Followers

Wednesday, June 3, 2009

Sabah & Sarawak: Tarif air bagi Kota Belud paling rendah

kOTA KINABALU: Tarif air di Kota Belud yang ditetapkan pada 45 sen setiap satu meter padu adalah kadar terendah di Sabah berbanding 90 sen pada kuantiti sama di daerah lain.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Japlin Akim, berkata kadar itu sentiasa dipertahankan pihaknya walaupun Jabatan Bekalan Air Sabah bercadang menaikkan tarif berkenaan.

"Tarif air itu ditetapkan lebih 10 tahun lalu dan tidak berubah walaupun berlaku kenaikan di seluruh Sabah.

" Antara lain, ia berpunca daripada sumber air yang mudah diperoleh di Kota Belud berbanding daerah lain," katanya pada sesi dialog dengan penduduk Kampung Labuan dan Wakap, Kota Belud di sini, kelmarin.

Beliau menjawab soalan seorang penduduk Kampung Labuan, Datu Mustapha Ghairullah, mengenai ketiadaan bekalan air di kampung itu sejak 23 tahun lalu sedangkan mereka membayar sewa meter bekalan air.

Japlin berkata, masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk Kota Belud dijangka berakhir tidak lama lagi dari sumber yang disalurkan menerusi Loji Pemprosesan Air Bersih Bayayat yang siap Disember lalu dan dibantu Loji Pemprosesan Air Bersih Kota Belud sedia ada.

Katanya, loji pemprosesan air bersih Bayayat dan Kota Belud mampu menghasilkan air pada kapasiti 33 juta liter sehari, berbanding permintaan 30 juta liter dalam tempoh itu yang dengan sendirinya mengatasi pergantungan kepada sumber air perigi tiub, perigi dan sungai di beberapa kampung.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran air dalam kapasiti tinggi gagal dimanfaatkan ketika ini berikutan masalah paip meliputi paip usang berusia lebih 30 tahun, saluran kecil dan kampung langsung tiada kemudahan itu.

"Ketika Jabatan Bekalan Air daerah menguji kedua-dua loji air berkenaan dengan kapasiti penuh, mereka mendapati banyak paip bocor kerana sudah usang dan perlu diganti.

"Kampung yang ada paip termasuk Kampung Labuan dan Wakap tiada masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Najib Muntok memberi jaminan akan meminta Jabatan Bekalan Air Daerah menyiasat dakwaan penduduk Kampung Labuan dan Wakap yang hanya membayar sewa meter bekalan meter air tetapi tidak menikmati kemudahan berkenaan sejak dua dekad lalu.

Sabah & Sarawak: Masalah penginapan pelajar selesai

KIULU: Masalah penginapan yang dihadapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens di sini, dijangka dapat dikurangkan selepas ada pihak tampil menyumbang pembinaan asrama tambahan untuk sekolah itu.

Asrama mampu menampung 100 pelajar bernilai RM200,000 itu disumbangkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim, Kedah 1979-1983 dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) yang dijadualkan siap pembinaannya penghujung tahun ini.

Pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Martha Anthony Bongkok, berkata ketika ini sekolah itu dilengkapi asrama yang cuma mampu menampung 254 daripada 1,200 pelajarnya.

"Masalah dihadapi SMK Tun Fuad Stephens ialah penempatan pelajar yang sebahagian besarnya datang dari kampung terpencil di Kiulu.

"Lebih 100 pelajar yang benar-benar memerlukan tempat tinggal terpaksa menumpang di rumah saudara atau menyewa rumah hampir setiap tahun," katanya pada majlis pertemuan bagi pembinaan asrama itu di sini, kelmarin.

Bekas pelajar MRSM Kulim diketuai Raja Ali Raja Othman manakala PPS oleh Pengurus Besarnya, Datuk Vincent Pung.

SMK Tun Fuad Stephens diwakili Pengetuanya, Martha Anthony Bongkok manakala Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens oleh Pengerusinya, Joisin Romut.

Martha berkata, daripada sembilan sekolah menengah di Tuaran, hanya SMK Tun Fuad Stephens beroperasi di kawasan yang luas dengan rangkaian jalan raya belum begitu baik.

Katanya, antara langkah diambil PIBG ialah membina beberapa asrama desa di sekitar sekolah untuk menempatkan pelajar yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Sabah & Sarawak: Pengusaha bas ingkar arahan


PEMANDU bas City Bas mematuhi arahan mengambil dan menurunkan penumpang di terminal Wawasan Plaza seperti yang diarahkan LPKP.

Pemandu tak ambil, turun penumpang di terminal Wawasan Plaza

KOTA KINABALU: Pengusaha bas mini dan bas berhenti-henti di bandar raya ini mengingkari arahan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang meminta mereka hanya berhenti untuk menurun dan mengambil penumpang di terminal Wawasan Plaza di sini, mulai kelmarin.

Arahan yang dikuatkuasakan serentak dengan operasi bas bandar raya itu dikatakan enggan dipatuhi selagi LPKP dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak menyelesaikan isu kesesakan di terminal Wawasan Plaza dan pemindahan semua operasi bas, termasuk milik syarikat besar ke terminal itu.

Ada pemandu bas dikesan memasuki terminal Wawasan Plaza dipercayai untuk mengambil resit masuk dan kemudian keluar tanpa penumpang, dipercayai cuba untuk mengabui LPKP dan DBKK kononnya mereka menggunakan perkhidmatan terminal itu.

Sikap penumpang yang enggan ke terminal itu turut memberi masalah kepada pengusaha bas. Rata-rata pengguna yang ditemui memberikan alasan ia jauh dari pusat bandar, terutama mereka yang membeli barang keperluan harian seperti ikan, daging, ayam, sayur, buah-buahan, mi dan beras di Pasar Besar Kota Kinabalu kira-kira satu kilometer dari terminal itu.

"Untuk ke terminal berkenaan, kami perlu menaiki teksi dengan tambang RM5 sedangkan jika menunggu di perhentian bas dekat pasar besar, kami hanya perlu membayar tambang bas RM1.50 untuk ke Kampung Likas," kata Rimana Sahir, 45.

BAS mini masih mengambil dan menurunkan penumpang di pusat bandar raya.

Presiden Pengusaha dan Pemandu Pengangkutan Awam Kota Kinabalu (Peka), Yunus Muhiddin, berkata majoriti pengusaha mengekalkan kaedah operasi sebelum ini kerana beranggapan pelaksanaan sistem baru itu belum sesuai buat masa sekarang.

Katanya, pihaknya hanya akan mematuhi arahan itu selepas terminal Wawasan Plaza dinaik taraf dan diperbesarkan bagi menampung semua bas mini dan bas berhenti-henti yang beroperasi di bandar raya.

"Kami menganggap arahan yang dikeluarkan LPKP itu belum boleh dilaksanakan kerana terminal Wawasan Plaza belum dinaik taraf. LPKP juga sedang berbincang dengan DBKK untuk mencari satu terminal baru di kawasan Jalan Pantai tetapi itu juga sukar dilaksanakan kerana masalah ketiadaan tapak.

"Sehubungan itu, pengusaha bas mengekalkan laluan digunakan sebelum ini dan masih menurun serta mengambil penumpang di mana-mana perhentian di sekitar pusat bandar raya," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, arahan LPKP itu juga tidak menyeluruh kerana hanya sebahagian pengusaha bas mendapat surat mengenai pengoperasian bas bandar raya dan pelaksanaan sistem baru itu.

Yunus berkata, selebihnya hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi laporan akhbar dan pemberitahuan rakan pengusaha yang lain.

"LPKP tidak mengadakan perbincangan dengan pengusaha sebelum melaksanakan sistem baru ini, oleh itu tidak ramai pengusaha memakluminya.

Korea Utara pasang peluru berpandu antara benua

SEOUL: Korea Utara bersiap sedia untuk memasang peluru berpandu antara benua (ICBM) dengan jarak yang mampu menjangkau Amerika Syarikat untuk pelancaran seawal pertengahan bulan ini, lapor akhbar Korea Selatan.

Korea Utara juga dipercayai bersiap sedia untuk menguji sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu jarah sederhana.

“ICBM itu diselubung dan adalah sukar untuk benar-benar pasti tetapi is kelihatan serupa Taepodong-2 yang ditembak pada April, tetapi lebih panjang,” akhbar JoongAng Ilbo memetik sumber kerajaan sebagai berkata.

Peluru berpandu itu sudah dipindah ke sebuah hangar untuk pemasangan di lapangan sasar baru Tongchang-ri di pantai Barat negara itu dan Korea Utara kelihatan tergesa-gesa untuk melancarkannya.

Kawasan pelancaran cuma 90 kilometer di barat Yongbyon, kompleks nuklear utama Korea Utara.

Namun, pakar senjata berkata negara itu masih tidak memiliki teknologi untuk membentuk bahan nuklear kepada peledak bagi diletakkan pada peluru berpandu. - Reuter