Followers

Thursday, June 4, 2009

Kes ketiga H1N1 di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar berusia 23 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Isnin lalu disahkan positif Influenza A (H1N1).

Pelajar terbabit yang pulang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (Mas) kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Ia adalah kes H1N1 ketiga yang disahkan di Malaysia. - NST

H1N1: Penumpang MH091 diminta hubungi kementerian

KUALA LUMPUR: Seramai 276 penumpang serta anak kapal penerbangan MH091 yang tiba dari Amerika Syarikat Isnin lalu diminta menghubungi Kementerian Kesihatan untuk diberikan nasihat kesihatan berhubung Influenza A (H1N1) serta keperluan kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata, ini berikutan pengesahan seorang pelajar Malaysia yang menaiki penerbangan itu sebagai kes ketiga positif influenza A (H1N1).

Beliau berkata, pelajar berusia 23 tahun itu menaiki penerbangan MH091 dari Amerika Syarikat dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.15 pagi Isnin lalu.

"Pelajar ini tidak mengalami demam semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tetapi mula mengalami demam dan batuk semalam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelajar itu disahkan menghidap jangkitan influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 4 pagi tadi, dan beliau dalam keadaan stabil serta telah diberi rawatan antiviral.

Sabah & Sarawak: Bantuan kerajaan untuk diguna bukan dijual

PAPAR: Golongan sasar yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan sumbangan itu untuk mendapat keuntungan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata pemberian seperti zink dan kemudahan asas lain perlu dimanfaatkan seperti sewajarnya supaya keluarga mereka dapat tinggal dalam suasana selesa.

"Saya harap penerima memanfaatkan bantuan zink ini untuk membaiki atap rumah yang rosak.

"Jangan salah gunakan bantuan kerajaan dengan menjualnya kerana wangnya tidak seberapa manakala kediaman kekal tidak sempurna.

"Saya sudah mengarahkan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Pantai Manis memastikan bantuan itu digunakan sepenuhnya oleh penerima terbabit," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan zink menerusi peruntukan DUN Pantai Manis bagi 110 rumah rakyat miskin di Kampung Kuala dalam kawasan itu bagi menggantikan atap rumah mereka yang usang.

Beliau berkata, keseluruhan bantuan bernilai RM90,000 meliputi 5,000 keping zink.

Seorang penerima yang juga ibu tunggal, Kamariah Hassan, 62, berkata bantuan itu membolehkan beliau dan anaknya hidup lebih selesa.

"Selepas ini kami tidak perlu bimbang lagi setiap kali hujan kerana bumbung banyak yang bocor," katanya.

Dalam majlis berasingan, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, rakyat Sabah yang menjadi ikon integrasi kaum di negara ini berikutan semangat muhibah dan toleransinya, perlu mengekalkan keistimewaan itu dan memelihara budaya murni yang menjadi amalan.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Papar berkata, keistimewaan itu perlu diperturunkan kepada generasi muda supaya mereka mewarisi kehidupan aman, bahagia dan sejahtera.

"Tanpa integrasi kaum, suasana kehidupan sekarang akan bertukar kepada saling bermusuhan dan porak-peranda, sekali gus menyukarkan usaha memajukan rakyat.

"Rakyat di segenap pelusuk Negeri di Bawah Bayu saling menghormati pelbagai adat resam dan budaya etnik lain serta dikongsi asalkan tidak bercanggah dengan agama dan budaya mereka," katanya berucap merasmikan perayaan `Tadau Kaamatan' (Pesta Menuai) peringkat Kampung Sabandil dekat sini, kelmarin.

Hadir sama PKR Pantai Manis, Amri Abu Bakar; Ketua Kampung Sabandil, Anjohn Singah dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Lunchi Linjanun.

Pada majlis itu, Abdul Rahim turut merasmikan balai raya baru Kampung Sabandil bernilai RM80,000 yang memudahkan masyarakat setempat menjalankan pelbagai program kemasyarakatan dan kebudayaan.

Sabah & Sarawak: LPKP ambil tindak jika tak guna Wawasan Plaza

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bas yang enggan berhenti di terminal Wawasan Plaza berikutan pelaksanaan bas bandar raya sejak Isnin lalu.

Pengarahnya, Arifin Samsuddin, berkata pihaknya mengambil keputusan tidak membenarkan bas lain selain bas bandar raya beroperasi dalam bandar dengan mewajibkan pengusahanya menunggu penumpang di terminal Wawasan Plaza.

Katanya, arahan itu perlu dipatuhi semua pengusaha bas, termasuk syarikat bas yang sebelum ini menggunakan kawasan letak bas di hadapan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sebagai terminal bas mereka.

"LPKP Sabah sudah memohon kerjasama daripada semua agensi penguat kuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memantau pelaksanaan peraturan baru ini.

"Kita harap semua pengusaha bas memberi kerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan projek bas bandar raya ini berjalan lancar," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan bas bandar raya (City Bus) yang memulakan operasi pada Isnin lalu seperti yang diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, baru-baru ini.

Arifin berkata, pihaknya sudah menentukan laluan bagi semua bas beroperasi di bandar raya yang berakhir di terminal Wawasan Plaza untuk mengelak kesesakan lalu lintas di pusat bandar, selain memastikan pelaksanaan bas bandar raya tidak terganggu.

"LPKP juga memberi jaminan semua bas yang berpangkalan di hadapan mahkamah akan diarah berpindah ke terminal Wawasan Plaza secepat mungkin selepas selesai perbincangan dengan agensi terbabit.

"Pemindahan ini perlu bagi meredakan rasa tidak puas hati di kalangan pengusaha bas lain yang mahu semua bas dipusatkan di terminal Wawasan Plaza berbanding menggunakan terminal berasingan ketika ini," katanya.

Ketika ini, Arifin berkata, terminal di hadapan mahkamah Kota Kinabalu digunakan syarikat Tuaran United Transport (TUT), Penampang Union Transport (PUT), Luen Tung Tanjung Aru Transport (LTT) dan syarikat City Bus.

Mengenai operasi bas bandar raya, beliau berkata, laluan perkhidmatan itu ditawarkan bayaran 50 sen sehala dengan dibahagikan kepada dua sektor, masing-masing mempunyai dua laluan berbeza.

Bagi Laluan Satu Sektor Satu, katanya, bas akan bergerak dari terminal Wawasan Plaza dengan melalui Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kemajuan (pusingan U di bawah jejantas) sebelum kembali ke terminal Wawasan Plaza.

Untuk Laluan Dua Sektor Satu pula, katanya bas akan bergerak dari terminal Wawasan Plaza melalui Jalan Wawasan, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tun Fuad Stephen dan kembali ke terminal Wawasan Plaza.

"Bagi laluan Satu Sektor Dua pula, bas bandar raya akan bergerak dari Terminal Wawasan Plaza dengan melalui Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Kemajuan dan kembali ke terminal Wawasan Plaza.

"Untuk Laluan Dua Sektor Dua, bas bandar raya bergerak dari terminal Wawasan Plaza melalui Jalan Wawasan, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Tun Fuad Stephen dan kembali ke terminal Wawasan Plaza," katanya.

Arifin berkata, pihaknya mengalu-alukan maklum balas berkaitan perkhidmatan bas bandar raya yang boleh dikemukakan kepada LPKP Sabah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) 088-231024.