Followers

Saturday, November 20, 2010

Malaysia dahului pungutan pingat Sukan Asia negara ASEAN

GUANGZHOU: Selepas lapan hari berlangsungnya Sukan Asia Ke-16, Malaysia kini menduduki tangga teratas dalam kalangan negara anggota ASEAN berikutan kejayaannya memenangi tiga pingat emas.
Dengan berbaki tujuh hari lagi atau separuh daripada keseluruhan acara yang akan dipertandingkan sebelum temasya sukan ini menutup tirainya pada 27 November ini, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas, tiga perak dan empat gangsa untuk menduduki tempat ke-10 keseluruhan.
Tempat kedua dalam kalangan negara anggota ASEAN menjadi milik Indonesia (tempat ke-12 keseluruhan) dengan dua pingat emas, empat perak dan 10 gangsa, diikuti Filipina di tempat ke-14 keseluruhan (2, 1, 5), Thailand di tempat ke-15 keseluruhan (1, 4, 13), Singapura di tangga ke-16 (1, 4, 2), Vietnam di tempat ke-20 (0, 11, 11), Myanmar satu tangga di bawahnya (0, 4, 1) dan Laos di tangga ke-26 (0,0,2).
Dua lagi negara anggota Asean iaitu Brunei dan Kemboja belum memenangi sebarang pingat.

Setakat semalam, 19 negara memenangi 239 pingat emas daripada keseluruhan 476 pingat yang ditawarkan.

Tuan rumah, China, terus mendahului senarai pungutan pingat dengan meraih 126 pingat emas, diikuti Korea Selatan (43) dan Jepun (25). - BERNAMA

0 comments: