Followers

Thursday, November 18, 2010

Perdagangan Malaysia-India berganda

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Perdagangan antara Malaysia dan India dijangka berganda menjelang 2015 berikutan pelbagai perjanjian penting dimeterai antara kedua-dua negara.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antaranya ialah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif, beberapa memorandum persefahaman dalam bidang pelancongan, teknologi maklumat dan perkhidmatan, perubatan tradisional serta dalam kerjasama penyelidikan dan pembangunan.

"Langkah penting ini akan memberi kesan ketara dalam peningkatan perdagangan dan aliran masuk pelaburan antara Malaysia dan India.

"Kami yakin hubungan antara negara dan negara akan dapat dilihat dengan ketara dan lebih meluas dengan banyak inisiatif mula berlaku dan menjana hasil," katanya semasa berucap pada Persidangan TiE Asia-Pasifik 2010 di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan Malaysia telah memulakan langkah menyediakan peluang unik untuk perniagaan mengakses pasaran kewangan dan modal memandangkan kerajaan menyedari bagi usahawan untuk berjaya, mengakses kepada pembiayaan dan modal yang mencukupi adalah penting.

Beliau berkata, Bursa Malaysia bekerjasama dengan The Indus Entrepreneurs (TiE) bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan India dan bukan penduduk untuk memanfaatkan peluang pasaran modal Malaysia boleh tawarkan. - Bernama

0 comments: