Followers

Wednesday, November 17, 2010

PM tunai solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara bersama rakyat jelata.
Berbaju Melayu merah jambu, Perdana Menteri yang kelihatan segak dan diiringi Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, tiba di perkarangan masjid itu kira-kira 8.30 pagi dan disambut Imam Masjid Negara Ustaz Ehsan Mohd Hosni, yang mengimamkan solat sunat berkenaan.
Dalam khutbahnya, khatib mengingatkan hadirin bahawa lafaz talbiah yang menyeru masyarakat kembali dan berkorban untuk Islam, telah memberi kesedaran bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat di negara ini.
Katanya, kelemahan dalam mempertahankan Islam akan menjerat bangsa menjadi bangsa yang tiada identiti dan jati diri.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam mengambil kesempatan sempena Hari Raya Korban, untuk membina keutuhan tali persaudaraan serta bermaafan, lebih-lebih lagi dalam menangani isu membabitkan agama serta masa depan umat Islam.

"Maka, sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, dan perbezaan latar belakang fahaman atau politik.

"Buang yang keruh, ambillah yang jernih, ketepikanlah segala perbezaan tersebut," katanya.
Selesai menunaikan solat, Perdana Menteri mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat, sebelum bertemu dengan mereka yang sudah berbaris untuk bersalaman dengannya.

Najib kemudian menziarah, bertahlil, berdoa dan menyiram air mawar di pusara ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Lebih 10,000 rakyat jelata dan warga asing mula mengunjungi Masjid Negara seawal 7 pagi dengan wajah ceria serta memakai pakaian berwarna-warni. - BERNAMA

0 comments: