Followers

Sunday, November 21, 2010

Dua kematian akibat denggi di Sabah - Tiong Lai

KUALA LUMPUR 21 Nov — Dua kematian terbaru akibat denggi dilaporkan di Sabah hari ini, masing-masing satu kes di Tawau dan Sandakan dan menjadikan jumlah meningkat kepada 125 kematian akibat denggi sejak Januari tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai dua kes kematian tersebut.

Beliau meminta semua pengamal perubatan mengambil perhatian terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya mereka menunjukkan simptom-simptom awal penyakit tersebut kerana kes denggi di negara semakin serius.

"Semua doktor dan pengamal perubatan di klinik dan hospital tidak seharusnya mengambil mudah dan bertindak lewat dalam mengambil tindakan dalam memberi rawatan kepada pesakit yang disyaki mengalami simptom awal denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan “Persidangan Penyakit Berjangkit 2010: Isu-isu dan Cabaran” anjuran bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kementerian Kesihatan yang berlangsung di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Selangor merupakan negeri yang mencatatkan kes denggi tertinggi di negara iaitu sebanyak 15,323 kes dengan kematian berjumlah 43 orang sehingga Jumaat lepas. — Bernama

0 comments: