Followers

Tuesday, November 16, 2010

Kontraktor edar heroin dihukum gantung sampai mati

KOTA BHARU: Seorang kontraktor Kelas F hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana kesalahan mengedar dadah jenis heroin, September tahun lalu.
Fauzi Shafiei, 49, juga dihukum penjara selama dua tahun dari tarikh dia ditahan atas tuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine.
Hakim Tuan Azman Abdullah, ketika membacakan penghakimannya, berkata pihak pendakwaan sudah berjaya membuktikan kesalahan yang dilakukan tertuduh dalam semua pertuduhan itu.
"Bagi pertuduhan kedua, kamu dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh kamu ditahan manakala bagi pertuduhan pertama hanya satu hukuman saja yang boleh dijatuhkan terhadap kamu iaitu hukuman gantung sampai mati," katanya.

Bagi pertuduhan pertama Fauzi yang berasal dari Langkap, Permaisuri di Terengganu itu pada 8 September, jam 7.10 pagi di tepi jalan Kampung Pangkal Pisang, Peringat di sini didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 124.08 gram.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama iaitu sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Untuk pertuduhan kedua, Fauzi didakwa pada tempat dan masa yang sama telah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.44 gram dan dituduh mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili Ahmad Nizam Mohamad memohon agar mahkamah dapat menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga tertuduh membuat rayuan dan juga memohon agar hukuman diringankan atas faktor mempunyai tanggungan dan sudah insaf.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Hussin. - BERNAMA

0 comments: