Followers

Thursday, December 2, 2010

Persatuan mahu gaji pemandu bas diselaras RM1,200 sebulan

ALOR SETAR: Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) hari ini meminta kerajaan menimbang untuk menetapkan gaji minimum semua pemandu bas pada RM1,200 sebulan.
Setiausahanya Sa'adan Man berkata, ini kerana kadar gaji sedia ada bukan sahaja tidak sama, tetapi juga sangat rendah.
"Gaji yang terlalu rendah menyebabkan pemandu bas khususnya bas ekspress bergantung kepada komisen perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas laporan mengenai usaha Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia mengkaji gaji pemandu bas ekspress di negara ini, beliau turut mencadangkan agar kajian itu mencakupi semua pemandu bas.

"Sebelum ini nasib kami tidak mendapat perhatian serius daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan walaupun perkhidmatan ini wujud puluhan tahun. Masanya telah tiba perkhidmatan kami dihargai dan dihormati semua pihak," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata pihaknya dan Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji aspek gaji pemandu bas ekspress yang dikatakan terlalu rendah sehingga menyebabkan mereka bergantung kepada komisen perjalanan.

Keadaan itu, katanya, mengakibatkan pemandu bas terdedah kepada risiko kemalangan kerana keletihan mengejar perjalanan. - BERNAMA

0 comments: