Followers

Monday, November 22, 2010

PDRM, AS siasat kes godam: KPN

KUALA LUMPUR: Polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain yang bersuhabat dengan seorang rakyat Malaysia yang didakwa mencuri hampir setengah juta nombor pemegang kad kredit dan debit di negara itu bulan lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata kerjasama itu juga bagi mengenalpasti sekiranya terdapat kuncu atau pembabitan rakyat negara itu dalam kegiatan seumpama itu di negara lain.
"Saya telah arahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk menghubungi pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk dapatkan butir lanjut sama ada rakyat Malaysia yang ditahan itu ada melakukan jenayah yang sama di negara lain.
"Risikan dan siasatan juga bertumpu kepada pembabitan suspek yang mungkin mempunyai hubungan dalam kegiatan yang sama di negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Agung Bersama Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) Cawangan "A", Pegawai Diwartakan (CPW) & Cif Inspektor (CI), serta Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja (PPRPD) di sini hari ini.

Lin Mun Poo, 32, ditahan pada 21 Oktober lalu atas kesalahan menggodam Bank Pusat Amerika Syarikat di cawangan Cleveland, Ohio, dalam beberapa serangan menggodam untuk mencuri lebih 400,000 nombor kad kredit.

Selain mencuri data pemegang kad, suspek juga didakwa minggu lalu atas kesalahan menceroboh beberapa sistem pertahanan komputer di negara itu.
Suspek dikatakan amat cemerlang dalam kerjayanya di beberapa institusi kewangan, mengambil kontrak untuk mengukuhkan sistem pertahanan komputer, termasuk menjual dan memperdagangkan maklumat.

Pasukan Perkhidmatan Perisikan Amerika memberkas Lin beberapa jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

Menurut Pejabat Peguam Negara, ejen perisikan merampas komputer bimbit suspek yang mengandungi ribuan data akaun kewangan dan maklumat peribadi yang dipercayai diperolehnya menerusi kegiatan penggodaman.

Ketua Perkhidmatan Perisikan Amerika, Brian Parr, dipetik sebagai berkata antara kegiatan suspek ialah memecah masuk sistem pertahanan kontraktor Pentagon yang mengandungi maklumat logistik ketenteraan yang amat sensitif. - BERNAMA

0 comments: