Perak berada di bawah kawasan penempatan yang diserahkan kepada British," katanya.

Beliau berkata, apabila Perak tidak lagi di bawah pentadbiran British, kaum Melayu di Dinding menjadi rakyat kepada Sultan Perak, tapi Chin Peng pula tidak lagi menjadi rakyat British, menjadikan dia sebagai orang yang tidak bernegara. - Bernama

Koleksi aksesori terkini

BAYANGKAN, walaupun hanya mencari sehelai pakaian ke pejabat, perayaan, sukan, kasual ataupun gaun untuk menghadiri majlis tertentu, kadangkala mengambil masa sehingga berjam-jam lamanya.

Jika membeli-belah di pusat beli-belah, boleh dikatakan hampir semua butik pakaian ingin dikunjungi bagi mencari koleksi terbaru.

Situasi sedemikian memang biasa bagi sesetengah wanita terutama untuk mereka yang menganggap membeli-belah sebagai terapi terbaik bagi melepaskan tekanan yang bersarang di minda.

Memahami kehendak pelanggannya, gedung beli-belah terkenal, Tangs di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, menyediakan pelbagai rekaan aksesori terkini untuk membantu wanita dan lelaki supaya tampil lebih bergaya.

Antara aksesori yang boleh didapati ialah beg tangan, kasut, beg genggam, pakaian serta pelbagai perhiasan diri.

Menerusi bahagian lelaki dan wanita, Tang+Co, pelbagai rekaan aksesori baru boleh dimiliki antaranya koleksi kasut Beverly Feldman, Pure Lopez, Scha London dan Rebecca Sanver.

Untuk bergaya dengan himpunan beg terkini, koleksi daripada Luana dan Casablanca boleh dijadikan pilihan. Pelbagai koleksi pakaian di bahagian fesyen lelaki pula mampu memenuhi cita rasa jejaka yang mahu tampil lebih bergaya.

Provokasi khusus terhadap Korea Selatan

SEOUL 3 Julai - Pelancaran peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara dilihat seolah-olah bertujuan membangkitkan kemarahan Korea Selatan berbanding dunia, kata seorang pegawai hari ini ketika Washington menegaskan bahawa sekatan yang dikenakan telah menjejaskan negara tersebut.

"Kami percaya pelancaran itu dilakukan berhubung dengan hubungan antara Korea.

''Melainkan ia adalah peluru berpandu jarak sederhana atau jarak jauh, kami percaya ia adalah satu provokasi yang ditujukan kepada Korea Selatan,'' kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Won Tae-Jae seperti yang dipetik agensi berita Yonhap.

Tae-Jae dalam pada itu berkata, laporan media yang mengatakan Korea Utara mungkin melancarkan peluru berpandu jarak sederhana atau jarak jauh esok sempena Hari Kemerdekaan AS juga hanyalah satu spekulasi.

Korea Utara semalam, melancarkan empat peluru berpandu permukaan ke kapal dari perairan timurnya yang terbang sejauh 100 kilometer, sebelum terhempas ke laut.

Tindakan itu menyemarakkan lagi ketegangan rantau yang berlaku ekoran ujian nuklear yang dilancarkan rejim komunis tersebut pada Mei lalu.

Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia mengecam pelancaran peluru berpandu itu sebagai satu tindakan provokasi.

Akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo meramalkan, Korea Utara mungkin akan melancarkan beberapa siri peluru berpandu jarak dekat dalam masa beberapa hari lagi.

Sementara itu, di Washington, jurucakap White House, Robert Gibbs berkata, Korea Utara dijangka akan meneruskan tindakan provokatif mereka.

Jelas beliau, negara itu juga telah mula merasai kesan sekatan, yang merangkumi pertambahan pemeriksaan terhadap penghantaran melalui kapal di udara, laut dan darat serta sekatan senjata yang lebih meluas. - AFP

47 kejadian baru selesema babi, dua kelas diarah tutup

PUTRAJAYA: Sebanyak 47 lagi kes jangkitan terbaru selesema babi atau Influenza A (H1N1) membabitkan 41 kes import dan enam kes tempatan dikesan sehingga jam 8 pagi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 291 di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan juga mengarahkan masing-masing satu kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah (Kelas 6A), Kuala Lumpur dan di Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, Cheras ditutup seminggu kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata 47 kes jangkitan terbaru membabitkan 28 rakyat Malaysia dan 19 warga asing termasuk sembilan warga Indonesia, Australia (lima), Filipina (dua) dan masing-masing satu dari Botswana, Iraq dan Amerika Syarikat (AS).

Semua 41 pesakit kes import mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan H1N1 termasuk Indonesia, Australia, Filipina, Thailand, Singapura, United Kingdom (UK), AS, China dan Vietnam.

Enam kes jangkitan tempatan pula membabitkan warga tempatan iaitu tiga pelajar dari Sekolah Menengah Tsu Jin, Jalan Loke Yew, Cheras Kuala Lumpur yang ditutup minggu lalu, manakala satu kes adalah kontak kes import ke-147 yang bersekolah di SK Setapak Indah.

Kes penularan tempatan kelima dalam tempoh 24 jam lalu membabitkan kontak kes import ke-170 yang bersekolah di Sekolah Antarabangsa Sri Chempaka (8 Aqua), manakala satu lagi kes kontak kepada mangsa ke-143.

Dr Ismail berkata, setakat ini, 175 daripada 291 pesakit H1N1 sudah sembuh dan dibenarkan pulang, manakala baki 116, termasuk 59 disahkan positif dan 57 masih menunggu keputusan ujian makmal.

Mengenai situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan 81,029 kes dengan 340 kematian di 121 negara dilaporkan sehingga semalam.

Antara negara baru mencatat kematian ialah Brunei, Filipina dan Thailand, manakala lima negara baru mengesahkan jangkit H1N1 ialah New Caledonia (enam), Kenya (12) dan masing-masing satu di Mauritius, Myanmar dan Saint Lucia.

Lima negara yang melaporkan pertambahan tertinggi adalah Chile (2,190), United Kingdom (2,108), Mexico (749), Thailand (640) dan Brazil (228).

Ditanya mengenai kuarantin di rumah, katanya, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan surat menyatakan seseorang perlu dikuarantin di rumah.