Followers

Thursday, May 14, 2009

Peter Pang dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah


Datuk Peter Pang En Yin

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang En Yin, semalam dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah menggantikan Datuk Raymond Tan Shu Kiah dalam rombakan kecil Kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Pengumuman itu dengan sendirinya mengakhiri teka-teki kedudukan Tan yang bergerak tanpa parti selama sembilan bulan sejak keluar daripada Parti Maju Sabah (SAPP), berikutan tindakan parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN), September lalu.

Beliau dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 3 Mei 2007 apabila penyandang terdahulu, Tan Sri Chong Kah Kiat, meletak jawatan.


Tan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Papat, kemudian memilih menyertai Gerakan minggu lalu.

Musa bagaimanapun mengekalkan bekas timbalannya itu dalam Kabinet negeri sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian, bertukar daripada portfolio lama selaku Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Kabinet Sabah mempunyai tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Joseph Pairin Kitingan yang mewakili masyarakat Bumiputera bukan Islam; Datuk Yahya Hussin (Bumiputera Islam) dan Pang selaku wakil masyarakat Cina.

Petrol RON95 untungkan pengguna, kerajaan

PENGENALAN petrol baru, RON95 yang dijual pada harga RM1.75 seliter adalah penyelesaian ‘menang-menang’ antara pengguna dan kerajaan kerana langkah itu akan memanfaatkan pengguna dari segi harga lebih rendah, sementara kerajaan pula dapat mengurangkan perbelanjaan subsidinya.

Ketua Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Chris Eng, berkata pengguna akan menjimatkan 5 sen seliter dengan beralih daripada penggunaan RON97 yang kini pada harga RM1.80 seliter kepada RON95 apabila petrol baru itu mula dijual di seluruh negara pada 1 September depan.

“Umumnya, langkah itu adalah berita baik kerana 95 peratus pemandu di negara ini menggunakan RON97 dan hanya lima peratus menggunakan RON92 yang akan ditamatkan jualannya.

“Justeru, ia akan memberi manfaat kepada sebahagian besar pengguna walaupun lima peratus lagi terpaksa meningkatkan perbelanjaan sebanyak 5 sen seliter untuk bertukar daripada RON92 yang berharga RM1.70 seliter kepada RON95,” katanya dalam satu laporan penyelidikan, semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin mengumumkan rombakan jenis petrol bagi jualan runcit yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 September ini.

Dalam rombakan itu, kerajaan memansuhkan penjualan petrol RON92 berkuat kuasa 1 September dan memperkenalkan RON95.

Petrol RON97 pula akan dijadikan produk premium dengan harganya dinaikkan kepada RM2 seliter.

Petrol RON95 mula dijual di dua stesen minyak Petronas di Putrajaya dengan jenama Primax 95 kelmarin sebelum diikuti syarikat lain secara berperingkat.

Eng berkata, peralihan kepada penggunaan RON95 tidak menjejaskan kenderaan kerana ia menepati spesifikasi minimum bagi enjin kenderaan yang digunakan di negara ini.

Beliau menjelaskan, RON atau Nombor Penyelidikan Octane adalah pengukur keupayaan petrol menentang pembakaran tidak matang ketika pemampatan, justeru, ia menimbulkan persepsi bahawa penggunaan petrol dengan RON lebih tinggi akan meningkatkan kuasa.

“Namun, ia sebenarnya hanya persepsi kerana sebahagian besar enjin kenderaan direka dengan spesifikasi minimum masing-masing dan penggunaan petrol yang lebih tinggi daripada RON yang ditetapkan sebenarnya tidak menambah prestasi enjin.

“Jika spesifikasi minimum kenderaan adalah RON95, maka penggunaan RON97 tidak meningkatkan prestasi enjinnya,” katanya.

Eng menjangka kenaikan harga petrol RON97 hanya memberikan kesan kepada pemilik kereta mewah yang berkapasiti 2000cc dan yang mewakili kurang daripada lima peratus daripada jumlah kenderaan di negara ini.

Katanya, golongan berkenaan dijangka terus menggunakan petrol jenis itu kerana masalah dari segi persepsi prestasi itu.

“Kami menjangka pemilik kereta sedan dengan kapasiti enjin kurang 2000cc yang kini mencecah lebih 95 peratus, akan beralih menggunakan RON95, sementara pemilik kenderaan mewah dengan kapasiti enjin lebih 2000cc mungkin kekal menggunakan RON97 kerana persepsi kemewahan,” katanya.

Mi segera kurang kolesterol

Sajian terbaru enak dan berkhasiat, tidak jejas kesihatan

MI segera sering dilihat dengan imej sebagai makanan kurang sihat. Namun, rasanya yang enak dan menjimatkan masa untuk dimasak, ia tetap menjadi kegemaran ramai. Tidak hairanlah jika rakyat Malaysia makan mi segera sehingga 100 juta hidangan sepanjang tahun.

Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn Bhd memberikan persepsi baru yang lebih positif dalam hidangan mi segera dengan melancarkan mi segera penuh berkhasiat, kurang lemak dan kolesterol yang dikenali sebagai Cintan Nutri Noodles. Terbahagi kepada dua perisa iaitu ayam dan kari sayuran, ia menawarkan hidangan segera yang berkhasiat sesuai dengan gaya hidup sibuk masa kini.

Perisa ayam dihasilkan daripada tepung gandum tulen, manakala kari sayuran pula dihasilkan menggunakan tepung soya.

Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad, Owen Ow, berkata berbeza dengan mi segera biasa, cara penyediaan Cintan Nutri Noodles juga menyihatkan kerana ia dihasilkan dengan inovatif proses tanpa goreng yang menjadikan hidangan tidak berminyak dan rendah kolesterol.

“Cintan Nutri Noodle dihasilkan menerusi kaedah inovatif iaitu proses tanpa goreng yang direka oleh bahagian penyelidikan dan pembangunan Yeos sendiri di Ipoh. Ia mengambil masa satu setengah tahun lalu dan kini berjaya diguna pakai melalui Cintan Nutri Noodle. Mi segera berkhasiat ini dihasilkan dengan cara 100 peratus kukusan dan dikeringkan.

“Hasilnya menjadikan mi berkenaan rendah lemak dan tanpa kolesterol. Sebaliknya mi dimasak menggunakan kaedah kukus. Bagaimanapun, pelanggan masih dapat menikmati keenakan mi segera tanpa bimbang mengenai masalah kesihatan,” katanya.

Mi segera Cintan Nutri Noodle tiada tambahan perisa tambahan atau MSG dan setiap penyediaan mi ini mengandungi kurang daripada 3 gram lemak dan dilengkapi sekurang-kurangnya lima vitamin dan mineral. Ini berbanding dengan mi segera biasa yang lazimnya mengandungi 20 gram lemak jika ia digoreng.

“Lebih melegakan anda yang menginginkan khasiat tambahan, satu pek makanan ini mempunyai 7.5 gram protein yang boleh didapati dalam sebiji telur, 362.5 mg kalsium iaitu bersamaan dengan lapan sudu susu tepung yang bersamaan sembilan gelas susu dan 8.9 gran serat diet daripada 29 biji epal. Ia turut mengandungi manfaat tambahan seperti lobak merah dan bayam. Pastinya ia lazat, menyihatkan dan dapat dinikmati dalam tempoh beberapa minit,” katanya.

Mi segera ini dipek dengan cara lebih moden dan disasarkan untuk golongan yang sibuk, muda dan mahu mengekalkan kesihatan diri. Berharga cuma RM2 satu pek dan RM8 untuk empat pek, ia boleh didapati di kebanyakan pasar raya di seluruh negara.

Kumpulan Yeo’s terbabit dalam penghasilan, pemasaran dan jualan produk makanan serta minuman di bawah jenama Yeo’s, Semua produk makanan dan minuman dikilangkan di bawah piawaian kebersihan yang sangat ketat menggunakan bahan asli segar untuk mengekalkan rasa semula jadi dan keasliannya. Yeo’s komited dalam meneruskan kajian penyelidikan dan pembangunan untuk memenuhi trend pemasaran semasa. Situasi pemasaran semasa dan menyahut saranan kerajaan untuk mencapai matlamat membangunkan jenama Halal Malaysia selaku penanda aras global, Yeo’s memantapkan Malaysia sebagai peneraju hab pengilangan Halal.

Yeo’s Malaysia adalah pusat perkilangan terpenting untuk Yeo’s Global Distribution bagi Indonesia, New Zealand, Australia, Eropah dan Amerika syarikat.

Tuesday, May 12, 2009

Doktor syak penduduk Farah mangsa fosforus


FRISHTA, 7, seorang kanak-kanak perempuan yang cedera di daerah Bala Baluk di wilayah Farah dipercayai disebabkan fosforus.

Tentera AS nafi guna kimia itu, tuduh Taliban bersalah

KABUL: Sekumpulan doktor menyuarakan kebimbangan terhadap kecederaan luar biasa penduduk kampung Afghanistan yang melecur teruk akibat pertempuran askar Amerika Syarikat dan Taliban menyebabkan kumpulan hak asasi negara itu menyiasat kemungkinan penggunaan kimia fosforus putih.

"Tentera Amerika Syarikat menafikan penggunaan bahan terbabit dalam pertempuran di wilayah Farah, tempat 125 hingga 130 penduduk awam terbunuh," kata Presiden Hamid Karzai.

Sebaliknya, Amerika menuduh pejuang Taliban menggunakan fosforus putih, sejenis bahan terbakar yang boleh menyebabkan melecur serius dan pendirian itu dikongsi pertubuhan Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Afghanistan.

"Penyiasat kami berbual dengan mangsa. Mereka menyiasat puncanya dan penggunaan fosforus putih," kata pemimpin suruhanjaya berkenaan, Nader Nadery.

Perbuatan menggunakan fosforus putih untuk mewujudkan asap dibolehkan undang-undang antarabangsa, tetapi kumpulan hak asasi berkata penggunaan di kawasan padat penduduk boleh menyebabkan penduduk awam cedera menyebabkan jenayah perang berlaku.

Doktor Afghanistan memberitahu, sekurang-kurangnya 14 pesakit melecur teruk, bentuk kecederaan yang tidak pernah dilihat mereka sebelum ini. Penduduk kampung terbabit cedera dalam pertempuran semalam di wilayah Farah.

Penggunaan fosforus putih juga menjadi isu dalam konflik Gaza apabila tentera Israel dituduh menggunakannya.

Dakwaan bahawa fosforus putih atau bahan kimia lain digunakan mencetuskan kontroversi terhadap kerajaan Afghanistan yang menyifatkannya kes terburuk membabitkan penduduk awam sejak serangan Amerika pada 2001 menyingkirkan rejim Taliban.

Di Kabul, beratus-ratus penduduk berarak berhampiran Universiti Kabul memprotes tindakan tentera Amerika yang menyebabkan kematian orang awam itu.

Kejadian di Farah juga mencetuskan kritikan terhadap Karzai yang menggesa ditamatkan serangan udara.

Amerika Syarikat berkata, tentera mereka menahan penduduk kampung dengan harapan mereka akan mati dalam pertempuran, mencetuskan peningkatan jumlah kematian penduduk awam

Bagaimanapun, Ahad lalu, penasihat keselamatan Presiden Barack Obama berkata, Amerika tidak akan menamatkan serangan udara. � AP