Followers

Sunday, December 5, 2010

Konvensyen BN 2010 bermula

KUALA LUMPUR: Konvensyen Barisan Nasional (BN) 2010, yang akan membincangkan tujuh agenda penting berkaitan hala tuju dan usaha pengukuhan parti supaya terus kekal relevan di hati rakyat, bermula di Dewan San Choon, Wisma MCA, di sini, hari ini.
Perwakilan sudah mula tiba seawal jam 7 pagi kesemuanya lengkap berpakaian baju T berwarna biru, warna rasmi BN, dengan logo 1Malaysia.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tiba kira-kira 8.55 pagi dengan diberikan sambutan muzik dan persembahan tradisional masyarakat pelbagai kaum.
Najib memakai kemeja berlengan pendek berwarna biru dengan logo BN dan 1Malaysia.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin 13 komponen BN.

Ketika Najib memasuki Dewan San Choon, beliau sekali lagi diberikan sambutan meriah dengan ribuan perwakilan yang penuh sesak berdiri di dewan itu mengibarkan bendera BN.

Dewan dan tempat masuk dihiasai dengan sepanduk antara lain bertulis "BN, Rakyat Didahulukan, 1Malaysia Kearah Kemajuan, 1Malaysia Kearah Perpaduan dan 1Malaysia Kearah Keharmonian Agama".
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti nyanyian lagu NegaraKu dan nyanyian lagu BN.

Ia diikuti ucapan aluan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ucap utama dan majlis perasmian oleh Pengerusi BN.

Lebih kurang 2,340 perwakilan daripada parti komponen BN, rakan-rakan BN dan badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri konvensyen ini yang bertemakan "1Rakyat, 1Negara, 1Wawasan.

Kali terakhir konvensyen BN diadakan ialah pada 2001. - BERNAMA

0 comments: