Followers

Sunday, June 7, 2009

Pelajar warga Australia disah positif H1N1

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan warga Australia berusia 15 tahun yang datang ke Malaysia bersama ibunya untuk menziarahi saudara mereka di sini disahkan positif Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya berkata, kes ketujuh sehingga jam 5 petang semalam itu, dikesan apabila pelajar perempuan terbabit didapati mempunyai suhu badan yang tinggi ketika saringan demam menggunakan alat pengimbas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)

"Mereka tiba di LCCT daripada Melbourne pada jam 7 pagi, 5 Jun lalu melalui penerbangan AirAsia X D7 2723 dan daripada pemeriksaan lanjut pasukan perubatan bertugas, pesakit memberitahu mengalami demam, batuk dan sakit tekak sehari sebelum ketibaan di sini.

"Pesakit dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.15 pagi dan dimasukkan ke wad khas pada jam 9.50 pagi. Beliau disahkan menghidap jangkitan H1N1 dan diberi rawatan antiviral kini dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini, ibu pesakit tidak menunjukkan tanda jangkitan dan kini dikuarantin.

"Kami dimaklumkan pesawat AirAsia X D7 2723 membawa 258 penumpang dan pesakit duduk di kerusi 31A. Oleh itu, kementerian meminta semua penumpang pesawat terbabit terutama yang duduk di tiga baris hadapan, belakang, kiri dan kanan menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 antara jam 8 pagi hingga 9 malam," katanya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan kes keenam membabitkan pelajar berusia 28 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia MH091 dari New York dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7 pagi Rabu lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, sehingga jam 8 pagi semalam, jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan ke WHO adalah 22,092 kes dengan 125 kematian daripada 69 negara iaitu pertambahan sebanyak 2,274 kes dan 8 kematian dari hari sebelumnya.

H1N1: 5 lagi kes disahkan di China

BEIJING: Pihak berkuasa kesihatan China hari ini mengesahkan lima lagi kes Influenza A (H1N1) di negara itu menjadikan semua 72 orang setakat ini.

Kes penghidap terbaru itu membabitkan mereka yang baru pulang dari melawat Amerika Syarikat dan Kanada, baru-baru ini.

Penghidap terbaru itu kini tinggal di Beijing dan Wilayah Hubei, Guangdong dan Sichuan.

Pihak berkuasa setakat ini sudah mengkuarantin 15 orang yang mempunyai hubungan rapat dengan dua wanita di Beijing yang disahkan positif H1N1 dan kedua-duanya baru balik dari Amerika Syarikat beberapa hari lalu. - AFP

Program nuklear Iran untuk keamanan

TEHRAN: Iran semalam menjelaskan satu laporan daripada pihak pemerhati bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan program nuklear di Iran adalah untuk tujuan keamanan, bukannya untuk menghasilkan bom atom seperti didakwa Barat.

Laporan Jumaat lalu menyebut, Iran sudah meningkatkan penggunaan uranium untuk program nuklearnya sehingga 5,000 unit dan menyukarkan pihak penyiasat PBB untuk memantau program nuklear Tehran itu.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyebut, Iran sudah meningkatkan kadar penyeluaran uranium berkadar rendah (LEU)untuk tambahan stok bekalannnya daripada 500 kilogram (kg) kepada 1,339 kg dalam tempoh enam bulan lalu.

Bagaimanapun, Duta Iran ke IAEA, Ali Ashgar Soltanieh menafikan perkara itu dan laporan itu tidak memberikan bukti Tehran menukar program nuklearnya untuk membuat senjata.

"Malah, adalah jelas dokumen yang didapati IAEA ini membuktikan program nuklear kami hanya untuk membawa kebaikan dan keamanan negara kami," katanya dalam satu progran tv, semalam.

Beliau berkata, Iran tidak akan menghentikan program nuklearnya atau menghentikan kerjsamanya dengan IAEA.

Tehran sebelum ini menjelaskan program nuklearnya hanya untuk menghasilkan tenaga elektrik, bukan untuk tujuan pertahanan dan ketenteraan. - Reuters

Mayat pertama pesawat Air France ditemui

BRAZIL/PARIS: Anggota penyelamat Brazil menemui mayat pertama mangsa nahas pesawat Air France di Lautan Atlantik, dengan kumpulan penyiasat berkata bacaan kelajuan yang salah kemungkinan punca nahas itu.

Kapal tentera laut menemui dua mayat lelaki dan serpihan bangkai pesawat, termasuk kerusi biru pesawat yang nombor sirinya sama dengan pesawat Air France penerbangan 477.

Pada poket kerusi itu terdapat kad kesihatan, sebuah beg bimbit dengan tiket Ari France di dalamnya.

"Pagi ini jam 8.14 pagi (waktu tempatan Brazil) kami mengesahkan anggota penyelamat menemui mayat dan beberapa sisa pesawat Air France," kata jurucakap tentera, Jorge Amaral kepada wartawan di utara bandar Recife.

Pesawat tentera udara dan laut Brazil melakukan operasi mencari dan menyelamat di Atlantik sehingga menjangkau 1,100 kilometer di utara pantai Brazil sejak pesaawat Airbus A330-200 milik Air France hilang Isnin lalu, mengorbankan semua 228 penumpang dan anak kapalnya.

Nahas pesawat dari Rio de Janeiro ke Paris itu adalah bencana paling buruk di dunia sejak 2001 dan paling buruk membabitkan sejarah syarikat penerbangan Air France sejak 75 tahun.

Apa yang dikhuatiri, mayat mangsa dipercayai tenggelam di dasar laut atau dibaham jerung.

Teori menyatakan nahas berlaku akibat sensor kelajuannya tidak berfungsi, menyebabkan juruterbang mengaktifkan semula kelajuan yang salah ketika pesawat dikatakan melalui zon ribut petir ketika itu.

Pihak penyiasat nahas itu semalam berkata Airbus mengesan bacaaan kelajuan pesawat A330 tidak berfungsi dengan baik dan meminta semua pelanggannya menukar alat itu. - Reuters