Followers

Wednesday, November 17, 2010

Bimbang kejadian batu 'terbang' berulang


MANSOR Zainol menunjukkan batu yang terpelanting dari sebuah kuari ke pagar rumahnya di Kampung Pelet, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM 17 Nov. - Trauma dengan kejadian batu kuari 'terbang' yang merosakkan bumbung rumahnya di Kampung Pelet di sini semalam, Mansor Zainol, 43, berharap ia tidak berulang lagi.

Bagi Mansor, kejadian itu menjadi igauan buruk buat dia sekeluarga kerana nyaris mencederakan anak sulungnya, Mohd. Izzat, 15, yang berada di ruang tamu.

Menurutnya, biarpun wakil kuari terbabit ada mengunjungi rumahnya selepas kejadian itu, namun dia masih kesal dengan kejadian itu kerana bimbang ia akan berulang.

"Pengarah syarikat terbabit ada datang melawat saya sejurus selepas kejadian dan berjanji akan membaiki kerosakan bumbung dan dinding serta menggantikan peralatan rumah yang rosak.

"Dia juga meminta maaf di atas apa yang berlaku dan akan membayar pampasan sewajarnya kepada keluarga saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari semalam, sebahagian bumbung rumah Mansor yang didiami bersama isteri, dua anak dan adiknya itu berlubang ditimpa ketulan batu yang diletupkan dari kuari yang terletak berhampiran rumahnya.

Jelas Mansor, pemilik kuari perlu mengambil kira kerosakan rumah serta trauma yang dialami mereka sekeluarga dalam menentukan jumlah pampasan yang harus dibayar.

"Selepas apa yang berlaku, saya rasa bimbang nak berehat di rumah pada waktu siang ketika letupan kuari itu dijalankan.

"Kalau boleh tak nak berlaku lagi kejadian seumpama ini biarpun kami akan terus menetap di atas tanah pusaka ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, suasana sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini juga tidak meriah seperti biasa kerana mereka masih membersihkan batu-batu di sekitar rumah.

0 comments: