Followers

Saturday, October 9, 2010

Wanita MCA mahu pemilihan langsung parti diadakan menjelang 2014

KUALA LUMPUR: Wanita MCA hari ini mahu pemilihan langsung bagi jawatan Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda parti itu dilaksanakan menjelang 2014, bagi menggambarkan ketelusan serta demokrasi yang diamalkan dalam pemilihan parti, selain membina sistem parti lebih sihat.
Ketuanya, Datuk Yu Chok Tow, berkata Wanita MCA turut menyarankan agar kepimpinan pusat parti itu memilih semua anggota badan perhubungan negerinya secara demokratik.
"Ketika ini, anggota jawatankuasa pergerakan Wanita dan Pemuda di semua negeri dipilih secara demokratik, dan anggota badan perhubungan MCA negeri seharusnya tidak boleh dikecualikan daripada berbuat perkara sama, bagi menegakkan prinsip kesaksamaan dan demokrasi," katanya ketika pada Mesyuarat Agung Tahunan Wanita MCA 2010 di sini.
Hadir sama Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.

MCA dijadual mengadakan pemilihan parti tahun depan.

Kali terakhir ia diadakan ialah 18 Oktober 2008.

Dalam ucapannya, Yu turut memuji tindakan bekas Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, yang meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan pada 8 April, dan menyifatkannya sebagai contoh yang patut diteladani rakan politik lain kerana berpendirian tegas serta mendukung maruah sayap parti itu.
Chew, yang ketika itu seorang senator dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyerahkan surat perletakan jawatan kurang dua minggu selepas pemilihan parti yang menyaksikan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terpilih sebagai presiden MCA.

Yu juga mahu anggota Wanita MCA membuang pemikiran usang serta norma lama penyertaan politik, selain tidak lagi menganggap diri mereka sebagai golongan bawahan dalam parti, jika mereka mahu mencapai kesamaan gender.

"Saya menyeru pemimpin wanita di peringkat negeri, bahagian dan cawangan supaya lebih berani dan berwibawa memperjuangkan serta meningkatkan lebih ramai perwakilan dari kalangan wanita," katanya.

Beliau berkata Wanita MCA bukan hanya menumpukan kepada mereka yang berpengalaman, sebaliknya mempersiapkan serta menghargai anggota lebih muda sayap parti itu dengan menyediakan platform lebih besar bagi membolehkan mereka merealisasi potensi bakat masing-masing dengan cemerlang.

Setakat ini, Wanita MCA mempunyai 162,177 anggota berusia kurang 45 tahun, 113,256 di bawah 40 dan 67,826 bawah usia 35 tahun. - BERNAMA

0 comments: